Malam yang dingin itu, Johan duduk bersendirian di balkoni rumahnya sambil memandang jauh ke langit yang gelap.
Di tangannya ada segelas teh yang sudah sejuk. Fikirannya sekarang bukanlah pada teh tersebut, tetapi kepada perkara yang baru saja dilaluinya. Kemenangan kelab yang diuruskannya bersama Zariq sepatutnya menjadi sesuatu yang mengembirakan, tapi sebaliknya semua itu meninggalkan perasan berat yang tidak dapat diterangkan.
Sementara itu di ruang tamu. Zariq sedang menonton semula rakaman perlawanan terakhir mereka dengan perasaan bangga. Dia meneliti setiap gerakan Amirul, setiap hantaran yang membawa kepada gol tunggal kemenangan mereka. Tapi seperti Johan, Zariq juga tidak dapat menikmati kemenangan itu sepenuhnya.
Perasaan bimbang menghantui mereka berdua. Zariq menghela nafas panjang sebelum berjalan ke balkonk untuk menyertai Johan.
“Kita dah berjaya, Johan,” kata Zariq, memecah keheningan malam. “Kita berdua dah bawa kelab ini ke peringkat yang tak pernah kita jangkakan. Tapi kenapa ye? Aku rasa kosong dengan semua ni?”
Johan tidak mengalihkan pandangannya dari langit yang gelap di hadapannya. Dia tahu perasaan Zariq, kerana dia juga merasakan perkara yang sama. "Kadang-kadang... kemenangan bukanlah segala-galanya. Kita dah menang di atas padang, tapi... kita kalah di tempat lain."
Zariq duduk disebelah Johan. Dia diam seketika dan membiarkan kata-kata Johan bergema dalam fikirannya. "Kalah? Kalah dimana? Kita dah bawa pasukan ni ke pusingan play-off dan penyokong dah mula percaya dengan kita. Kita sepatutnya bergembira."
Johan akhirnya memalingkan wajahnya, matanya menunjukkan keletihan yang mendalam. “Aku bercakap tentang harga yang kita bayar untuk kita sampai ke tahap ini. Semua ini tak datang tanpa pengorbanan, Zariq. Kita dah habiskan hampir semua dana yang kita ada. Kita berjaya dalam perlawanan, tapi di luar padang, banyak masalah masih membelenggu kelab.”
Zariq terdiam, terasa seperti ada tamparan kepada wajahnya selepas Johan berkata begitu. Dia tahu semua itu, tapi mendengar secara terus dari mulut Johan membuatkan kenyataan itu bertambah pahit. “Tapi kita akan dapat lebih banyak penaja kalau kita menang play-off nanti. Mungkin akan ada jalan keluar.”
Johan menggelengkan kepalanya perlahan. “Itu kalau kita menang. Kalau kita kalah, semuanya akan musnah. Kita dah pertaruhkan segala-galanya, Zariq. Masa depan kelab ini dan masa depan kita sendiri.”
Perkataan Johan itu menikam-nikam hati Zariq. Selama ini, mereka mengejar impian untuk membina semula Elma FC. Tetapi, semakin hampir mereka untuk mencapai kejayaan, semakin berat beban yang mereka tanggung.
“Aku tak pernah terfikir akan jadi macam ni,” bisik Zariq, suaranya serak. “Aku cuma fikir... kalau kita menang, semua akan baik sahaja. Tapi sekarang...”
Johan memotong, suaranya perlahan tetapi tegas. “Kita dah terlalu banyak berharap pada kemenangan. Tapi, kehidupan tak semudah tu. Kita kena sedia untuk berhadapan dengan perkara buruk yang tak dijangka.”
“Aku cuma fikir... kalau kita menang, semua akan baik sahaja. Tapi sekarang...”
Share this novel