NAMA aku Farhan Imran. Aku seorang pemain badminton professional Malaysia. Aku mula berkecimpung dalam bidang sukan ini ketika usiaku menjangkau 18 tahun.
Di saat remaja-remaja lain bebas bersama teman-teman menikmati usia remaja mereka, aku sudah terikat dengan jadual sendiri. Jadual yang cukup memeritkan aku setiap hari.
Namun kini tidak ada langsung perkataan kesal dalam hidupku memilih bidang yang dipandang seolah tiada masa hadapan. Terimbau kembali saat kali pertama aku menjebakkan diri dalam dunia badminton.
Jiwaku memberontak resah ketika itu kerana minatku lebih mendalam terhadap sukan bola sepak. Ayahku Haji Marzuki bertegas mahu aku belajar bermain badminton dan atas dasar hormat pada ayah, akhirnya aku turutkan jua kehendaknya.
Hari pertama aku menjalani latihan bersama coach Ah Beng yang juga sahabat ayah sebagai seorang pemain amatur. Masih terngiang-ngiang di telingaku setiap kata-kata jurulatih pertama yang menggilap bakatku dalam dunia badminton hingga menjadikan aku kini sebagai seorang pemain professional.
“Farhan, sekarang saya mauyou warm up dulu.”Coach Ah Beng memberi arahan pertamanya padaku.
Di saat aku sedang memanaskan badan, mataku liar memerhati sekeliling. Kelihatan beberapa pemain muda berbangsa cina ligat menjalani latihan badminton di bawah pemerhatian coach Ah Beng.
“Coach, saya sudah warm up.” Aku bergegas mendapatkan coach Ah Beng sambil menunjukkan kesediaan aku untuk memulakan latihan.
“Okey good, sekarang kamu ada nampak itu padang? Saya mau kamu lari itu padang 20 round.”
Mata aku terbeliak waktu itu, 20 pusingan padang sebesar bola sepak? Ah.. mungkin aku tersalah dengar. Aku cuba menyedapkan hati sendiri.
Share this novel