“Maya. Turun lunch tak?” Affiz melaung dari meja kerjanya. Lelaki itu lepak saja bersandar ke kerusi sambil meletakkan tangan di belakang kepala. Itu mesti sebab dah penat menghadap kerja sejak pukul 9.00 pagi tadi.
“Rasa macam malas la. Tak lapar pun,” jawab Maya. Dia masih lagi sibuk menghadap skrin komputer, memastikan drawing yang dibuatnya tak ada kesilapan.
“Jom la lunch. Tak payah la diet. Adib takkan lari la kalau kau gemuk sikit pun,” sambung Affiz, masih di posisi yang sama.
Terdengar saja nama Adib, terus Maya angkat muka dan pandang Affiz yang duduk berdepan dengan meja kerjanya. Dah banyak kali dia berpesan kepada Affiz supaya jangan sebut nama Adib di dalam office ini. Kenapa? Sebab tak ada siapa pun tahu yang dia sebenarnya dah bertunang! Cuma Affiz seorang saja yang tahu. Itu pun sebab
Affiz itu ialah sepupu kepada Adib. Sepupu rapat pulak tu!
Masa majlis pertunangan dia dengan Adib sebulan yang lepas, terkejut Maya bila dia ternampak Affiz di ruang tamu rumahnya. Dia ingatkan Affiz itulah bakal tunangnya. Tapi, yang membuatkan dia lebih terkejut, tunang dia yang sebenar ialah Adib! Adib yang dulunya pernah menjadi kawan baik dia. Kenapalah dia tak pernah tahu yang Adib itu anak Makcik Lisa? Kalau dia tahu, awal-awal lagi dia menolak cadangan Makcik Lisa itu.
Nasib baiklah keluarga dia dengan Adib pun bersetuju untuk membuat majlis pertunangan yang sangat ringkas saja. Hanya dua buah keluarga saja yang menyaksikan pertunangan itu, iaitu keluarga dia dan keluarga Adib sendiri. Tak ada sebarang hantaran, tak ada sebarang pantun, dan tak ada baju khas untuk pertunangan itu. Dia hanya memakai baju kurung biasa, manakala Adib pula hanya memakai t-shirt berkolar biasa dan seluar jeans.
Tersangat sangat sangat ringkas.
Dan disebabkan dia hanya membuat majlis yang ringkas, Maya tak beritahu kepada kawan sekerjanya pun yang dia dah bertunang. Dia risau kalau-kalau mereka berkecil hati sebab mereka tak dijemput. Lagipun kan Adib dah buat keputusan untuk putuskan pertunangan mereka ini? Jadi, tak ada beza pun kan kalau dia tak beritahu kawan-kawan sekerjanya yang dia dah bertunang?
“Affiz. Kan aku dah cakap jangan sebut nama Adib kat sini?” Maya berkata sambil mengetap bibir. Sambil itu, sempat dia menoleh ke kiri dan kanan. Nasib baik tak ada orang kat office sekarang ni. Agaknya semua dah turun awal untuk makan tengah hari.
“Bukannya ada orang pun. Jom la turun lunch. Aku lapar ni.” Affiz dah bangun dari kerusi dan menggeliat sedikit. Dia tak pedulikan langsung kata-kata Maya tadi.
Maya mengeluh perlahan. Sabar sajalah dengan perangai Affiz seorang ini. “Sufi mana? Tak ajak dia sekali?”
“Dia awal-awal lagi dah turun. Busy betul dia sekarang ni nak siapkan preparation kahwin dia tu.”
Maya mengangguk. Dia klik butang hibernate pada komputer meja kerjanya dan mencapai dompet dari dalam laci. Kemudian dia berjalan ke arah Affiz yang dah menunggu di depan pintu kaca office. Semasa dia dan Affiz menunggu lif, dia tiba-tiba terfikirkan sesuatu.
“Fiz.”
“Hmm.” Affiz menjawab sambil melihat skrin handphone.
“Kau tak ajak Adib lunch sekali dengan kita, kan?” Maya pandang Affiz yang masih sibuk dengan handphone.
“Tak. Tak ada.” Laju Affiz menjawab.
“Betul ni? Kau ni bukannya boleh percaya sangat.” Maya merungut.
Share this novel