Rate

BAB 5

Romance Completed 7028

Pagi itu Zarif sibuk menyiapkan kertas-kertas kerja yang bertimbun di atas mejanya. Semuanya projek terbaru syarikat yang diusahakan sendiri oleh Fakrul dan Zarif. Sampai sarapan pun dia tak sempat nak jamah. Fakrul pula pagi-pagi lagi sudah menghilang. Semalam tak pulang ke rumah. Apa nak jadilah dengan kau ni, Fakrul.

Majlis nikah tinggal tiga hari saja lagi. Itupun masih nak buat hal. Orang di rumah tu tengah sibuk buat persiapan kahwin. Dia? Hmmm… Kadang-kadang kalau Fakrul tiada dengan pelbagai alasannya, Zariflah yang selalu menolong dan jadi peneman Nurul dalam persiapan kahwin itu.

Macam dirinya pula yang akan berkahwin nanti. Dalam hati, dia tidak kisah. Malah, dia berasa bahagia bersama Nurul. Adakah…..? Aaarghhh… jangan mengarut! Zarif menumpukan semula perhatiannya kepada kertas kerja tersebut dan cuba menghilangkan nama Nurul dalam fikirannya ketika itu. Dia sedar. Gadis itu bukan untuknya. Tetapi, Fakrul.

Tiba-tiba…. Nurul datang merempuh masuk ke dalam pejabat Zarif dengan wajah tegang. Setiausaha Zarif cuba menghalang tetapi tidak berjaya. Zarif berdiri dari duduknya dengan perasaan terkejut. Mata mereka bertentangan. Nurul kelihatan sangat marah. Zarif terkelu. Kenapa ni?

“Maaf Encik Zarif, saya dah cuba halang tapi…”terang setiausahanya itu, gugup.

“Tak apa. Awak boleh keluar,”

“Baik, Encik Zarif,” Gadis tinggi lampai itu keluar dan menutup pintu bilik tersebut. Kini hanya tinggal Zarif dan Nurul sahaja. Mata Nurul tidak lepas dari memandang Zarif dengan perasaan marah dan sakit hati bercampur. Matanya nampak berair. Zarif mula rasa risau lalu dia melangkah menghampiri gadis itu perlahan-lahan.

“Nurul? Kenapa ni?” tanya Zarif dengan penuh berhati-hati.

Tanpa menunggu dan menjawab soalan lelaki itu, Nurul terus mencampak beberapa keping gambar ke wajah Zarif. Lelaki itu tersentak dan memandang kepingan gambar yang jatuh ke lantai sebelum mengambilnya. Gambar Fakrul berpelukkan dengan seorang gadis seksi. Ada yang tanpa pakaian dan hanya ditutup dengan tuala. Ada juga gambar Fakrul dengan gadis yang berlainan di atas katil. Mana dia dapat semua gambar-gambar ni?

“Nurul….”

“Ssshhh…!” Nurul menghalakan jari telunjuknya ke bibir. Air matanya sudah jatuh membasahi pipi.

“Baik awak diam. Saya tak nak lagi dengar penjelasan apa-apa dari mulut awak. Awak bohong!” Nurul sudah mula melenting kuat dan menangis teresak-esak. Zarif cuba menenangkan Nurul tetapi dia ditolak.

“Nurul, saya….”

“Selama ni awak kata Fakrul baik, bukan kaki perempuan, semua tentang Fakrul tiada apa yang perlu saya risaukan! Tapi, gambar tu, dalam gambar tu apa?!…”Nurul menangis lagi. Zarif cuba menghampiri, tetapi ditolak oleh Nurul. Zarif cuba memujuk, tetapi tidak berhasil.

“Fakrul selalu hilang, balik lewat malam, kadang-kadang tak balik langsung! Awak ingat saya bodoh?! Hah?! Saya bodoh sebab percayakan kata-kata awak. Awak fikir saya tak akan tahu? Saya pernah dengar fasal sikap Fakrul. Tapi, saya halang diri untuk percaya sebab saya percayakan awak! Tapi, awaklah yang menipu. Awak memang penipu!”jerit Nurul sekuat hatinya.

Dia terduduk di sofa dan terus menangis teresak-esak. Kali ini, Zarif cuba menghampiri Nurul lagi dan cuba untuk memujuknya. Nurul tidak lagi menolak lelaki itu selain terus menangis. Zarif duduk disebelah Nurul.

Dia meraup wajah kesalnya itu. Dia rasa serba salah terhadap Nurul. Tidak sangka perkara seperti ini akan terbongkar juga akhirnya. Zarif memandang Nurul dan memegang tangan gadis itu erat.

“Nurul, saya tahu dalam perkara ini saya yang bersalah. Saya bohong kepada awak dan saya juga sudah berbohong kepada diri saya sendiri. Tapi, saya nak awak tahu yang saya buat semua ini bersebab. Saya juga seperti awak, Nurul. Saya tiada sesiapa dalam dunia ini selain Tok Mak dan Fakrul. Apa lagi yang boleh saya buat selain menggembirakan hati Tok Mak…”

“Dengan menipu saya? Macam tu?”sampuk Nurul. Mereka saling berpandangan.

“Nurul, saya…”

“Sudahlah, Zarif. Awak tak perlu terangkan apa-apa lagi. Saya pernah cakap, tak kira apa pun jawapan yang awak akan berikan pada saya, saya tak akan pernah ubah hati saya. Yang saya perlukan hanya kejujuran. Tapi, awak tak pernah jujur pun pada saya. Awak kata kita kawan dan akan jadi sahabat selamanya. Tapi, awak dah mengkhianati persahabatan kita…” Nurul berdiri dari duduknya.

Zarif turut berdiri memandang gadis itu. Rasa sebak dan pilu dihatinya sengaja disembunyikan. Andainya gadis itu tahu perasaannya yang sebenar.

“…. Awak jangan risau. Saya tidak akan berganjak. Majlis itu akan tetap diteruskan. Bukan saja untuk saya, tapi… saya akan bantu usaha awak tu dengan baik. Terima kasih, Zarif. Terima kasih banyak-banyak,” Nurul segera mengatur langkah meninggalkan bilik tersebut.

Zarif tidak menghalang. Malah, dia terpaku tanpa kata. Tanpa diduga, air mata lelakinya jatuh ke pipi. Hatinya terasa sakit menahan rasa. Dia tidak akan maafkan dirinya sendiri. Tak akan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience