“Cinta tidak akan diuji andai tiada yang perlu diperjuangkan.”
Sejak pengakuan Hariz di taman tempoh hari, hubungan antara dia dan Aleeya berubah sepenuhnya. Tiada lagi batasan yang tercipta atas nama "sementara". Mereka kini lebih terbuka dalam menzahirkan kasih sayang. Usikan kecil, senyuman yang bertukar pandang dan perbualan mesra menjadi santapan harian dalam rumah kecil mereka itu. Aleeya kini sudah tidak kekok untuk menyediakan makan malam sambil menyanyi perlahan, manakala Izz pula gemar membantu mengemas di dapur sambil bercerita tentang hari-harinya di pejabat.
Namun, langit tidak selalu cerah. Di sebalik kebahagiaan itu, badai mula merintis jalannya dalam diam.
Pagi Jumaat itu, Aleeya menerima satu panggilan yang mengejutkan.
“Assalamualaikum, puan. Ini dari Hospital Pakar Nilam. Kami ingin memaklumkan bahawa ayah puan, Encik Zainal dimasukkan ke wad kecemasan awal pagi tadi. Keadaannya agak kritikal.”
Hati Aleeya bagai direntap. Ayahnya, walau hubungan mereka sedikit renggang sejak perkahwinan ini, tetap merupakan lelaki yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Tanpa berlengah, dia meminta cuti kecemasan dan terus ke hospital dengan Izz yang memandu.
Setibanya di hospital, Aleeya bergegas ke wad ICU. Di luar bilik rawatan, ibu tirinya, Puan Mahani, kelihatan resah.
“Ayah macam mana, mak cik?” tanya Aleeya, tergesa.
Puan Mahani mengeluh berat. “Doktor kata ada saluran jantung tersumbat. Ayah kamu pengsan masa tengah solat Subuh tadi. Sekarang ni tengah pantau ketat.”
Aleeya mengeluh dalam tangisan. Hariz memegang bahunya erat.
Beberapa jam kemudian, doktor keluar dari bilik rawatan. “Alhamdulillah, buat masa ni keadaan stabil. Tapi dia perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat.”
Beberapa hari selepas itu, Aleeya menjaga ayahnya di hospital. Hariz pula berulang-alik dari pejabat, menghantar makanan, dan memastikan Aleeya tidak terlalu letih. Namun, di sinilah ujian itu mula menyelinap.
Ketika Aleeya sedang membetulkan selimut ayahnya, suara garau lelaki itu akhirnya bersuara buat kali pertama sejak sedar.
“Leeya, ayah ada satu permintaan...”
Aleeya segera mendekat. “Apa dia, ayah?”
“Ayah... tak nak tengok kamu derita dalam rumah tangga. Kalau kamu kahwin sebab nak jaga maruah ayah, ayah rela... kamu lepaskan dia.”
Aleeya terpempan. “Ayah... kami kahwin memang sebab keadaan, tapi sekarang... saya sayang dia.”
“Sayang belum tentu bahagia. Hariz anak orang kaya. Kamu anak orang biasa. Dunia kamu lain.”
“Ayah... Hariz terima saya seadanya. Dia tak pernah pun pandang saya rendah.”
“Ayah cuma nak pastikan kamu tak kecewa nanti.”
Aleeya keluar dari bilik ayahnya dengan hati yang berkecamuk. Kata-kata itu menusuk ke dasar jiwanya. Walaupun dia tahu Hariz tidak pernah memperlekehkan dirinya, namun ada bahagian dari dirinya yang mula ragu. Adakah cinta mereka cukup kuat untuk menentang jurang status dan pandangan keluarga?
Beberapa hari kemudian, satu lagi tamparan melanda.
Ketika Aleeya sedang menyemak dokumen di pejabat, seorang wanita muda datang menemuinya.
“Awak Nur Aleeya?” tanya wanita itu, angkuh.
Aleeya mengangguk, hairan.
“Saya Natasha. Bekas tunang Hariz. Saya cuma nak awak tahu... awak cuma ganti sementara. Dia akan kembali pada saya. Percayalah.”
Aleeya tergamam. “Maaf, saya tak rasa dia akan—”
“Awak rasa awak cukup bagus untuk jadi isteri Hariz? Awak tahu tak, mak dia tak pernah terima awak pun? Awak cuma pilihan terpaksa!”
Kata-kata Natasha menikam terus ke hati. Aleeya tidak menjawab. Dia hanya memerhati wanita itu berlalu dengan senyuman sinis.
Petang itu, Hariz datang menjemput Aleeya seperti biasa. Namun wajah Aleeya berubah suram. Dalam perjalanan pulang, Aleeya bersuara.
“Betul ke awak pernah bertunang dengan Natasha?”
Hariz terdiam sebentar. “Ya... tapi dah lama putus. Dia tinggalkan saya bila tahu keluarga saya alami masalah kewangan satu ketika dulu.”
“Dia datang cari saya tadi. Dia kata... saya cuma pengganti.”
Hariz berhenti memandu di bahu jalan. Dia menoleh ke arah Aleeya.
“Leeya, dengar sini. Dulu saya fikir cinta itu sekadar rasa. Tapi sejak awak hadir, saya belajar bahawa cinta itu perjuangan. Natasha mungkin masa lalu saya, tapi awak... awak masa depan saya.”
Aleeya tunduk. Air matanya jatuh perlahan. “Saya cuma takut... takut awak berubah bila keluarga awak tekan awak.”
Hariz mencapai tangan Aleeya. “Saya takkan lepaskan awak, walau siapa pun datang halang.”
Namun dugaan itu belum berakhir.
Malam itu, Aleeya menerima panggilan daripada Datin Salina, ibu Hariz. Wanita itu meminta untuk bertemu secara peribadi.
Mereka bertemu di sebuah restoran. Datin Salina terus kepada tajuk utama.
“Aleeya, mama hargai pengorbanan leeya kahwini anak mama demi nama baik keluarga. Tapi mama mahu leeya lepaskan dia. Leeya masih muda, boleh bina hidup sendiri.”
“Maaf, mama. Tapi Leeya dan Hariz saling mencintai.”
“Cinta saja tak cukup, sayang. Mama tahu Hariz buat semua ini sebab tanggungjawab. Bukan cinta. Lagipun, Leeya tak sesuai dengan kehidupan kami.”
Aleeya menggenggam jari. “Saya mungkin bukan dari keluarga berada, tapi saya tidak hina. Saya ada maruah. Saya takkan undur diri kerana ibu rasa saya tak layak.”
Datin Salina meneguk air perlahan, jelas tidak senang dengan jawapan Aleeya.
“Mama harap Leeya tak buat keputusan yang menyakitkan dua-dua pihak.”
Balik ke rumah, Aleeya menangis dalam pelukan Hariz.
“Semua orang nampak saya macam tak layak untuk awak...”
Hariz memeluknya erat. “Mereka tak nampak apa yang saya nampak dalam diri awak. Awak kuat, awak sabar... dan awak yang saya cinta.”
Aleeya menangis dalam diam. Dia tahu, cabaran baru sahaja bermula. Dunia tidak akan berhenti menguji mereka hanya kerana mereka jatuh cinta. Tapi dia juga tahu, cinta sejati tidak akan lari, sebaliknya akan terus berjuang.
Dalam cinta, hadirnya ujian bukan untuk memisahkan, tetapi untuk menguji keutuhan hati. Aleeya dan Hariz kini berdiri di persimpangan antara restu dan cinta, antara darah daging dan hati sendiri. Mampukah mereka terus mempertahankan hubungan ini, atau akhirnya tunduk pada tekanan dunia luar.
Share this novel