Completed
552
Zainal merenung kosong ke arah Jalil yang terlantar di salah satu kubikel
Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). Alat bantuan pernafasan disambung
terus ke dalam mulutnya. Kedengaran bunyi-bunyi mesin di dalam bilik
itu, menandakan manusia yang tidak sedarkan diri itu masih lagi hidup.
Encik Ibrahim baru sahaja keluar dari PICU, untuk memberi giliran kepada
isterinya untuk melihat anaknya.
/Rasa macam baru semalam dia jumpa aku, sebab nak tunjukkan slip UPSR
dia tu/, getus hati Zainal . Dia cuba tahan diri dari menangis. Sel barah,
dengan jelasnya, sudah merebak, dan /septic/ /shock/ sudah berlaku.
Sekarang, apa yang mampu dia lakukan hanyalah berdoa. Mengharapkan
berlakunya keajaiban.
Zainal melangkah masuk ke dalam kubikel itu. Dia melabuhkan punggungnya
di kerusi, memegang tangan Jalil.
"Jalil liliput," kata Zainal , suaranya mula serak dek tangis yang cuba
dibendung. "Heh, akhirnya abang Zainal terpanggil juga nama /glamour/
kamu tu," katanya lagi, senyuman tawar terukir di wajahnya.
"Tolong. Jalil kena kuat. Demi ibu bapa Jalil. Tiap-tiap kali lepas
solat, abang selalu doakan supaya Jalil kembali sihat. Jadi..." Zainal
terasa setitis air matanya mengalir dan jatuh di atas tangan Jalil yang
sedang dipegang Zainal . "Tolonglah sedar."
Tiba-tiba sahaja, mata Jalil terbuka. Dia memandang Zainal , cuba
tersenyum, sebelum matanya kembali terpejam. Mesin perentak nadi
tiba-tiba berbunyi kuat.
"/Nurse, asystole/!" Seorang jururawat berteriak dari luar kubikel.
"Katil 3!" Dia segera masuk ke dalam kubikel itu.
"Adik, tolong keluar," kata jururawat itu kepada Zainal yang terus
berdiri sebaik sahaja jururawat itu berada di sebelahnya. Zainal patuh,
terus keluar dari kubikel itu, memberi laluan kepada doktor dan
jururawat untuk memberi bantuan kecemasan. Seorang jururawat keluar dari
PICU, mungkin untuk memanggil ibu bapa Jalil. Serentak dengan itu juga,
Puan Sofia, ibu Jalil, melangkah masuk dengan segera.
"Zainal ..." Puan Sofia yang berjalan menghampiri Zainal terus memekup
mulut melihat kubikel yang menempatkan anaknya dibanjiri pakar
perubatan. Dia terus jatuh terduduk di atas lantai. Zainal berdiri
membatu, matanya bagaikan melekat pada tingkap panel besar kubikel yang
jelas menunjukkan keadaan kelam-kabut di dalamnya. Mindanya terasa
kosong, tidak tahu apa yang patut dilakukan.
Masa terasa sangat pantas. Mata Zainal menangkap susuk tubuh Encik
Ibrahim menghampiri isterinya, seorang doktor keluar dari kubikel dan
memberitahu status anaknya 15 minit kemudian, dan kembali masuk ke dalam
kubikel, diikuti Encik Ibrahim. Telinganya menangkap suara Encik
Iskandar mengucap dua kalimah syahadah.
Dan akhirnya...
Share this novel