Chapter 9

Horror & Thriller Series 8153

Operasi

"Kita nak masuk rumah mana malam ni Jo?" tanya Jeff sambil membetulkan sarung tangan yang dipakainya.
"Banglo tiga tingkat atas bukit tu la, mane lagi. Aku dengar satu keluarga melancong ke luar negara sebulan." Jawab Jo dengan serius. Jo menyusun barang-barang yang diperlukannya untuk operasi mereka pada malam itu. Operasi seperti selalu.

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi apabila mereka berdua sampai dihadapan Banglo tersebut. Hanya lampu perkarangan rumah dan pondok pengawal menyala terang benderang. Mereka berdua menunggu di dalam kereta.

“Eh, pengawal tu macam mana?” tanya Jeff sambil menuding jari ke arah pengawal yang bertugas di dalam pondok pengawal. Pondok pengawal itu dibina bersambung dengan pagar rumah banglo tersebut.

“Ala, pengawal tu aku dah suap. Jangan risau la bro. Jom!” jelas Jo sambil tersenyum. Jo cepat-cepat membuka bonet kereta dan mengeluarkan semua alatan yang diperlukan. Jo menyambung, “Jangan lupa pakai sarung tangan tu.”

“Ok bos!” Jeff menjawab dengan bersemangat.

Setelah memeriksa semua alatan yang perlu dibawa, mereka berdua berjalan menuju ke arah pondok pengawal. Jo masuk ke dalam pondok pengawal dan berbincang dengan pengawal disitu. 5 minit kemudian, Jo membuat isyarat tangan memanggil Jeff masuk ke dalam rumah banglo itu melalui sebuah pagar kecil yang dikhaskan untuk pengawal dan orang gaji.

Setelah masuk ke perkarangan rumah, Jo dengan perlahan membuka peta rumah banglo itu yang dilukisnya sendiri. Dia telah menghafal tentang plan rumah tersebut sejak 3 minggu yang lepas. Tujuannya hanya satu. Dia ingin mencari bilik peti besi yang dikatakan tempat untuk menyimpan jongkong emas.

Dia menyuluh peta dengan menggunakan lampu suluh. Bahagian dalam rumah tersebut gelap gelita kerana tuan rumah tidak suka membiarkan lampu terpasang. Tetapi disebabkan Jo telah membuat perjanjian dengan pengawal tersebut, mereka dibenarkan memasang lampu di beberapa ruang rumah tersebut. Setelah masuk ke dalam rumah, Jo berhenti di ruang dapur.

“Jo, nape benti kat dapur je ni? Barang kemas semua kat atas kan?” tanya Jeff kepada Jo sambil memerhati keadaan sekeliling. Jeff menyambung, “ Bijak la kau ni, first time aku pecah masuk rumah orang kaya tak rasa takut.”

“Banyak la kau punya bijak, aku buat deal dengan pengawal tu. Kalau jumpa jongkong emas, aku kena bahagi sama rata antara kita tiga orang,” jelas Jo sambil membelek-belek alamari dapur antik yang terletak di dapur.

“Hah?!! Jongkong emas????! Kau biar betul Jo! Dalam rumah ni ada jongkong emas???!” jerit Jeff dek terkejut dengan apa yang diucapakan Jo.

“Yep. Dalam rumah ni, aku dengar ada satu bilik rahsia bawah tanah. Dalam tu tuan rumah simpan jongkong emas,” Jo menerangkan kepada Jeff dengan selamba. Kali ini, Jo kelihatan mengetuk-ngetuk dinding di dapur tersebut.

“Mana bilik rahsia tu? Mana?” tanya Jeff dengan nada tidak sabar sambil memerhati sekeliling rumah.

“Aku tengah cari la ni. Tolong la aku sama,” balas Jo dengan tegas. “Kau nak kan emas tu? Haahh cepat tolong aku.” Jo menyambung. Perasan tamak di dalam diri Jeff semakin membuak-buak selepas mendengar penjelasan Jo tentang jongkong emas tersebut. Dia berjalan menuju ke arah singki dan terpijak sesuatu yang berminyak dilantai dapur lalu tersungkur ke dinding bersebelahan kabinet singki.

“Woii! Hati-hati la Jeff! Ape sampai jatuh-jatuh ni,” Jo bersuara sambil menuju ke arah Jeff.

“Aduhh, sakit belakang aku. Eh! Ape kat lantai tu? Tadi tak de pun!” merungut Jeff sambil cuba bangun perlahan-lahan. Dia ternampak patung burung hantu yang menjadi hiasan di dinding dapur. Sambil bangun perlahan-lahan, dia memegang patung batu tersebut.

Bammmmm!!!! Bunyi seperti ada bom kecil yang meletus di dalam rumah tersebut. Mereka berdua terperanjat lalu bersedia untuk berlari keluar tetapi langkah mereka terhenti.

Betul-betul bersebelahan kabinet antik dan kabinet sinki, terdapat sebuah pintu. Pintu yang dilindungi oleh dinding batu rumah tersebut. Mereka berdua tercengang melihat pintu itu terbuka dengan perlahan. Setelah ia terbuka sepenuhnya, mereka hanya dapat melihat kegelapan. Tiada satu cahaya pun yang ada di sebalik pintu tersebut.

“Gila...be..be..betul ke ni apa yang aku nampak?” Jeff berkata degan tergagap-gagap. Mereka berpandangan dengan satu sama lain. Jo berjalan perlahan-lahan mendekati ruang bilik yang terbuka itu.

“Jom Jeff, bawak barang. Aku rasa kita dah jumpa bilik jongkong emas tu,” Jo berkata dengan perlahan. Sedikit pun tidak menunjukkan rasa takut. Dia mengangkat tangan memberi isyarat kepada Jeff untuk mengikutnya dari belakang. Jeff mengangkat beg dan menyalakan lampu suluh sambil mengikuti Jo. Mereka memasuki ruang bilik rahsia itu dengan menuruni sebuah tangga yang membawa mereka terus ke sebuah bilik. Mereka berdua menyuluh sekeliling bilik untuk mencari jongkong emas yang dikatakan disembunyikan di situ.

“Eh, ada pintu!” Jeff berkata kepada Jo. “Jom, mungkin ada dekat dalam tu,” Jo menjawab sambil melangkah menuju ke pintu tersebut. Jeff mengikuti Jo dengan perlahan sambil menyuluh keadaan sekeliling.

“Hah! Apa tu??!!!!!” Jeff menjerit dengan kuat sambil memegang bahu Jo. “Tu..tu..tu..dekat sudut tu...!!” Jeff menyambung sambil memejam mata.

“Mana ada apa-apa! Kau ni mengarut! Kau nak kaya ke tak?!” Jo membentak sambil menyuluh ke arah sudut. “Be..be..betul Jo, Aku nampak....aku nampak ada...ada....”

“Ada apa?!! Beruk??! Toyol?!” Jo semakin hilang sabar dengan kerenah Jeff yang kaki penakut.

“Aku nampak...huhu...nampak..po...po..cong!” Jo membalas dengan terketar-ketar. Jeff menggeleng kepala dengan apa yang didengarinya. Dia hanya diam membisu kerana sudah malas ingin melayan perangai Jeff. Jo terus berjalan memasuki pintu tersebut seorang diri meninggalkan Jeff di ruang itu. Selepas Jo memasuki pintu yang kedua, dia menyuluh sekeliling dan ternampak sebuah peti besi yang amat besar. Sebesar peti sejuk. Hatinya terasa teruja. Akhirnya dia menjadi kaya. Akhirnya dia tidak akan hidup susah lagi, tidak akan merempat lagi. Jeff mengeluarkan alat-alat yang dibawanya dan memulakan kerjanya untuk membuka peti besi tersebut. Tidak sia-sia dia mempelajari ilmu itu dari seorang bekas tentera.

20 minit kemudian, Jo berjaya memecahkan kod rahsia peti besi tersebut. Manakala Jeff hanya menunggu di luar bilik. Apabila Jo ingin membuka peti besi itu, bau busuk seperti bangkai menusuk hidungnya. Sehingga membuatkan dia termuntah. Sedang dia terduduk kerana terlalu loya akan bau busuk tersebut, pintu peti besi itu dengan perlahan terbuka, sedikit demi sedikit.

Satu makhluk tidak berkepala melangkah keluar dari peti besi tersebut. Badannya berdarah-darah. Jarinya berkuku panjang menggapai ka arah Jo.

Jeff yang menunggu di bilik sebelum itu tiba-tiba mendengar jeritan Jo dengan kuat, diikuti dengan bunyi seperti tulang temulang dipatahkan. Akibat terlalu panik dan takut, Jeff terus berlari keluar mengikuti tangga sehingga sampai ke ruang dapur rumah banglo tersebut. Beberapa saat selepas Jeff keluar dari bilik bawah tanah itu, pintu bilik bawah tanah itu tertutup rapat.

“Dua orang ke awak bagi masuk tadi?” kedengaran suara seorang lelaki lewat 60-an bercakap. Jeff mendengar suara itu datang dari ruang sebelah dapur. Dia cepat-cepat menyorok di bawah meja dan memasang telinga.

“Ye Tuan, dua orang. Saya dah bagitahu suruh cari dekat dapur,” kata seorang lagi lelaki yang berusia lingkungan 30-an.

Eh,tu macam suara pengawal rumah ni, fikir Jeff di dalam hati. Jeff masih memikirkan cara bagaimana untuk menyelamatkan Jo. Walaubagaimanpun, Jo tetap kawannya.

“Padan muka perompak tu, ada hati nak kaya. Ingat aku ni bodoh nak simpan jongkong emas di dalam rumah?” ketawa lelaki yang berusia lingkungan 60-an itu. Dia mnyambung lagi, “Awak tutup pintu tu dah? Pastikan benda tu tak keluar, kalau tak mati kita. Lagi satu, tahun depan macam biasa. Cari mana-mana perompak yang nak pecah masuk rumah ni. Benda tu kena makan setahun sekali. Kalau tak habis harta aku.”

Jeff terkejut mendengar perbualan dua orang yang misteri tersebut. Dia terus memasang telinga tetapi hanya kesunyian memecah ruang rumah.

“Dah jumpa jongkong emas?” satu suara menyapa dari belakang Jeff.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience