Ya, memang semuanya salah dia.
Kalau dia tak paksa Adib hantarkan dia ke terminal masa itu, mesti Aira takkan pergi joging seorang-seorang. Mesti Aira takkan berjalan kaki ke taman tasik itu dan melintas jalan besar untuk ke sampai ke taman tasik. Mesti Aira takkan dilanggar oleh kereta yang dipandu laju. Mesti kepala Aira takkan terhentak ke divider jalan yang menyebabkan pendarahan teruk di kepalanya. Dan mesti Aira takkan meninggal dunia.
Memang semuanya salah Maya. Dia menipu Adib yang kereta Nadi rosak.
Perkara yang sebenarnya, kereta Nadi tak rosak pun. Malah, dia tak pernah meminta Nadi menghantarnya ke terminal. Dia beritahu Nadi yang Adib akan menghantarnya ke terminal, sedangkan dia hanya memberitahu Adib pada pukul 8.00 pagi hari Sabtu itu. Dia tahu Adib takkan menolak untuk menghantarnya ke terminal pada saat-saat akhir (walaupun mungkin lelaki itu akan ‘bising’ sekejap) sebab dia ini kan kawan baik Adib? Takkan Adib nak membiarkan dia tertinggal bas, kan?
Dan dia tak sangka, penipuannya terhadap Adib itu membawa kepada satu kehilangan besar dalam hidup Adib, iaitu Aira.
Ya, dia mengaku dia cemburu. Dia cemburu sebab sejak Adib bercinta dengan Aira, Adib dah semakin jarang meluangkan masa dengannya. Adib dah jarang belajar bersama-sama dengan dia di perpustakaan, Adib dah jarang mengajaknya makan di luar, Adib dah jarang membelikan murtabak di pasar malam untuk dia dan banyak lagi perkara yang tak lagi Adib buat sejak bercinta dengan Aira. Malah, semasa hari Adib menghantarnya ke terminal, itulah kali pertama dia nampak muka Adib selepas sebulan.
Selepas sebulan, okey? Nampak tak betapa lamanya dia dengan Adib tak berjumpa?
Sebab itu dia ‘mencuri’ masa Adib yang sepatutnya pergi joging dengan Aira, untuk menghantarnya ke terminal. Dia nak luangkan masa sekejap dengan Adib sebelum dia balik untuk cuti pertengahan semester. Masa itu, dia mengaku dia berfikiran cetek. Dia fikir yang biarlah dia ‘mencuri’ sekejap masa Adib, dan biarlah Adib sedar yang sekurang-kurangnya dia masih ada seorang kawan. Dan dia tak sangka, sikap pentingkan diri sendiri ini membawa kepada
putusnya persahabatan dia dengan Adib yang baru mencecah tiga tahun itu.
Share this novel