Maya menggenggam seatbelt di bahunya. Dia beristighfar dalam hati. Dia sempat mengerling ke arah meter yang menunjukkan kelajuan kereta yang dipandu oleh Adib ini. Hampir mencecah 130 km/j! Dia tahu Adib tengah marah sekarang ini. Dan dia tahu punca Adib marah itu ada kaitan dengan dia. Kalau tak, takkan Adib sanggup memandu secara berbahaya macam sekarang ini?
Tiba-tiba, tanpa memberi sebarang signal, Adib memotong sebuah kereta dan memasuki laluan kiri. Kemudian, dia putar stereng semula dan masuk ke laluan kanan. Dia menekan minyak sampai jarum meter itu hampir mencecah angka 150 km/j. Semasa dia masuk ke laluan kanan itu, hampir saja kereta Vios kelabu ini berlanggar dengan sebuah Myvi putih. Terus Myvi putih itu membunyikan hon yang panjang.
“Adib! Apa kau ni? Perlahan sikit kereta ni!” Terjerit Maya semasa kereta Adib hampir terlanggar kereta Myvi itu. Kalau Myvi itu laju sikit, mesti dua kereta ini dah berlanggar. Dan dengan kelajuan kereta yang dipandu oleh Adib ini, tak mustahil kemalangan ngeri akan berlaku. Sebab itu Maya agak takut dan spontan menjerit kepada Adib.
“Stop shouting. I’m driving.”
“This is not driving, bodoh!” Terkeluar perkataan itu dari mulut Maya bila Adib tiba-tiba menukar laluan ke kiri untuk memotong sebuah lagi kereta.
“Kalau kau tak nak naik kereta dengan orang bodoh ni, lain kali jangan pandai-pandai mengadu kat semua orang!”
“I am not! Aku tak tahu punAdib!!!” Maya terjerit sekali lagi bila Adib terus saja menekan minyak walaupun lampu isyarat dah bertukar ke warna merah. Yang mendebarkan lagi, hampir saja sebuah motorsikal merempuh sisi kiri kereta itu kalau Adib tak memandu laju. Dan sisi kiri kereta maksudnya tempat duduk penumpang, di mana tempat Maya duduk sekarang ini. Menggigil tubuh Maya sebab terlalu takut.
“Stop the car, Adib,” kata Maya, perlahan. Dia dah tak larat untuk menjerit lagi. Tangannya dah menggigil dan berpeluh sebab terlalu takut dengan cara Adib memandu yang agak berbahaya itu.
Adib terus menekan minyak dan tak mempedulikan kata-kata Maya itu.
“I said stop the car!!!”
Adib terus brek secara mengejut di bahu jalan sampaikan dahi Maya terhentak ke dashboard. Maya tahu, Adib bukan brek mengejut sebab dia menjerit. Tapi, Adib memang sengaja brek mengejut untuk membalas dendam. Tengok sajalah muka Adib masa itu. Langsung tak ada rasa bersalah.
Maya meraup muka. Dia tak dapat menahan air matanya daripada keluar. Dia marah, takut, dan sedih. Marah sebab Adib sangat ego sampaikan memandu kereta dengan laju. Takut sebab hampir saja nyawanya melayang dengan cara Adib memandu kereta ini. Dan sedih sebab sampai sekarang, Adib tak ada ura-ura untuk maafkan kesalahan yang dia buat empat tahun lepas. Dengan cara macam ini ke Adib membalas dendam kepadanya?
“Mama kau called aku. Aku tak tahu pun dia kat rumah aku sekarang. Dia tanya aku kat mana, then aku cakap aku baru nak balik. Dia tahu aku tak bawak kereta hari ni sebab dia nampak kereta aku kat rumah. Dia cakap dia nak call kau dan suruh kau ambik aku. Aku tahu kau takkan percaya cakap aku, tapi aku dah cakap kat mama kau yang aku tak kisah pun kalau aku naik bas. Aku” Maya mengesat hidungnya yang tersumbat. “Kenapa aku kena explain benda ni kat kau?” Gumam Maya.
Ketika itu baru dia sedar yang tak ada guna pun kalau dia bersungguh-sungguh nak terangkan apa yang berlaku sebenarnya. Adib marah dia sebab Adib ingat dia mengadu kepada Makcik Lisa yang dia terpaksa menaiki bas untuk pulang dari kerja hari ini. Dan Makcik Lisa pula terus menelefon Adib dan suruh anaknya itu menjemput Maya balik. Situasi itu ternyata menyusahkan Adib dan menampakkan yang seolah-olah Maya yang suruh Adib menjemputnya balik.
“Kita balik.” Adib berkata sepatah sambil menurunkan brek tangan.
“Nanti.” Maya mula panik. Dia tak sanggup nak naik kereta lagi dengan Adib.
Maya membuka zip beg tangannya dan mencari sesuatu. Nasib baik beg tangannya taklah penuh sangat dengan barang-barang, jadi senang saja tangannya mencapai kotak kecil itu. Dengan tangan yang masih menggigil, dia meletakkan kotak kecil itu di atas dashboard. Kotak kecil yang berisi cincin belah rotan yang dah lama dia tanggalkan dulu.
“Apa ni?” Mendatar suara Adib bertanya.
“Cincin.” Suara Maya pula hampir tak terkeluar. Dia masih lagi rasa takut, panik, dan cuak dengan kejadian tadi. Selepas itu, dia terus membuka seatbelt dan membuka pintu kereta. Dia sandang beg tangan ke bahu dan melangkah keluar dari kereta. Lebih baik dia balik menaiki bas daripada mempertaruhkan nyawa dengan cara Adib memandu kereta itu. Dan
dia berharap dia takkan berjumpa lagi dengan Adib.
Share this novel