BAB 4

Other Completed 2590

Majid dan Asyikin duduk berdua di atas kerusi panjang yang disediakan di pantai tersebut. Angin sepoi-sepoi meniup dan alunan bayu yang menyenangkan menjadi peneman mereka berdua.

“Majid, beritahulah aku macam mana kau boleh tenang macam ni walaupun kau tahu yang bekas teman wanita kau dah jadi isteri orang? Hati kau tak sakit ke?” Tanya Asyikin dalam nada ingin tahu. Asyikin benar-benar ingin tahu bagaimana Majid masih boleh bertahan dalam menghadapi situasi demikian.

“Selawat ke atas nabi. Ingat Allah selalu. Hati mesti tenang. InsyaAllah…” Kata Majid perlahan. Asyikin mula mengatur bicaranya sekali lagi. Dia tidak berpuas hati dengan jawapan Majid.

“Itu aku tahu. Aku pun buat macam tu tau, Majid. Tapi kan… Kau tak rasa ke apa yang kau nak tu sepatutnya memang layak kau dapat? Maksud aku, bekas girlfriend kau tu memang layak buat kau. Kau pun baik jugak aku tengok. Alim orangnya.”

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu. Itu apa yang Al-Quran kata. Jadi, tawakal sajalah. Ada hikmah berlaku semua ni.” Terang Majid. Asyikin terdiam. Dia tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana dia tahu dia kurang arif dalam bab agama. Nak kata jahil tidaklah tetapi dia masih perlu belajar lagi.

“Waktu aku mula-mula jadi gila dulu, aku tak fikir apa yang berlaku ni semua ada hikmah. Aku tak boleh terima kenyataan. Tapi, lepas aku jadi gila tu… Lambat laun aku tahu yang Allah ada perancangan yang lebih baik untuk aku. Jodoh aku mungkin bukan dengan dia, tapi dengan orang lain.” Asyikin mendengar cerita Majid dengan teliti. Terdetik sedikit perasaan insaf dalam hatinya.

“Aku terpaksa buat pilihan sama ada untuk meroyan atau teruskan hidup aku. Jadi, aku pilih untuk teruskan hidup aku dengan syarat untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah ni. Tanggungjawab aku sebagai seorang Islam masih belum lagi selesai.” Majid mengesat air matanya yang mengalir sedikit. Dia terasa sedih akibat dosanya masa silam.

Dia mengikut nafsu semata-mata untuk mengejar teman wanitanya. Akibatnya, dia sendiri yang merana.

“Majid, aku tumpang simpati kat kau. Aku pun tak sangka…” Belum sempat Asyikin menghabiskan ayatnya Majid telah menyampuk.

“Asyikin, aku tahu kau masih lagi letakkan harapan kat Razi tu. Tapi, ingatlah… Jodoh itu di tangan Allah. Jangan merosakkan masjid yang dibina oleh orang. Berdosa kau tahu tak.” Nasihat Majid kepada Asyikin. Asyikin tersentap sekali lagi. Memang pedas benar ayat Majid. Betul-betul hatinya tersentap. Asyikin mula merasakan bahawa perbuatan dia selama ini amatlah salah. Dia mula berfikir sebentar.

“Aku tak tahu, Majid… Aku betul-betul tak tahu kenapa aku jadi teruk sampai macam ni.” Luah Asyikin dalam nada kesal. Majid memandang wajah Asyikin. Dia merenung perlahan ke dalam anak matanya. Ya, memang selama ini Asyikin mengikut hawa nafsunya semata-mata.

“Kalau hati kau sunyi, ingatlah Allah. Sesungguhnya perasaan sayang dan cinta itu Allah yang berikan kepada kita.” Nasihat Majid lagi.

Asyikin terasa segan. Dia dapat merasakan bahawa Majid adalah calon lelaki yang sesuai untuk dijadikan sebagai suaminya. Bukan Razi dan bukan sesiapa.

“Asyikin, aku nak tanya sesuatu kat kau, boleh tak?” Tanya Majid kepada Asyikin. Hati Asyikin berdegup kencang. Mungkinkah Majid hendak melamar dirinya? Persoalan itu bermain di minda Asyikin.

“Boleh. Apa dia?” Asyikin menelan air liurnya.

“Aku dengar masjid kat kampung ni dah lama tak digunakan. Orang kampung pun dah tak nak jemaah kat masjid tu sejak Haji Hamid meninggal. Betul ke?” Asyikin terdiam seketika. Nampaknya dia sahaja yang perasan lebih.

“Erm. Itulah yang aku dengar dari Pakcik Johari. Pakcik Johari kata nak jual tanah masjid tu kat kerajaan. Boleh dapat duit sikit untuk majukan projek perumahan kat kampung ni.” Cerita Asyikin kepada Majid. Majid menggelengkan kepalanya.

“Astaghfirullahalazim! Sampai macam tu sekali? Tak boleh jadi macam ni. Aku kena buat sesuatu ni. Orang kampung ni gila agaknya. Tanah masjid tu mana boleh dijual!” Majid membantah tentang penjualan tanah masjid Kampung Sungai Dua kepada kerajaan.

“Sabar, Majid. Kau nak buat apa?” Asyikin ingin tahu. Dia takut Majid buat kerja ‘gila’ lagi.

“Tengoklah nanti.” Ujar Majid.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience