BAB 4

Drama Completed 552

Zainal melihat kawasan sekitar wad onkologi pediatrik, kemudian
memerhatikan Jalil yang lena di katilnya. Dia menoleh ke arah jururawat
yang mencari Jalil tadi.

"Akak, dia sakit apa ya?"

"/Multiple myeloma/. Barah sumsum tulang. Tahap 4," kata Teja perlahan.

"Tahap 4?" Suara Zainal ternaik satu oktaf tanpa sengaja. Teja
cepat-cepat membuat isyarat supaya merendahkan suaranya.

"Berapa lama lagi dia boleh hidup?" Zainal bertanya dengan nada berbisik.

"Lebih kurang enam bulan, kalau ikut statistik."

"Tak... Tak ada cara nak rawat dia ke?" Zainal mula hiba. Keadaan budak
itu lebih teruk darinya. Jururawat itu hanya menggeleng.

"Dah lambat sangat, dik. Lagipun dia ada anemia, dan salah satu
ginjalnya pun dah rosak, jadi pembedahan tak boleh dijalankan," jawab
Teja perlahan. Zainal mengangguk.

Macam tidak percaya sahaja yang kanak-kanak sekecil ini ditimpa ujian
yang berat, dan masih mampu senyum dan ketawa. Terasa air mata bergenang
di tubir mata. Cepat-cepat dia mengelap mata sebelum air matanya tumpah.

Tengah hari itu agak redup. Waktu melawat sudah bermula. Zainal menyelak
buku nota Teknologi Kejuruteraan di atas ribanya. Entah dari mana
datangnya motivasi untuk membaca nota itu.

"Abang Zainal tengok apa tu?"

Zainal terus menoleh ke sebelahnya. Kelihatan Jalil tersengih-sengih
berdiri di sebelahnya. /Budak ni... Boleh berjalan rupanya?/

"Eh, kerusi roda mana?" Zainal bertanya pelik.

"Kerusi roda dah pulang balik. Ada orang nak pakai."

Zainal memandang Jalil atas bawah. Nampak sihat saja budak ni. Dia
menarik nafas lega.

Jalil menyentuh nota di atas katil yang terbuka. Gambar-gambar di dalam
nota itu menaik perhatiannya.

"Macam /best/ je buku ni. Ini buku apa, abang?"

"Oh, ni nota Teknologi Kejuruteraan. Bulan depan kan SPM. Jadi abang
buat ulangkaji. Bosanlah duduk sorang-sorang ni," kata Zainal sambil
tersenyum.

"Mak ayah abang mana?"

"InsyaALLAH, kejap lagi mereka datang. Lagipun mereka meniaga
kecil-kecilan," kata Zainal . "Adik?"

Jalil menunduk. "Mama dengan Papa sibuk," katanya sebelum mendongak dan
senyum. "Tapi mereka sibuk sebab cari duit untuk tampung kos ubat.
Sebab, sakit adik susah nak sembuh."

Ayat itu meruntun jiwa, namun dituturkan penuh bersahaja. Gayanya
bagaikan sudah redha dengan segala yang berlaku. Zainal hanya termenung
jauh mendengar jawapan itu.

Dari pintu masuk utama wad, muncul seorang wanita yang membuatkan hati
Zainal girang. Sebelah tangan wanita itu menjinjit mangkuk tingkat.

"Assalamualaikum, Mama!" Zainal berkata teruja sebaik sahaja wanita itu
berdiri di hadapan katilnya. Puan Balqis tersenyum melihat anaknya itu.
Dia kemudian memandang ke arah Jalil yang duduk di kerusi, tersenyum
manis dan menunduk tanda hormat.

"Waalaikumussalam," kata Puan Balqis, meletakkan mangkuk tingkat itu di
atas meja berhampiran. "Siapa adik comel ni, Wan?"

"Oh, nama dia Jalil. Jalil, kenalkan, ini Mama abang."

Nampaknya, untuk pertama kalinya, Zainal dan Jalil menikmati masakan Puan
Balqis, bersama. Makanan hospital hanya dijamah sedikit.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience