BAYANGAN MAUT

Horror & Thriller Completed 6642

(Di tapak perkhemahan)
(Pukul 10 malam)

"Rina, malam ni kita ada aktiviti burung hantu. Kau nak sekumpulan dengan aku tak?" Hani berbicara ketika mereka berdua sedang minum malam. Jam menunjukkan pukul 10 malam. Rina hanya mendiamkan diri. Rasa malas untuk bercakap. Lebih-lebih lagi dengan Hani. "Kau ni kenapa? Aku tanya buat bodoh je. Kau dah taknak kawan dengan aku ke?" Tanya Hani selepas melihat tiada tindak balas dari kawannya.

"Tak ada apa-apalah. Hani... Aku nak tanya. Petang tadi sebelum pergi sungai, kau cakap cikgu tahu yang kita pergi ambik air. Tapi cikgu Abidin langsung tak tahu kita kesana. Kau tipu aku kan?" Tegas Rina tanpa melihat kearah Hani. Hani mengeluh.

"Kau ni sensitif pula. Ye!! Aku tipu! Aku saja je nak tengok sungai tu. Itu yang aku ajak kau. Tak boleh ke?" Jawab Hani acuh tak acuh. Rina semakin sakit hati.

"Hei Hani! Kau tahu kan aku nyaris mati dalam sungai tu! Kau pula! Bukan nak tolong aku! Kau suka kan tengok aku mati? Kan?!" marah Rina. Dia terus bangun dan merenung tajam kearah Hani. Hani menundukkan wajah dan terdiam. Kedengaran esak tangis dari Hani.

"Sampai hati kau.... Aku sedaya upaya cuba tolong kau.. Aku berlari cari cikgu petang tadi. Tapi cikgu banyak yang tak sampai lagi.. Aku berlari cari bantuan.. Aku nak selamatkan kau! Kaki aku luka pun aku tetap cari orang! Sampai hati kau cakap aku macam tu! Kau ingat aku zalim sangat ke nak tengok kawan aku mati depan aku!!" balas Hani pula. Air mata dibiarkan mengalir. "Kau memang bukan kawan yang baik Rina! Syak wasangka pada kawan sendiri!" Hani berpaling dan meninggalkan Rina yang hanya melihat.

"Aku bukan nak syak kau.. tapi cara kau tu... Aku keliru Hani. Betul ke kau tak ada niat lain?" Rina bermonolog sendirian. Dia mengikut Hani dari belakang.

(Di rumah Zairi)

"Zairi..... Zairi..... bangun nak. Makan dulu. Selepas solat Isyak tadi, Zairi terus tidur. Tak makan apa-apa pun sejak pagi. Bangun nak." Kejut mak lembut selepas menyedari Zairi terlelap di atas sejadah di dalam biliknya. Zairi mulai bangun.

"Mak... Zairi tak lapar mak. Tak apalah. Kalau Zairi lapar nanti, Zairi makan ya. Mak pergilah rehat dulu. Janganlah risau. Zairi ok." Zairi cuba bersikap tenang. Mak tersenyum dan mengusap ubun-ubunnya.

"Biar apa pun yang terjadi, Zairi, Zakri dan Rina tetap anak mak dunia dan akhirat. Mak dan ayah sentiasa doakan kesejahteraan anak-anak kami. Dan kami berdua berharap sangat korang akan hidup aman damai dan sentiasa berada di jalan yang benar. Di jalan Allah S.W.T. Jangan putus asa ketika diuji. Allah takkan menguji umatnya diluar kemampuan mereka. Percayalah pada Allah Zairi. Kebenaran pasti akan terbongkar suatu hari nanti. Biar pun kita tak dapat jumpa Zakri secara kasar, tapi kita sentiasa ingat dia secara halus. Dia sentiasa ada di sisi kita. Di dalam hati kita. Sentiasa sabar... In shaa Allah.. Allah akan tolong." Mak cuba memujuk hati gundah anaknya yang seorang itu.

"Baik mak.. terima kasih.." ucap Zairi tenang. Dapat dirasai kasih sayang seorang ibu yang melimpah ruah dari ibu kandungnya. Dipeluk ibunya eray dan dicium tangan beberapa kali. Meminta keampunan dan keberkatan. Maknya keluar dari bilik. Zairi bangun dan melipat sejadahnya. Kopiah milik kembarnya di letakkan di meja kecil disebelah katil. Dia duduk di atas tilam empuknya. Direnung gambar keluarga dan gambar dia bersama kembarnya yang berada di atas meja. Diambil dan wajahnya tersenyum ketika terkenangkan peristiwa dahulu.


*****************************

"Mak!! Tengoklah abang Zakri ni! Dia ambil kotak pensil Rina! Bagilah balik!" Rina yang berusia 7 tahun berlari cuba mengejar abangnya yang suka menyakat. Zakri yang masih berusia 9 tahun menjelirkan lidah dan membuat mimik muka. Rina semakin kuat menangis. Satu tamparan kuat di bahu membuatkan Zakri terdiam.

"Kau jangan kacau adik boleh tak?! Suka ke tengok dia nangis? Dia ada asthma. Kalau asthma dia datang, kau nak buat macammana?" Zairi berdiri di belakang Zakri. Zairi merampas kotak pensil Rina dan mengetuk kepala Zakri.

"Aduh! Sakitlah!! Suka hatilah! Sibuk je!" Marah Zakri sambil mencebik.

"Kau jangan nak kurang ajar dengan aku! Hormat sikit!" Zairi semakin tegas dengan Zakri, kembarnya. Zakri melihat kearah Rina dan menunjukkan dua jari. Jari itu diletakkan kematanya dan kearah Rina. Mulutnya terkumat sesak menyebut sesuatu. Zakri berlari keluar. Rina gembira apabila kotak pensilnya selamat sampai ditangannya.

"Terima kasih abang Zairi!!" ucap Rina riang. Dipeluk abangnya dan berlari mendapatkan mak. Zairi hanya tersenyum. Zakri yang menyorok di belakang tangga bawah juga tersenyum melihat kegembiraan yang ditunjukkan oleh Rina.


*****************************


Zairi tersedar apabila merasakan sesuatu mencengkam lehernya. Dia yang sesak nafas cuba membuka mata. Suasana gelap di dalam bilik menyukarkan dirinya untuk melihat siapa yang cuba membunuhnya. Tangannya meraba-raba punat lampu meja. Sebaik sahaja ditemui, terus ditekan dan kedua-dua lampu meja menyala terang. Dapat dilihat kelibat seseorang diatas badan Zairi.

"Argh!!" Zairi menolak tubuh berulat milik Helmi dari atas badannya. Namun seperti angin, tangannya menembusi badan Helmi. Terukir senyuman di bibir Helmi yang hanya tinggal tulang itu.

"Kau bunuh aku..... bunuh aku... kau mati...." ayat-ayat itu cuba dituturkan oleh Helmi sambil tangan diletakkan dileher Zairi.

"Bukan aku yang bunuh kau!! Bukan aku!! Kau pergi dari sini! Pergi!!" Zairi cuba menyelamatkan dirinya dari halusinasi miliknya itu. Suara Zairi yang menjerit mengejutkan mak dan ayah yang tidur di bilik sebelah. Terbangun kedua orang tua itu dan segera berlari kearah bilik Zairi.

"Zairi!! Zairi! Buka pintu ni nak!! Zairi!! Buka pintu ni!" Panggil Mak sambil mengetuk pintu bilik. Namun tiada respon. Ayah yang sampai memegang kunci pendua bilik Zairi. Dengan sekali putar, Pintu bilik terbuka. Mak mendapatkan Zairi yang meronta-ronta di atas katil. Ayah berhenti melangkah dan hanya merenung tingkap bilik Zairi yang terbuka. Ditutup tingkap dan menguncinya. Dibaca sedikit ayat suci Al-quran dan menghembuskannya ketingkap.

"Ayahnya! Zairi demam panas! Kita bawa dia ke hospital cepat. Hidung dia pun dah berdarah habis ni!" gesa Mak. Air mata diseka. Ayah meletakkan tangan di dahi Zairi dan mengelap darah yang mengalir dari hidung Zairi.

"Tak pernah jadi macam ni. Setahu aku, Zakri yang selalu berdarah hidung kalau demam." Ayah kehairanan. Buah fikirannya dibiarkan tersimpan kemas.


Zairi dibawa ke hospital yang berdekatan. Dia ditahan wad di bahagian kecemasan. Dia akan diperiksa jika ada berlaku masalah lain selain dari demam panas. Ayah dan Mak hanya menunggu keputusan doktor.

(Pukul 12 tengah malam)
(Di tapak perkhemahan Gunung Nuang)

"Saya nak kamu semua masuk kedalam hutan ni seorang demi seorang. Tali yang berada di hadapan kamu ni adalah penyelamat kamu. Jika terlepas tali ini, selamanya kamu akan sesat di dalam hutan simpan ni faham?! Jadi saya nak awak semua berhati-hati. Jika ada sesiapa bertanya mengenai kata laluan, bagitahu kata laluannya dan nombor giliran kamu masuk kedalam hutan. Faham tak?!" Seorang guru pengiring memberi taklimat sebelum aktiviti pada malam itu dimulakan.

"Faham cikgu!!" jerit kesemua pelajar serentak.

"Kata laluan dia adalah Hantu bungkus! Ingat! Hantu bungkus!" Kebanyakan pelajar perempuan berbisik antara mereka. Ada yang tidak mahu mengikuti aktiviti kerana lemah semangat dan ada yang uzur.

"Hantu bungkus? Tak ada nama lain ke cikgu? Apalah..." rungut salah seorang pelajar perempuan. Cikgu hanya tersenyum sinis.

"Tiga kali korang sebut nama tu, gerenti benda tu akan datang. Sebutlah lagi. Hahaha!" usik Ketua guru.

Mereka beratur menunggu giliran mereka untuk dilepaskan kedalam hutan seorang diri. Rina dan Hani berada di nombor pertengahan.

"Kau takut ke Hani?" Rina cuba menegur Hani yang merajuk dengannya. Hani hanya membatukan diri. Seolah-olah tidak mendengar apa yang dituturkan oleh kawannya itu. Rina putus asa.


Tibalah giliran Hani. Hani masuk kedalam hutan dengan memegang kemas tali yang diikat di setiap pokok. Selepas 5 minit, Rina pula masuk kedalam hutan. Dia mengenggam erat tali yang saiznya agak besar dan kasar. Rina cuba membesarkan matanya di dalam gelap supaya dapat melihat sedikit keadaan sebenar di sekelilingnya. Kedengaran suara unggas malam dan cengkerik. Keadaan semakin sejuk ketika hampir masuk jauh ke dalam. Tali yang dipegang bertukar menjadi tali rafia. Mungkin sudah hampir sampai ke penghujung. Rina tidak berbunyi walau satu patah perkataan. Dia terlalu fokus pada perjalanannya hingga melupakan apa yang sepatutnya dilakukan.


Tiba-tiba, dia dapat merasakan seseorang sedang berjalan dibelakang. Satu tangan cuba menolaknya jatuh. Tetapi Rina berpaut pada tali sekuatnya. Rina dapat merasakan kakinya menuruni bukit. Dia cuba menyeimbangkan diri supaya tidak jatuh kebawah. Satu pancaran kilat menyuluh kawasan itu. Dapat dilihat seseorang memakai pakaian serba hitam dan bertopeng berdiri di belakang Rina disaat Rina berpaling menghadapnya. Rina menjerit ketakutan. Keadaan di dalam hutan kembali riuh. Rupa-rupanya pelajar tingkatan 6 bawah dan 6 atas ada di sekitar hutan. Tugas mereka untuk memerhati gerak geri pelajar yang memasuki hutan dan menolong mereka jika mereka perlukan sebarang bantuan. Salah seorang dari pelajar tingkatan 6 datang kearah Rina sambil membawa lampu suluh. Rina yang duduk di tanah hanya mampu menekup wajahnya menahan tangis. Penyerang Rina telah menghilangkan diri.

"Awak tak apa-apa ke? Boleh bangun? Jom kita keluar dari sini. Bahaya kat sini! Macammana cikgu boleh letak tali sampai ketepi tebing bukit ni?" Pelajar lelaki terbabit menyuluh lereng bukit yang agak tinggi itu dan mula membebel. Rina dibawa keluar dan ditenangkan di bangku menunggu bersama beberapa pelajar yang tidak mengikuti aktiviti.


Ketika melalui jalan keluar, satu pancaran kilat kelihatan. Rina dapat melihat sesuatu di kejauhan. Sebuah rumah kecil yang usang agak jauh dari jalan keluar dari hutan. Ianya hanya sebuah rumah perhentian jika penat mendaki gunung. Tetapi seperti ada sesuatu di sana yang membuatkan Rina Agak tertarik. Mereka selamat keluar dari hutan dan menghabiskan aktiviti mereka untuk malam itu. Masing-masing membersihkan diri dan tidur.

(Keesokan harinya)
(Di rumah Zairi)

"Zairi ok ke? Nak makan tak? Mak ambilkan makanan. Makan sikit ya. Nanti nak makan ubat." Mak memegang tangan Zairi ketika Zairi termenung di dalam bilik. Keadaan dia semakin membaik selepas dirawat malam tadi. Dia diberi suntikan untuk demam dan sedikit ubat untuk menenangkannya yang mengalami kejutan ketika dirawat di hospital. Zairi yang duduk bersandar pada katil hanya merenung kosong kearah tingkap.

"Mak... kenapa Zairi jadi macam ni? Kenapa Zairi selalu jadi mangsa? Kenapa Zairi seorang je yang nampak benda-benda mengarut tu? Zairi ingatkan Zairi dah sembuh tapi..... rupa-rupanya Zairi masih gila.. Kalaulah kembar Zairi ada lagi... Zairi rindukan kembar Zairi mak...." Luah Zairi sayu. Terdetik hati mak ketika perkataan gila disebut oleh Zairi. Mak mendekatkan diri pada Zairi.

"Zairi, tiap-tiap apa yang berlaku pada kita kebanyakannya bukan kehendak kita. Kadang-kadang kita dah cuba sedaya upaya untuk mengubah takdir supaya menjadi lebih baik tapi... kita hanya merancang. Allah yang menentukan. Jangan salahkan diri sendiri nak. Ini ujian dan dugaan untuk Zairi supaya Zairi lebih tabah dan sabar menghadapi dugaan lain. Zairi anak yang kuat. Sekuat diri arwah Zakri. Apa yang ada di dalam diri Zakri ada di dalam diri Zairi. Kalau Zairi rindukan dia, banyakkan berdoa di dalam solat Zairi. In shaa Allah dia akan mendengar doa kita. Jangan putus asa macam ni Zairi. Mengalah dengan mudah. Zairi bukan macam ni kan? Zairi kuat kan?" Mak semakin kuat memujuk hati Zairi yang goyah. Hanya itu yang dapat dilakukan untuk membantu Zairi. Zairi kembali termenung. Mak meninggalkan Zairi untuk berehat.


*************************

"Abang, aku kan.... suka sangat berkhemah. Aku suka aktiviti lasak. Aku suka mencabar diri aku supaya aku tahu dimana setakat kemampuan aku untuk menerima cabaran. Aku nak kongsi dengan kau semua pengalaman yang aku dapat ketika menjalani aktiviti luar ni. Aku tahu kau tak suka aktiviti lasak tapi sebagai kembar kau, aku akan ajar kau macammana nak survive di dalam hutan." Zakri cuba menerangkan apa yang perlu dilakukan ketika berada di dalam situasi kecemasan ketika berkhemah. Setiap perkara diterangkan dengan teliti. Zairi yang tidak faham menggelengkan kepala. Zakri akan mengulang semula tunjuk ajarnya sehinggalah Zairi faham seratus peratus.

"Jadi bila berada dalam hutan, kita kena tahu semua jenis pokok supaya tahu mana yang boleh dibuat ubat dan yang mana boleh dimakan. Dan apa yang perlu dibuat ketika sesat ialah cari sungai. Oh...... Baru faham. Terima kasih dik sebab sudi ajar abang. Kau tahulah keadaan abang ni macammana. Bukan boleh buat aktiviti lasak. Nanti Asthma aku menyerang." Ucapan terima kasih dari abang untuk adik. Zakri tersengih bangga. Dia menggosok kepala Zairi beberapa kali.

"Janganlah. Dah tak kemas rambut aku! Imej penting untuk diri aku. Itu yang melambangkan keperibadian aku yang handsome ni. Kau cuma pandai dalam aktiviti luar dan melasak je. Tapi bab belajar kau tak dapat nak challenge aku." Zairi membanggakan dirinya sendiri.

"Banggalah tu diri tu handsome! Eh! lupa pula. Kalau kau handsome, jadi aku pun handsomelah! Muka kau dengan aku kan sama. Seiras!!" Seloroh Zakri.

"Banyaklah kau! Kau takkan dapat jadi macam aku! Hargai aku sikit ok!" Zairi bergurau dengan adiknya.


************************

"Aku rindu kau.... jumpalah aku walau sekali... aku terlampau rindu kau..." Zairi kembali sayu. tangisan demi tangisan kedengaran dari dalam bilik. Mak yang sedang menatang talam yang berisi lauk dan nasi berhenti di muka pintu. Dapat dilihat esakan dari anak kesayangannya yang merindui sahabat sejati yang telah hilang dua tahun lepas.

"Ya Allah... kembalikanlah semangat anak aku itu. Kembalikan senyuman di wajahnya. Aku rindukan gelak ketawanya Ya Allah.. Rahmatilah hidupnya..." Mak berdoa di dalam hati seikhlas mungkin. Supaya doanya untuk anak-anak termakbul. Mak kembali ke dapur dan membiarkan Zairi bertenang.

(Di kawasan perkhemahan)


Mereka yang terlibat di dalam perkhemahan diarahkan bergerak ke dewan yang telah disediakan untuk mendengar taklimat dari renjer hutan yang bertugas. Aktiviti mereka kali ini adalah jungle tracking menggunakan kompas. Jam masih menunjukkan pukul 10 pagi. Mereka masih ada masa untuk menjalankan kesemua aktiviti sebelum tamat hari ini.


Mereka yang siap berpakaian sukan dan berkasut mendengar taklimat dan ceramah dari guru pengiring dan ketua renjer yang bertugas. Rina yang berada jauh dari Hani dapat melihat Hani sedang tersenyum kearah cikgu Abidin yang berdiri di sebelah guru pengiring lain. Wajah mereka berdua teramat mesra. Rina mulai curiga. Apa hubungan Hani dengan cikgu Abidin?


Setelah selesai, mereka bergerak ketempat permulaan. Setiap pelajar dikehendaki membuat beberapa kumpulan. Mereka akan memasuki hutan secara berpasukan. Rina dan Hani berada di dalam satu kumpulan apabila Rina merelakan diri berada bersama dengan Hani. Dia ingin tahu apa yang disembunyikan oleh Hani selama ini. Adakah niatnya baik atau tidak.

"Sekarang kumpulan yang ketiga masuk kedalam bersama cikgu pengiring ya. Cikgu Abidin, tolong jaga keselamatan pelajar-pelajar sampai tamat aktiviti kita." Arah ketua guru.

"Baik cikgu Aishah. Kami masuk dulu." Cikgu Abidin menemani sepuluh pelajar yang mulai berjalan masuk kedalam hutan. Cikgu Abidin memegang kompas. Sesekali dia meminta pertolongan pelajar-pelajarnya untuk menentukan jalan yang sepatutnya mereka lalui.

"Masuk sinilah. Apalah cikgu ni. Itupun tak tahu. Jom tamatkan aktiviti bodoh ni. Saya penat tau." Hani berbual dengan Cikgu Abidin di hadapan. Rina hanya memerhati. Kemesraan mereka tidak sama seperti kemesraan antara pelajar dan guru. Mungkin pelajar lain tidak menyedarinya tetapi Rina mula menghimpunkan segala persoalan didalam satu tempat. Dan nekad untuk mendapatkan jawapannya.


Tiba-tiba guruh berdentum kuat di langit. Hujan mulai turun dengan lebat. Kesemua pelajar panik. Cikgu Abidin mengarahkan kesemua pelajar keluar dari hutan. Kedengaran pelajar-pelajar lain yang berada berdekatan berjalan laju keluar dari hutan.

"Hati-hati semua. Jalan licin! Jangan kelam kabut! Jaga diri!" Cikgu Abidin memberi arahan di dalam hujan lebat.


Akhirnya mereka selamat sampai di dewan yang ada di situ dan berlindung dari hujan. Nampaknya aktiviti mereka terpaksa ditamatkan awal sehinggalah hujan berhenti.

"Rasanya hujan lebat sangat ni. Sampai malam agaknya baru berhenti. Aktiviti kita terpaksa dibatalkan keseluruhannya." Ketua guru meluahkan pendapat. Guru-guru lain juga memberi pendapat yang lain. Mereka berbincang untuk menyelesaikan masalah mereka supaya pelajar- pelajar tidak bosan ketika menunggu hujan reda. Rina yang berada berdekatan pintu masuk melihat hujan lebat di luar.


Dari jauh, Rina dapat melihat sesuatu. Seseorang sedang berdiri di tepi hutan. Rina cuba melihat siapa orangnya namun gagal kerana hujan semakin lebat. Dia bangun dan keluar hingga kebahagian hujung dewan. Diperhatikannya lagi dengan lebih teliti.

"Abang Zakri.....?" Nama itu muncul dibenak fikiran Rina apabila melihat seseorang yang iras Zairi sedang berdiri di tepi hutan itu sambil tersenyum.

"Oi Rina!! Kau kenapa? Nak main hujan ke?" Hani muncul dibelakangnya. Rina terkejut dan berpaling kearah Hani.

"Taklah.... Tak ada apa-apa." Jawab Rina ringkas. Dia segera melihat kearah hutan tetapi bayangan Zakri hilang. Rina mencari-cari abangnya.

"Kau kenapa? Rina... aku nak minta maaf dengan kau. Aku tahu aku banyak buat silap tapi aku taknak putus kawan dengan kau. Aku janji aku takkan buat kau sedih lagi. Aku akan perbaiki diri aku dan mulut aku ni. Kau maafkan aku tak?" Hani meminta maaf dengan suara yang lembut. Rina mengeluh.

"Ok. Aku maafkan. Tapi aku harap kau takkan buat hal lagi. Kau dan aku dah kawan sejak sekolah rendah. Jadi aku taknak disebabkan perkara-perkara yang tidak masuk akal, kita putus kawan. Aku pun nak minta maaf pasal semalam." Rina berpelukan dengan Hani diluar dewan. Cikgu Abidin hanya memerhati dari dalam. Senyuman diwajahnya Agak menakutkan.

(TAMAT BAB 4)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience