Chapter 8

Horror & Thriller Series 8153

Kawan

Lenguh tangan memegang si budak junior kena rasuk masih belum hilang. Menyusahkan aku betul. Tiap minggu kena rasuk, lemah sangat. Mengada-ngada nak kawan dengan setan kenapa? Gila. Aku tak faham dengan kerenah budak zaman sekarang. Semua benda nak stress. Nama pun kehidupan, mestilah ada naik dan turun. Ye tak?

Aku bukan apa, kesian juga pada budak ni. Tapi aku letih. Tugasan yang bertimbun masih belum disiapkan. Laptop melambai-lambai mengingatkan aku supaya menyiapkan tugasan. Baru beberapa minit duduk di atas kerusi di dalam bilik, pintu bilik diketuk dengan kuat.

Tok!! Tok!! Tok!!

Aku dengan malas membuka pintu. “Ena! Tolong jap, tolong. Fidah kena rasuk lagi!” kata seorang rakan ku yang bernama Mina.

Haihh...kena rasuk lagi. Aku melihat jam di dinding. Pukul 2.30 pagi. Esok ada kelas. Tapi apa boleh buat? Aku cepat-cepat mengikuti Mina ke biliknya di tingkat 3. Bilik aku di tingkat 4. Kelihatan 3 orang kawan aku yanglain memegang Fidah. Fidah meronta-ronta sambil meraung. “Lepaskan aku!! Lepaskan aku!!” Mata Fidah terbeliak memandang sekeliling bilik. Tangannya rakus bergerak-gerak cuba melepaskan diri dari genggaman. Dengan tidak disangka, dia melibas tangan kirinya sehingga menyebabkan seorang kawan ku terpelanting ke belakang.

“Ya Allah! Pegang Fidah! Cepat pegang dia!” Ila menjerit meminta tolong. Aku cepat-cepat memegang tangan kiri Fidah dan mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang aku ketahui. Dengan tiba-tiba Fidah memandang tepat ke arah aku.

“Aku tak suka dia ni! Aku benci perempuan ni!” Fidah bersuara dengan ganasnya. Kali ini suaranya seperti suara seorang lelaki. Betul-betul garau. Fidah memandang tepat ke arah ku.

Hishh dia ni..Apehal pulak tak suka kat aku..ape aku buat... desus ku di dalam hati.

Aku terus membaca ayat-ayat suci sambil menggengam tangannya dengan kuat. “Ila, dah panggil ustaz ke belum??! Teruk dia ni..” aku bertanya kepada Ila. Tidak sempat Ila menjawab, tiba-tiba elektrik terputus. Keadaan di dalam bilik itu gelap gelemat serta merta. Fidah tidak lagi meronta-ronta. Pelik. Kesunyian memecah ruang bilik.

Tok! Tok! Tok! Pintu bilik diketuk dengan kuat. Aku menjerit menyuruh membuka pintu dan masuk ke dalam kerana aku masih memegang tangan Fidah. Pintu terbuka luas. Kelihatan Ila dan rakan-rakan lain memapah Fidah.

Huh?!! Tangan siapa yang aku tengah pegang sekarang??!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience