Salah satu perubahan besar yang Johan dan Zariq segera lakukan adalah memberi fokus penuh kepada akademi bola sepak Elma FC. Mereka yakin masa depan kelab terletak pada pemain-pemain muda yang mereka latih sendiri.
Di pusat latihan akademi, Johan berdiri di tepi padang, memerhati dengan teliti. Sekumpulan pemain muda sedang berlatih, menunjukkan bakat dan potensi yang belum diasah sepenuhnya. Salah seorang pemain menarik perhatiannya— ialah seorang pemain tengah yang berusia hanya 17 tahun, tetapi dia sudah mempunyai kemahiran teknikal yang luar biasa.
“Siapa budak tu?” tanya Johan kepada jurulatih akademi.
“Itu Amirul,” jawab jurulatih. “Dia baru masuk akademi kita tahun lepas, tapi bakatnya berkembang dengan cepat. Dia ada potensi besar untuk menjadi bintang di kelab kita.”
Johan tersenyum. “Saya nak lihat dia lebih banyak bermain di pasukan utama. Kita perlu beri peluang kepada pemain muda seperti dia.”
Zariq yang berdiri di sebelah Johan turut memerhati dengan kagum. “Kalau kita teruskan rancangan seperti ini, Elma FC bukan sahaja boleh membina pasukan yang kuat, tetapi juga menjana pendapatan dengan menjual pemain-pemain berbakat besar ke kelab-kelab liga utama baik dalam ataupun luar negara.”
Mereka tahu bahawa fokus kepada pemain muda ini akan mengambil masa yang panjang untuk memetik hasilnya, tetapi mereka tetap yakin ini adalah cara yang terbaik untuk membina masa depan kelab secara berpanjangan.
“Dia baru masuk akademi kita tahun lepas, tapi bakatnya berkembang dengan cepat. Dia ada potensi besar untuk menjadi bintang di kelab kita.”
Share this novel