Tam-Tam Musuh Bobo

Short Story Series 1323

Di tahun 90an, ada seekor anjing yang bernama Bobo.

Bobo adalah haiwan peliharaan kepada sebuah keluarga kaya di Lembah Silikon.

Bobo dibela dengan penuh kasih sayang dan diberi makan dengan makanan yang mahal-mahal oleh tuannya yang kaya.

Sepanjang hari, Bobo duduk di dalam kandang anjing yang terletak di hadapan rumah banglo tuannya.

Bobo berusaha keras menjaga keselamatan rumah tuannya.

Jika ada pencuri atau perompak cuba datang ke persekitaran rumah tuannya, Bobo akan segera menyalak dengan kuat untuk menakutkan pencuri dan perompak itu.

Tuannya sangat sayang kepada Bobo kerana sikap Bobo yang rajin itu.

Apabila malam menjelang, Bobo akan masuk ke dalam kandang anjingnya dan berbaring diatas selimut yang disediakan oleh tuannya.

Apabila waktu siang, tuannya akan segera menyediakan makanan kepada Bobo.

Tetapi, Tam-Tam iaitu anjing yang menjadi jirannya di Lembah Silikon tidak bernasib baik seperti Bobo.

Tam-Tam tidak mendapat kemewahan seperti yang diperolehi oleh Bobo.

Oleh itu, setiap kali melihat Bobo, Tam-Tam akan menyalak dan menyumpah Bobo atas nasibnya yang baik itu.

Situasi itu sedikit sebanyak mengganggu Bobo.

"Kesian Tam-Tam. Dia berusaha keras untuk makanan dia. Tapi dapat lebihan makanan je. Aku ni bernasib baik sebab dapat tuan yang sangat baik. Aku tak akan menyalak dan menyumpah dia macam mana yang dia buat pada aku. Aku tak mahu tambah lagi derita Tam-Tam".

Jadi, Bobo mengambil langkah cuma berdiam diri dan hanya menjalankan tugas menjaga keselamatan banglo tuannya sahaja. Bobo hanya memekakkan telinga dengan setiap salakan dan sumpahan Tam-Tam.

Suatu hari, tuan Bobo membawa Bobo berjalan disekitar taman perumahan di Lembah Silikon.

Ketika hampir sampai di rumah tuannya, Bobo terlihat beberapa orang budak sedang membaling beberapa ketul batu kepada Tam-Tam.

Tam-Tam kelihatan tersekat di penjuru kandangnya. Tam-Tam sudah tiada tempat untuk melarikan diri dari budak-budak tadi. Tam-Tam juga tidak dapat mengelak daripada batu-batu yang dibaling kepadanya.

Tam-Tam kelihatan berdarah di kepala dan cuma dapat menyalak dengan salakan yang perlahan.

Budak-budak itu juga tiada tanda akan beredar dari situ.
Tiba-tiba, Bobo terlihat seorang budak sedang cuba mengambil sebiji batu yang agak besar.

Bobo tidak lagi dapat menahan dirinya melihat kejadian yang menimpa Tam-Tam.

Bobo memang seekor anjing yang dari baka Bull Dog. Baka anjing yang sering digunakan untuk mengawal keselamatan rumah.

Oleh itu, Bobo memang terkenal mempunyai salakan yang kuat dan deraman yang menakutkan.

Bobo tahu yang budak-budak itu akan takut mendengar salakan dan deramannya.

Bobo melepaskan tali ikat tengkuknya dari pegangan tuannya dengan berlari laju-laju.

Bobo segera menerpa ke arah budak-buda itu dan menghadang Tam-Tam.

"Woof! Woof! Grrrrrrr! Grrrrr!"

Bobo menyalak dengan kuat dan menderam dengan garang kepada budak-budak tadi.

Kemudianya Bobo menyeringai ke arah budak-budak tadi menampakkan giginya yang tajam.

Mendengar deraman Bobo dan giginya yang tajam, budak-budak tadi menjadi ketakutan.

Mereka segera membuang batu ditangan dan segera bertempiaran melarikan diri sekuat-kuat hati.

"Balik rumah. Diaorang tak akan ganggu kau lagi Tam-Tam"

Bobo mengarahkan Tam-Tam masuk ke rumah tuannya dengan penuh sopan.

Kemudian, Bobo segera berlari kembali kepada tuannya yang melihat kejadian sebentar tadi.

Tuannya memeluk Bobo dan memuji tindakan berani Bobo menyelamatkan Tam-Tam.

Malam itu, tuan Bobo ternampak Tam-Tam datang dekat kandang Bobo.

Kelihatan Tam-Tam menyalak kecil seperti bercakap dengan Bobo.

Betul. Tam-Tam berjumpa dengan Bobo dan meminta maaf dengan sikapnya yang kurang baik kepada Bobo selama ini.

"Aku minta maaf ye. Aku juga nak terima kasih pada kau sebab tolong aku tadi. Kalau kau tak tolong aku. Aku rasa aku dah mati kena baling batu tu".

Sejak hari itu, Bobo dan Tam-Tam menjadi sahabat yang sangat baik dan mengambil berat sesama sendiri.

Betullah pesan bijak pandai. Berbuat baiklah kepada sesiapa pun walaupun ianya adalah musuh kamu. Mungkin dengan tindakan baik itu boleh merubah musuh menjadi sahabat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience