KELIBAT

Horror & Thriller Completed 6642

Kelihatan Zairi sedang menyelongkar sesuatu di dapur. Wajahnya agak pucat dan peluh yang menitik di pipi di lap menggunakan lengan baju.

"Mak! Mak! Ada nampak ubat Zairi tak? Zairi letak atas almari dapur. Ada mak nampak?" Zairi rakus mencari ubat yang telah lama diletak di dapur. Maknya berjalan laju sambil memegang baju yang ingin dijahit. Wajahnya berkerut.

"Ubat yang mana Zairi? Ubat yang masa Zairi sakit dulu tu ke? Zairi nak buat apa dengan ubat tu?" Tanya mak risau. Zairi masih mencari.

"Zairi perlukan ubat tu mak! Zairi takut penyakit Zairi datang balik. Zairi kena makan ubat tu juga!" Desak Zairi kelam kabut.

"Ubat tu dah lepas tarikh luput. Mak dah buang. Mak ingat kau dah sihat. Zairi pergi jumpa doktor pakar tu balik. Minta ubat yang sama. Pergi!" Luah Mak yang cuba menenangkan anaknya yang mulai resah. Diurut dada anaknya dan diajar mengucap selepas Zairi mula menghempas barang.

"Ubat tu je yang boleh buang semua ilusi ni mak. Zairi taknak jadi macam dulu. Zairi dah serik mak." Rintih Zairi menahan tangis. Sakit dada dan kepalanya apabila teringat kembali kejadian setahun lepas sebelum dia betul-betul sembuh.


*****************************

"Zairi!! Nak kemana tu nak?! Balik sini!!" Mak sedang mengejar Zairi yang kelihatan tidak terurus. Bajunya penuh lumpur dan daun kering. Hutan yang tumbuh berdekatan rumah kampung itu diterokanya seperti mencari sesuatu yang tidak pasti.

"Adik nak cari abang mak! Abang cakap dia ada kat dalam hutan. Dia tunggu adik cari dia mak! Dia ada kat sini!" 'Adik' menyelongkar hutan dan semak samun tanpa mempedulikan luka-luka di tangan dan kaki. Wajahnya fokus pada seseorang yang tiada di situ. Mulutnya sentiasa menyebut nama 'abang'.

"Zairi!! Dengar cakap mak ni nak! Zakri dah tak ada. Zakri dah meninggal. Ini zairi! Bukan Zakri! Zairi yang masih hidup!" Mak menepuk-nepuk dada 'adik' lembut dan cuba memujuknya. 'Adik' yang berhenti berjalan hanya merenung wajah maknya lama.

"Saya ni siapa? Saya adik kan? Saya Zakri kan? Mana abang? Abang tak balik rumah ke mak? Lama dia pergi berkhemah. Adik rindu abang." Suara 'adik' mendayu menyebut nama abangnya yang dirindui.

"Ini Zairi. Zairi abang. Adik Zakri dah tak ada. Zakri dah meninggal. Tolonglah ingat nak! Mak sayang anak-anak mak. Cukuplah mak hilang seorang anak. Jangan buat mak macam ni Zairi!" Mak mencuba lagi untuk menerangkan situasi sebenar pada anaknya yang masih keliru yang tidak dapat menerima kematian salah seorang adik beradiknya yang paling rapat.


Mak membawa anaknya pulang kerumah dengan bantuan orang kampung. Setelah dirawat selama beberapa bulan, Zairi sembuh sepenuhnya. Ubat yang selalu dimakan dibiarkan sahaja di dapur. Dia pasti dan yakin dia tidak memerlukan ubat penenang itu lagi.


*****************************

"Zairi pergi klinik kejap. Nanti Zairi telefon mak kalau ada apa-apa." Zairi berlari anak ke luar rumah. Diambil kunci kereta dan memakai kasut dalam keadaan terburu-buru. Kereta dipandu laju. Dia dapat merasakan penyakit halusinasinya kembali semula sejak dirinya dihantui oleh sesuatu dua bulan lepas. Kelibat demi kelibat dilihatnya. Bahkan bayangan pocong yang menyerupai seseorang yang dikenali selalu muncul di dalam mimpi. Namun dibiarkan kerana hanya mimpi. Tetapi apabila dia diganggu di perpustakaan pagi tadi, dia bimbang dia akan menjadi seperti dulu. Kereta menyusur di jalan raya.

(Di tapak perkhemahan)

"Rina, teman aku ambil air kat sungai. Cikgu cakap air kat dalam tandas kem dah habis. Kena angkut dari sungai untuk penuhkan kolah. Jomlah. Dua baldi cukuplah dulu untuk bersihkan diri nanti. Nanti malam dah tak boleh keluar." Ujar Hani sambil memegang baldi biru miliknya. Rina yang sudah menyiapkan khemah hanya mengangguk faham. Dia terus mengambil baldi merahnya dan mengikut Hani dari belakang.

"Hani! Cikgu tahu ke kita pergi sungai ni? Nanti cikgu carilah." tanya Rina bimbang. Suasana di sekitar hutan agak licin.

"Aku dah bagitahu cikgu. Cikgu izinkan. Kau janganlah risau. Tak ada apa-apalah." jawab Hani ringkas. Mereka menuju kesungai yang terletak agak jauh dari Tapak perkhemahan. Hani menceduk air kedalam baldinya tanpa menunggu Rina yang masih terkial-kial kerana jalan licin.

"Macammana kau boleh tahu sungai ni kat sini? Kau pernah datang ke dekat sini Hani?" Tanya Rina lagi. Dia meletakkan baldi di tepi dan melipat kaki seluarnya supaya tidak basah.

"Adalah. Kau ni banyak tanyalah. Ambiklah cepat air tu!" Hani sudah mulai tidak selesa.


Rina menghulurkan tangan yang memegang baldinya dan cuba menceduk air kedalam baldi merah. Tiba-tiba badannya seolah-olah di tolak ke hadapan. Rina terjatuh kedalam sungai.

"Tolong Hani! Tolong!! Hani tolong!!" jerit Rina terkapai-kapai meminta tolong. Air sungai yang naik disebabkan hujan semalam membuatkan air menjadi deras.

"Rina!! Ya Allah!! Aku pergi minta tolong! Bertahan!!" Hani meninggalkan Rina yang berjaya menstabilkan diri dari dihanyut dengan memegang dahan kayu tumbang di dalam sungai. Cuba menapak ke tanah tetapi tidak sampai. Nampaknya dia telah termasuk Agak jauh kedalam sungai. Hani tidak kelihatan. seminit menunggu seperti sejam apabila berada di dalam situasi seperti itu. Dahan yang dipegang dirasakan semakin masuk kedalam sungai.

"Alamak! Janganlah patah! Tolonglah!" Dahan yang dipegangnya reput. Dia risau untuk bergerak. Takut dahannya patah terus.


Satu rotan muncul di hadapan Rina dari dalam air. Seperti dilempar oleh seseorang. Tanpa membuang masa Rina memegang rotan panjang itu dan cuba menarik dirinya ketebing. Seperti ada seseorang sedang menarik rotan itu dari sebelah sana. Rina tidak mengendahkannya kerana yang dibimbangkan sekarang adalah nyawanya. Sampai sahaja di tebing, Rina naik dan terus berlari mencari tapak perkhemahan. Nasibnya baik kerana masih jalan kesana. Sampai sahaja di tapak perkhemahan, Rina mencari kelibat Hani. Kelihatan Hani sedang berjalan seorang diri. Senyuman terukir di wajahnya membuatkan Rina hairan. Senyuman Hani terhapus saat melihat Rina berdiri tidak jauh darinya. Wajah terkejut ditonjolkan sambil berlari kearah Rina.

"Rina!! Kau selamat!! Aku baru je nak pergi selamatkan kau tadi. Nak minta tolong cikgu tapi cikgu tak ada. Alhamdulillah!!" Hani memeluk Rina erat. Rina hanya mendiamkan diri. Dia dapat melihat perangai sebenar Hani namun kerana Hani kawan baiknya sejak kecil, Rina cuba menidakkan kehairanannya. Mereka bergerak ke tempat kemnya dan segera menukar baju yang basah. Ketika keluar dari tandas yang disediakan, seorang lelaki yang memakai pakaian sukan muncul dihadapan Rina dan Hani.

"Awak berdua kemana? Dari tadi saya cari. Kalau nak kemana-mana, tolong inform guru-guru yang berada disini. Jangan suka hati pergi ketempat lain tanpa kebenaran. Faham kan? Kenapa tukar baju ni? Awak berdua ada buat apa-apa ke?" Tanya lelaki itu keras dan tegas.

"Tak ada apa-apalah cikgu. Kami panas tadi. Baru selesai bina khemah jadi kami ambil keputusan untuk mandi. Tak apa kan cikgu?" jawab Hani sambil tersenyum. Rina hanya mendiamkan diri. Hani menipunya apabila diberitahu bahawa cikgu mengetahui keberadaan mereka kesungai.

"Oh.. yeke? Ok tak apa. Semua pelajar perlu berada di tapak perhimpunan sana. Saya ada perkara yang hendak dibincangkan. Pergi sekarang!" tegas cikgu mereka.

"Baik cikgu Abidin. Nanti jumpa kat sana." balas Hani seakan-akan mesra dengan cikgu itu. Rina menoleh kebelakang.

"Aku macam pernah jumpa cikgu ni. Tapi kat mana ya?" Bisik hati Rina. Mereka berdua berlalu dari situ meninggalkan cikgu mereka.

(Di jalan raya)


Zairi menekan pedal minyak selaju mungkin. Dia perlu mengambil ubatnya seawal boleh. Dia bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku lagi pada masa yang terdekat ini. Fikirannya juga kembali berserabut. Penyakit halusinasi amat berbahaya pada dirinya. Sebelum ini dia pernah berada di hospital bahagian psikiatri dan psikologi untuk menenangkan hati dan otaknya yang selalu membayangkan kematian orang lain. Termasuk kematian kembarnya yang berlaku di depan matanya. Penyakitnya telah disembuhkan setahun dahulu. Dan dia betul-betul berharap penyakit yang dihidapinya tidak akan berulang kembali.

"Harap-harap doktor Shah ada kt klinik. Tolonglah.. Aku taknak hadap benda mengarut ni lagi sekali.. tolonglah.." Zairi berdoa di dalam hati. Berharapkan keajaiban.


Sampai sahaja di sebuah klinik kecil di hujung jalan besar, Zairi keluar dari kereta dan meluru ke pintu masuk. Kakinya terhenti apabila membaca notis di hadapan pintu.

"Tutup sementara? Takkanlah... Argh!! Kenapa boleh tutup pula?!" Zairi mengeluarkan telefon pintarnya dan mula mencari sesuatu. Diletakkan telefonnya ke telinga.

"Hello. Assalamualaikum. Doktor Shah ke? Ini Zairi? Doktor tutup klinik ke?" Zairi mulai tidak sabar. Peluh dingin mula menitik di pipi.

"Wa'alaikumussalam. Ya Doktor Shah sini. Zairi ke tu? Saya tutup dua hari. Saya ada kat sabah ni. Ada emergency case. Kenapa Zairi? Dah lama tak datang klinik saya. Ada masalah ke?" Jawab doktor Shah dari talian sebelah. Kedengaran riuh rendah di sebelah sana. Zairi menggosok kepala beberapa kali. Berserabut.

"Doktor Shah, penyakit saya datang lagi. Saya dah kehabisan ubat yang doktor bagi tu. Saya tak boleh relax kalau saya tak makan ubat tu doc. Macammana ni? Saya risau." Zairi cuba menenangkan diri.

"Zairi.. Tenang dulu.. Tarik nafas dalam-dalam. Dengar sini. Penyakit awak tu sebenarnya dah tak ada. Dah lama tak ada. Sebenarnya apa yang awak alami sekarang dipanggil fobia atau trauma yang awak dapat dari pengalaman hitam awak dahulu. Hanya awak sahaja yang dapat menghilangkan keresahan dan bayangan yang bermain di fikiran awak. Selalu solat. Doa pada Allah. Hanya dia dapat rawat hati dan fikiran awak sekarang. Itupun dengan bantuan dari diri awak sendiri. Halusinasi hanya akan berlaku jika kita hilang kawalan pada diri kita sendiri. Lagipun awak dah lama berubat dan rasanya dah setahun awak sembuh sepenuhnya. Awak dah ok Zairi... hilangkanlah rasa bersalah awak pada kawan awak tu. Lepaskan dia. Lepaskan dia dari fikiran awak. Dan kematian kembar awak tu pun sama. Biarkan ia berlalu. Semua tu dah lepas. Masa silam tu perlu dibiarkan berlalu. Jangan di simpan hingga memudaratkan diri. Awak faham bukan?" Doktor Shah cuba bermain psikologi dengan pesakit lamanya itu. Pada dirinya, Zairi tidak sakit. Zairi cuma terlalu memikirkan sesuatu yang berada di luar kawalannya hingga menyebabkan dirinya termasuk kedalam situasi yang tiada hala tuju. Dan doktor Shah sebagai doktor peribadi Zairi perlu membantu sedaya mungkin untuk mengembalikan Zairi seperti biasa. Itu tanggungjawab seorang doktor psikiatri. Psikologi penting untuk membawa semangat seseorang yang hilang kembali semula didalam diri mereka.

"Tapi doktor, bayangan tu semakin lama semakin jelas. Saya tahu apa yang saya nampak. Dia ada di sekeliling saya doktor. Saya dah cuba hilangkan dia dari dalam otak saya ni. Tapi saya tak tahu mana silapnya. Dia semakin dekat dengan saya. Doc! Tolonglah saya! Saya perlukan ubat tu!" Zairi masih tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh doktor Shah. Dia tidak dapat melepaskan dirinya dari kesilapan kecil yang dilakukan dulu.

"Baiklah. Saya akan balik selepas dua hari. Tunggu saya di klinik nanti. Saya akan telefon awak bila saya dah ada di klinik. Jangan lakukan perkara yang tak baik. Banyakkan solat. Ingat Allah banyak-banyak ya. Hanya dia Maha Mengetahui. Ingat Zairi. Jaga diri. Assalamualaikum." Doktor Shah menamatkan perbualan. Zairi mengeluh berat. Dia masuk ke dalam kereta dan memandu pergi. Dia betul-betul berharap bayangan yang hampir membunuhnya tidak akan menghantuinya lebih teruk berbanding dulu.


*****************************
( Dua tahun lepas)

"Helmi! Berhenti! Aku tahu kau ada kaitan dengan kejadian yang terjadi pada kembar aku! Aku tahu kau terlibat! Sekarang kau bagitahu aku! Siapa dalangnya yang menyebabkan kematian kembar aku?!! cakap!!" Desak Zairi ketika mengejar seorang remaja lelaki di dalam bangunan sekolah. Zairi menekan badan remaja itu kedinding. Wajah serius ditunjukkan sambil mencengkam leher remaja lelaki itu.

"Mana.... mana aku tahu!! Aku tak tahu apa-apa. Aku tak buat apa-apa pun! Lepaskan akulah!" Tengking Helmi cuba melepaskan diri. Zairi masih menekan badan Helmi supaya tidak bergerak.

"Daus bagitahu aku minggu lepas! Kau ada dengan kembar aku sebelum kejadian maut tu! Dia nampak kau bawa kembar aku masuk kedalam hutan sebelum korang balik dari berkhemah! Kau nak tipu aku lagi?! Apa alasan kau hah?! Siapa yang tolak kembar aku jatuh gaung?! Cakap!! Aku tahu kau bukannya berani sangat nak buat benda bodoh tu! Dan aku tahu bukan kau yang bunuh kembar aku! Cakap! Siapa dalang disebalik pembunuhan kembar aku?! Cakaplah sial!!" Zairi semakin hilang sabar. Helmi ketar. Dapat dilihat wajahnya bertukar pucat.


Tiba-tiba, Helmi menolak Zairi sekuat hati dan menendang perut Zairi dan menyebabkan penyerangnya tersungkur ketanah. Helmi melarikan diri. Dalam sekelip mata, Helmi hilang dari pandangan ketika Zairi cuba mengejarnya.

"Tak guna!! Helmi! Keluar kau sial!" jerit Zairi. Matanya liar mencari kelibat musuhnya. Dia tidak menyedari sepasang mata sedang memerhatikan gerak geri mereka berdua dari atas. Jam menunjukkan pukul 7 petang. Sebentar lagi akan senja dan malam akan berlabuh.


Selepas penat mencari Helmi, Zairi duduk di belakang tangga di bahagian belakang bangunan lama sekolah. Tiada kelibat manusia di sekitar situ. Cuaca semakin gelap. Ketika kaki Zairi melangkah ingin pergi dari situ, Zairi ternampak botol air jatuh dari atas. Ketika mendongak ke tingkat tiga, sesuatu melayang jatuh dari atas dan terhempap betul-betul di hadapannya. Wajah Zairi berubah takut. Badannya menggeletar. Dia terduduk.

"Za... Zairi......" Helmi cuba bertutur walaupun badannya penuh darah selepas jatuh dari tingkat tiga bangunan. Wajah ngeri Helmi menyebabkan Zairi histeria untuk seketika.

"Arghh!!!!!" Jeritan Zairi kedengaran diseluruh sekolah. Pengawal yang bertugas bergegas kearah suara Zairi dan menemui Zairi yang histeria di atas jalan tar dan disampingnya kelihatan mayat Helmi dalam keadaan yang menyayat hati.

(TAMAT BAB 3)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience