BAB 8

Drama Completed 552

Zainal keluar dari bilik khas untuk peperiksaan SPM. Letih betul rasanya.
Soalan kali ini amat mencabar mentalnya. Mahu saja dia balik ke wad dan
terus tidur.

Masuk sahaja di wad, matanya menangkap satu susuk tubuh yang dia kenali.
Dia terus tersenyum lebar. Terus hilang penatnya.

"Jalil!" Zainal menegur kanak-kanak yang tersengih-sengih di sebelah
kaunter jururawat. Jalil menghampiri Zainal , memeluknya erat.

"Hai, baru tiga minggu tak jumpa, terus rindu?" Zainal berseloroh.

"Tak," balas Jalil. Zainal mencebik. "Takdelah. Mestilah rindu Abang
Zainal . Senang tak periksa?"

"Boleh-lah... Alhamdulillah," kata Zainal .

"Ni, Jalil nak tunjuk ni," kata Jalil, menghulurkan slip peperiksaan
UPSR kepada Zainal . Zainal mengambil dan membacanya. Mulutnya separa
ternganga.

"Wah, hebatlah. 6A!" Zainal berkata, kagum. Sakit-sakit pun dapat skor
UPSR! "Tahniah!"

Jalil sekadar sengih. "Alhamdulillah. Terima kasih. Abang, semoga berjaya."

"Okey!" Zainal membalas bersemangat. Kedua-dua mereka terus tertawa perlahan.

"Lil?" Tiba-tiba muncul Encik Ibrahim, bapa Jalil, di pintu wad. "Jom
balik?"

Jalil mengangguk. "Okey, Abang Zainal . Jalil gerak dulu ya," katanya,
bersalaman dengan Zainal . Selepas itu, dia berlari-lari anak membuntuti
bapanya, meninggalkan Zainal di kaunter jururawat sambil tersenyum.

"Masa menjawab sudah tamat. Sila berhenti menulis."

Zainal meletakkan pen di atas meja. Dia menghela nafas lega. Selesai juga
perperangannya dengan SPM, akhirnya.

Selepas bersalaman dengan pengawas peperiksaan, Zainal keluar dari bilik
khas SPM. Tongkatnya dipaut kemas. Dia mahu berjalan-jalan, ambil angin,
sebelum kembali ke wad. Langkahnya terhenti di mesin minuman panas
berhampiran kaunter triaj unit kecemasan. Tekaknya tiba-tiba terasa haus.

Dia mengira wang syiling yang ada di sakunya, apabila telinganya
menangkap bunyi siren ambulans. Dia menoleh ke belakang. Seseorang yang
bertubuh kecil dibawa keluar menggunakan pengusung dari perut ambulans.
Seorang paramedik sedang melakukan bagging, manakala seorang lagi sedang
membuat CPR ke atas tubuh kecil itu. Dengan serta-merta mata Zainal membulat.

/Jalil/!

Jalil, yang tidak sedarkan diri, dibawa masuk ke unit kecemasan. Seorang
wanita - ibu Jalil, turut masuk sekali ke sana. Yang tinggal di kaunter
triaj unit kecemasan hanyalah Encik Ibrahim.

Zainal menghampiri Encik Ibrahim. Riak kerisauan jelas terpamer di wajahnya.

"Pak cik?" Zainal menegur, air matanya mula bergenang. "Kenapa dengan Jalil?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience