Completed
552
Rauod merenung rakan baiknya yang terlantar di atas katil. Sudah hampir
sebulan sejak Zainal dimasukkan ke hospital kerana disahkan menghidap
ewing sarkoma tahap 3, tanpa pengetahuan semua orang di sekolah termasuk rakan-rakan sekelasnya. Berita Zainal masuk hospital inipun baru sahaja
diketahuinya minggu lepas, terima kasih kepada Wanda sebab terlepas cakap.
Keadaan Zainal agak tragis. Tubuhnya yang sememangnya kurus tinggi itu
semakin kurus, wajahnya sedikit cengkung. Kaki kirinya membengkak, namun
dia masih mampu duduk dan berjalan. Itupun, tidak boleh lama-lama.
Sesiapa sahaja yang melihatnya, pasti akan diselubungi rasa sedih dan
kasihan.
Dan Zainal tidak suka reaksi itu.
"Sebab ni la aku malas nak bagitahu semua orang," bebel Zainal perlahan.
Rauod angkat kening seketika.
"Kenapa?"
"Yalah, aku pantang betul orang tengok aku dengan muka macam mop ni.
Toya je," kata Zainal lagi, memalingkan mukanya ke arah tingkap.
Rauod terus tertawa. Zainal tersenyum kecil mendengar tawa itu.
"Dah lama aku tak dengar orang ketawa, tahu?"
"Heh. Inikan hospital. Ada ke orang sakit ketawa tanpa sebab?" Rauod
berkata, sambil tersenyum.
"Ada. Orang sakit mental."
"Woi!" Bahu Zainal ditepuk. "Tak baiklah."
"Betullah," Zainal membalas, mencebik tidak puas hati. Mereka sama-sama
ketawa perlahan. Khuatir tawa mereka mengganggu ketenteraman wad
onkologi itu.
Share this novel