Hujan yang mulai turun tidak mampu mengembalikan fikiran Zulaika yang sudah terbang jauh. Pandangannya terarah kosong ke luar jendela. Sejak pertemuan tidak sengaja dengan Rizqi sebulan lalu, lamunan menjadi peneman setia.
Menatap wajah itu, rasa cinta yang cuba dikubur dan dikunci kemas kembali mekar. 'Sebak', itulah yang dirasa, ketika menatap raut yang pernah mengisi segenap hatinya, dan masih lagi pemilik hatinya. Sekuat mungkin cuba ditahan airmata dari tumpah di depan lelaki itu. Sehabis daya cuma sembunyikan getaran suara. Sedar, dirinya yang meminta perpisahan antara mereka. Dia yang melepaskan tangan lelaki itu. Dia juga yang menorehkan luka pada hati itu.
Namun, tiga tahun tidak bertemu, tidak memudarkan rasa cintanya. Wajah dan nama lelaki itu masih terpahat kukuh dalam hati. Berkali-kali diajarkan diri untuk melupakan. Tapi, mana mungkin hati dan fikiran berjalan seiringan.
Air mata penyesalan tumpah juga tanpa disedari. Terlalu banyak kesilapan yang dibuat dalam meniti arus kedewasaan. Banyak langkah yang tersasar jauh. Banyak hati yang terluka. Masih adakah ruang kemaafan? Masihkah wujud sinar bahagia di hujung penantiannya?
Dia mencintai lelaki itu sepenuh hati. Dia impikan untuk menjadi suri dalam hidup lelaki itu. Angankan untuk menua bersama. Tak pernah disangka, ruang ketika mereka berjauhan akan diisi oleh lelaki lain. Salah sendiri, tewas dengan kesunyian hati dan pujuk rayu. Bertahun kecurangan itu disembunyikan. Hingga saat ini, masih menjadi rahsia. Dia menutup kebusukkan diri dengan tudung yang labuh. Penyesalan itu datang terlalu lambat. Ketika semuanya hampir hancur.
'RIZQI...' Zulaika menyeru perlahan nama lelaki itu dalam hati.
Mendengar nyaring tangisan Ayash, Zulaika pantas menyeka air mata yang masih bersisa. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan hati dan perasaan. Langkah diatur laju mendapatkan putera kesayangannya.
*************
Zulaika tunduk merenung lantai. Tidak berani beradu pandangan dengan kedua orang tuanya. Hanya air mata yang menjadi peneman setia. Zarlina di sebelah menggenggam erat tangan, cuba menyalurkan semangat.
"Kenapa kakak tak bawa bincang dengan umi dan abi? Kenapa terburu-buru buat keputusan? Kahwin cerai ni bukan soal main-main", Puan Zaidah mengusap perlahan hujung mata. Kecewa suaranya menyoal Zulaika. Ibu dan bapa mana tidak kecewa anak membelakangi mereka. Hati mana tidak sedih melihat keruntuhan masjid anaknya.
Encik Rashid yang berdiam diri sejak tadi menghembus panjang nafas. Ditepuk perlahan tangan wanita paruh baya itu, melihat sang isteri sudah dibawa emosi.
Tanpa menunggu Encik Rashid membuka mulut, Zulfan terlebih dulu mencelah. "Kahwin ni bukan main pondok-pondok. Kalau suka, kahwin. Tak suka, cerai. Kalau tahu nak jadi macam ni, dari awal lagi tak payah kahwin. Baru tiga tahun dah nak bercerai. Rumah tangga mana tak ada masalah, tak pernah bergaduh. Kena pandai-pandailah nak selesaikan. Kita ni kahwin dengan orang, biasalah kalau ada buat silap", hambur Zulfan meluahkan kemarahan yang ditahan sedari tadi.
"Along tak faham, kenapa akak boleh berfikiran singkat macam ni? Macam orang tak ada ilmu. Perkahwinan ni selagi kita boleh pertahankan, kita akan usaha. Kakak tak fikirkan anak ke?", tajam Zulfan menyoal Zulaika.
"Along, keputusan ni bukan buat sebelah pihak. Abang Daus pun salah juga. Tak adil kalau salahkan akak sorang", Zarlina cuba pertahankan sang kakak. Perlahan suaranya cuba menentang Zulfan, abang sulung mereka. Rasa gentar di hati cuba ditepis. Sejak kecil, lelaki itu sangat tegas.
"Maksud Lina? Baguslah bercerai berai macam ni. Tak payah usaha perbaiki kedaaan, tak payah usaha nak berbaik. Tak payah usaha selesaikan masalah", mendatar Zulfan menyoal.
"Bukan macam tu Long...Maksud Lina buat apa kita nak bertahan dalam rumah tangga yang tak ada rasa cinta. Tak kan bahagia. Kita kahwin sebab nak hidup bahagia. Bukan nak tambah derita. Kalau tak, lebih baik tak payah kahwin", bangkang Zarlina tidak puas hati.
"Lina! Sebelum buka mulut fikir dulu. Jangan cakap macam orang tak ada iman, tak ada akal. Mudahnya cakap bila ikut hati", Zulfan menatap tajam wajah adik bangsunya.
Kecut perut Zarlina melihat tajam jelingan Zulfan. Sedar abang sulungnya, sedang menahan marah. Terus dia menutup mulut, tidak berani mengikis kesabaran lelaki itu lagi.
"Akak minta maaf sebab kecewakan umi dan walid. Akak tahu, perbuatan akak malukan umi dan walid...tapi akak dah tak mampu... nak teruskan perkahwinan ni...Berpisah adalah jalan terbaik untuk akak dan Daus". Zulaika mengusap pipi yang sudah lencun dengan air mata sedari tadi. Suaranya tersekat-sekat menahan tangisan dari pecah.
Mustahil untuk dia dan Firdaus mencari bahagia bersama. Tidak pernah ada rasa cinta antara mereka. Dari awal hubungan itu dimulakan dengan sebuah keterpaksaan, bagi menjaga hati kedua belah keluarga. Sejak dari mula pernikahan mereka dipenuhi dengan penipuan dan sandiwara.
Terlalu banyak garis luka dia berikan pada bekas suaminya. Terlalu banyak yang lelaki itu korbankan untuk menutup keaibannya. Terlalu banyak yang lelaki itu lakukan untuk terus bertahan dalam pernikahan mereka. Sudah masanya, Firdaus mencari bahagianya sendiri. Keputusan mereka melukakan hati banyak pihak. Tapi, menoktahkan semua ini jalan yang terbaik.
"Apa salah Daus sebenarnya? Dia pernah naik tangan dekat kakak? Dia pernah marah-marah, maki hamun? Dia panas baran? Cuba kakak terus terang dengan umi. Bagitahu sebab sebetulnya dengan umi. Jangan biar umi dan walid terus tertanya-tanya", bertubi-tubi Puan Zaidah menyoal Zulaika. Melihat anak perempuanya terus bermain tarik tali, kesabarannya mula menipis.
"Kalau akak terus berdiam diri tak akan selesaikan masalah. Umi cuma nak tahu sebab apa akak minta cerai dengan Daus. Atau.... Daus ada perempuan lain?", melihat Zulaika terus membisu Puan Saidah mula membuat andaian. Tinggi suaranya menyoal Zulaika.
"Tak umi! Sepanjang kami kahwin Daus tak pernah ada perempuan lain. Dia tak pernah naik tangan dekat akak. Ayash pun dia tak pernah pukul", perlahan suara Zulaika menjawab. Tidak berani menatap wajah uminya. Tidak sanggup melihat kekecewaan di wajah tua itu.
"Jadi kenapa akak minta cerai?", Puan Saidah terus menekan. Tidak puas selagi tidak mendengar jawapan dari bibir anaknya sendiri.
"Dah tak ada cinta antara kami umi", Zulaika memejam rapat kedua matanya. Tak pernah ada cinta antara mereka. Perasaan tu tak pernah berputik walau sedikit dalam hati.
Mengucap panjang Encik Rashid mendengar jawapan Zulaika. Tak disangka, itu sebab penceraian anak dan menantunya. Tidak pernah terlintas di fikiran, Zulaika boleh membuat keputusan sesingkat itu. Encik Rashid menyandarkan tubuh tuanya ke kerusi. Di usap perlahan dada yang terasa sesak tiba-tiba.
Zulfan bingkas bangun menghampiri ayahnya. Digosok perlahan dada Encik Rashid untuk mengurangkan rasa sakit. "Jangan ikutkan perasaan walid. Benda dah jadi jangan difikirkan sangat. Nasi dah jadi bubur. Kesihatan walid lagi penting. Kita doakan yang terbaik saja", nasihat Zulfan. Risau juga, memandangkan Encik Rashid tidak begitu sihat.
Puan Saidah mengurut-urut perlahan lengan Encik Rashid. Air matanya bergenang melihat lemah wajah sang suami. Tahu Encik Rashid sangat terpukul dengan penceraian Zulaika. Sementelah, Zulaika anak kesayangan dan kebanggaannya. Penceraian itu memberi tamparan besar pada mereka. Sudahlah Firdaus anak kepada teman baik Encik Rashid, yang dikenali sejak muda.
Zulaika dan Zarlina terus menerpa ke arah Encik Rashid dan Puan Saidah. Zulaika terduduk bersimpuh di kaki Encik Rashid. Berkali-kali dia memohon ampun dan maaf. Terasa berdosa, melihat bertapa sakit dan terlukanya kedua orang tuanya.
"Mana ibu dan walid nak letak muka tua kami, kalau orang tahu. Kata, pandai sangat didik anak. Sempurna serba serbi. Ciri wanita solehah. Tapi, baru kahwin tiga tahun dah bercerai. Malu umi", teresak-esak Puan Saidah meluahkan perasaan. Tangan Zulaika ditepis kasar sebelum mengangkat punggung berlalu dari ruang tamu. Tidak mahu mamandang wajah anaknya.
"Umi...", sayu suara Zulaika memanggil ibunya.
***********
Finally..... release juga bhgn kedua♥️...thank you for support... please stay support karya sis♥️... novel ni agak slow update...harap bersabar...♥️♥️♥️
Share this novel
best