“Tristan Orked!”
Suara Fira kedengaran memanggil nama penuhku. Aku segera menoleh. Nun di hadapan sana kelihatan Fira dan Akmal berdiri betul-betul di hadapan pintu masuk restoran. Aku mengerutkan dahi sedikit. Mereka berdua melangkah mendekati aku dan juga mamat Ducati yang ditegur olehku sebentar tadi.
“Kau kenapa?” soalku apabila Fira dan Akmal berdiri di sebelahku.
Aku tayang muka selamba. Walaupun sudah tahu kenapa Fira memanggil nama penuhku, aku tetap menanyakan soalan bodoh.
“Saja panggil kau. Risau ada yang bergusti kejap lagi,” perli Fira senada. Riak mukanya bersahaja.
Aku buat muka. Ada juga yang kena seligi sampai hilang gigi karang, gerutuku dalam hati. Jelas tak puas hati dengan kata-kata Fira. Aku memandang ke arah Akmal dan lelaki di hadapanku silih berganti. Eh? Kenapa cara dorang berpandangan seolah-olah kenal? Atau dorang sememangnya dah kenal? Belum sempat aku buka mulut, Akmal terlebih dahulu bersuara.
“Kau asal nak balik tak bagitahu aku?”
Aku pandang lelaki di hadapanku dengan riak wajah bingung. Menantikan jawapan daripada lelaki tinggi lampai itu.
Jangan cakap dorang ni bestfriend, sempat lagi aku meneka dalam hati.
“Aku ada hal. Sekejap je kat sini,” balas lelaki yang aku panggil mamat Ducati. Nada suaranya kedengaran tidak mesra.
“Korang kenal ke?” Soalan cepu platinum daripadaku.
Akmal dan lelaki itu dipandang silih berganti. Mengharapkan jawapan. Akmal mengangguk.
“Okay got it. Aku assume korang ni bestfriend. Kau tahu tak, kawan kau ni dah patahkan cermin kereta aku?” soalku mula memetir. Tak lain tak bukan, Akmal menjadi tempat aku melampiaskan geram.
“Bila?” dahi Akmal berkerut sedikit.
“Dekat lampu isyarat.”
“So kau lah perempuan yang cakap aku tak reti bawak motor tu?” Lelaki yang aku tidak ketahui nama itu menyampuk. Dipandangnya aku atas bawah. Dari bawah matanya naik semula ke atas. Kemudian berhenti tepat di wajahku.
Aku mencerlung tajam ke arah lelaki itu. Bersedia untuk memulakan misi menembak menggunakan senjata lidah.
“Ingat pun. Ingatkan dah nyanyuk,” sindirku pedas. Jangan main-main ya? Kalau bab ayat pedas aku sapu. Tajam berbisa menusuk ke kalbu. Juara dalam menyakitkan hati orang.
Lelaki itu ketap bibir. Geram dengan kata-kataku yang jelas menyindirnya.
“Setakat patah sikit macam tu boleh repair. Paling kurang tukar baru.” Semudah ABC lelaki itu memberikan jawapan.
“Sikit ke banyak ke, awak tetap bersalah dalam hal ni. Bawak motor macam orang kudung tangan. Tak reti park sebelah kereta orang.” Seperti biasa ada saja jawapanku. Tidak mahu kalah. Perempuan kan selalu betul?
“So kau nak aku bayar ganti rugi la ni? Hell no!”
“Sedara dah patahkan cermin kereta orang tau. Taknak bayar takpe tapi jangan sampai saya patahkan cermin motor sedara pula.” Suara celah gigi. Aku betul-betul bengang sekarang ni. Kalau la lelaki di hadapanku ini merupakan punching bag, sudah lama aku tendang sampai ke Zimbabwe sana.
“Like I said, I won’t pay anything. A big no.” Jawapan yang makin menambah bengangku. Mintak kaki betul la mamat ni.
“You have to pay me for what have you done!” suaraku naik seoktaf. Agak meninggi dari tadi. Kalau mamat tu boleh berkeras, aku pun boleh la. Ingat dia sorang je ke boleh berkeras?
“Tris…” panggil Fira. Lengan blouse corak bunga yang dipakaiku ditarik.
“What?” Soalku acuh tak acuh.
“Dah la tu. Malu la orang tengok bertekak kat sini. Depan public sekarang. Orang tengah sedap makan korang gaduh kat sini. Tak ke nanti boleh hilang selera orang nak makan,” tegur Fira separa berbisik di telingaku.
“Dia yang mula dulu,” tuduhku. Muka berubah masam.
“Kau yang datang cari aku kat sini kan? So kau la yang mula dulu.” Masing-masing saling menyalahkan.
“Apa pulak? Semua ni berpunca dari sedara tau.”
“Aku taknak ganti. Full stop.”
“Mana boleh! Sedara kena ganti kerugian yang saya alami."
"Aku tetap berkeras taknak ganti. Setakat patah sikit macam tu ala kau pergi je la repair kat kedai. Paling-paling pun tukar baru. Berapa je kena bayar bukannya mahal sangat pun." Lelaki bernama Kael tidak mahu kalah. Dia tetap berkeras dengan keputusannya tidak mahu bayar wang ganti rugi.
"Ini bukan soal mahal atau murah tau. Ini soal sikap lepas tangan sedara. Sedara dah sebabkan kerosakan pada kereta saya. So sedara kena bertanggungjawab," aku turut tidak mahu kalah.
Apa pun jadi aku tetap mahukan ganti rugi. Dasar tenuk si Kael! Dah buat kerosakan bertanggungjawab la sikit. Harap muka je hensem tapi takde rasa tanggungjawab. Hampeh!
"Kan aku dah cakap aku..." belum sempat Kael habiskan ayatnya, Akmal segera menyampuk. Menghentikan perbalahan di antara kami berdua.
“Enough! Korang gaduh macam budak-budak. Tris, takpe pasal ganti rugi tu biar aku yang bayarkan. Tanda mintak maaf bagi pihak Kael. Korang jangan gaduh lagi dah. Buat malu aku je ada kawan macam korang ni. Kalau pelanggan aku lari nanti, semua salah korang!” Akmal bersuara tegas.
Wajah aku dan Kael dipandang silih berganti oleh Akmal dengan riak wajah tidak puas hati. Marah barangkali kerana sudah membuat kecoh di restoran miliknya.
Aku hembuskan nafas perlahan-lahan sebelum berkata...
“Dah kau berkawan dengan beruk macam ni la jadinya,” balasku selamba sebelum pandangan menghala ke arah wajah Kael yang jelas tidak puas hati dengan aku. Geram apabila aku menyebut beruk agaknya.
Usai memandang wajah Kael sekilas, aku segera berlalu. Malas mahu berlama-lama di situ. Duduk lama-lama kat situ buat aku tambah sakit hati je. Fira mengejar langkahku dari belakang. Panggilannya aku tak hiraukan.
**********************************************************
Aku mengambil angin di luar balkoni bilik. Kaki dilunjurkan di atas kerusi panjang yang sememangnya tersedia di balkoni bilik milikku. Fikiran menerawang mengingati kejadian siang tadi. Selepas pergaduhan di hadapan restoran Akmal, aku terus pecut pulang ke rumah. Fira? Semestinya dia menginap di rumah keluargaku di sini. Maksu dan Paksu sedang mengerjakan umrah. Disebabkan Fira merupakan anak tunggal maka tidaklah selamat baginya untuk tinggal seorang diri di rumah keluarganya. Justeru itu dia harus tinggal di sini sehinggalah orang tuanya pulang ke Malaysia.
Entah kenapa anak mata lelaki yang dipanggil Kael oleh Akmal mengingatkanku kepada seseorang. Seolah-olah pernah dilihat sebelum ini. Akan tetapi aku sudah lupa di mana aku pernah melihat anak mata itu. Puas aku mengerah otak supaya mengingat kembali namun gagal.
“Kenapa anak mata dia familiar sangat?” perlahan sahaja aku menuturkan ayat itu. Bersoal jawab dengan diri sendiri.
“Kau cakap dengan siapa?” Fira tiba-tiba sahaja muncul sambil menepuk paha kananku.
Aku panggung kepala. Dilihat Fira mengambil tempat dengan bersila di atas lantai tanpa sebarang alas. Tangannya diletakkan di atas pahaku. Aku duduk mengadap Fira. Rumahku tidak semewah rumahnya. Hanya satu kerusi panjang saja yang ada di luar balkoni bilikku. Suka hati Fira la nak duduk mana sekalipun. Atas lantai ke naik ke langit pergi kerajaan ayah pin ke. Aku tidak kisah.
“Takde apa. Ingat hal siang tadi je,” balasku ringkas.
Telefon di tangan aku mainkan. Menunggu panggilan daripada Uqail. Menunggu Uqail menelefon aku ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Lelaki itu seakan mengelak daripada aku. Bila ditanya katanya sibuk. Dia punya sibuk mengalahkan Perdana Menteri. Heh.
“Kau tak puas hati lagi ke dengan si Kael?”
Aku pandang Fira sebelum bersuara.
“Tak la. Bukan hal tu.”
“Then?”
“Aku rasa macam pernah nampak la dia sebelum ni. Tapi lupa kat mana. Anak mata dia familiar sangat,” beritahuku.
Keluhan dilepaskan. Kenapalah otak gagal berfungsi saat-saat genting seperti ini? Waktu taknak guna otak, elok je berfungsi. Sekarang? Hampeh!
“Memanglah familiar. Anak mata warna hazel. Ramai je macam tu." Mudah sahaja jawapan daripada Fira.
“Kau tak faham.” Aku mengeluh perlahan.
“Habis tu?” Dahi Fira berkerut. Tidak faham.
“Takde apa la. Lupakan.” Aku tolak lengan Fira yang berada di pahaku. Bagaimana hendak diceritakan kepada Fira jikalau aku sendiri tidak ingat di mana aku pernah melihat anak mata itu?
“Eh kau ni. Mintak kaki betul. Cerita tak habis,” rungut Fira. Wajahnya cemberut. Bibir pula terjuih-juih. Tanda tak puas hati dengan aku.
“Malas aku nak layan kau.” Aku bangun dari duduk. Meninggalkan Fira di situ. Malas buka mulut lebih-lebih.
**********************************************************
Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Dah serupa orang sedang berkawad. Telefon setia melekap di telinga. Letih berjalan, aku mengambil tempat di kerusi meja kerja. Mata tidak lepas memandang skrin telefon.
Dia ni sibuk sangat ke sampai call aku tak boleh nak jawab? Desis hati kecilku. Sudah berpuluh kali aku menelefon Uqail namun panggilan langsung tidak dijawab.
Kalau dulu hampir setiap hari Uqail akan menelefonku tetapi sekarang sudah terbalik. Aku pula yang menelefonnya namun panggilan sepi tanpa dijawab. Bila ditanya katanya sibuk. Entah apa yang disibukkan sangat aku sendiri tidak pasti.
Tidak semena-mena, telefon di kaunter berbunyi. Aku segera mengangkat panggilan tersebut. Usai bercakap, gagang telefon aku letakkan kembali pada tempat asalnya. Aku melompat suka sambil menjerit kecil. Sebentar tadi aku telah menerima panggilan telefon daripada pihak Tan Sri sendiri yang ingin menempah gubahan bunga, hantaran dan pelamin dari kedaiku. Siapa yang tak teruja kan? Orang ternama kut.
“Happy semacam je Tris,” tegur kak Nana yang baru sahaja memasuki tempat kerjaku.
Kak Nana merupakan pekerja di kedaiku. Walaupun aku seorang bos, aku akan menyuruh para pekerja untuk memanggilku dengan panggilan Tris sahaja. Lebih mesra. Kerusi ditarik lalu kak Nana melabuhkan punggung di hadapanku. Seperti biasa, senyuman manis akan terbias di wajah kak Nana. Wanita itu sememangnya murah dengan senyuman. Berbeza dengan aku yang jarang senyum. Hoho.
“Akak tahu tak, Tris dapat panggilan daripada seorang Tan Sri. Guess what? Dia tempah pakej perkhidmatan perkahwinan dekat kedai kita,” ceria sahaja aku beritahu kak Nana. Kegembiraan aku tidak dapat disorok. Jelas terpancar di wajah.
“Betul ke ni?” soal kak Nana mahukan kepastian. Mukanya jelas terkejut. Kali pertama dapat tempahan daripada orang yang bergelar Tan Sri semestinya terkejut.
“Betul kak. Tris sendiri tak sangka Tan Sri tu akan pilih kedai kita yang biasa-biasa ni.”
Jika kak Nana terkejut, aku dua kali ganda lebih terkejut sebenarnya. Kedai kepunyaanku ini baru beroperasi selama 2 tahun. Bak kata orang, baru setahun jagung. Ini merupakan kali pertama kedaiku mendapat tempahan daripada orang ternama. Orang ternama dalam bidang perhotelan!
“Alhamdulillah syukur rezeki. Rezeki tak pernah salah alamat,” balas kak Nana sambil meraup wajah tanda bersyukur.
“Alhamdulillah. Lepas ni team kita kena kerja keras. Tan Sri bagi masa 2 minggu untuk siapkan semua tempahan. Nanti akak bagitahu budak-budak ni supaya prepare ya?” aku mengeluarkan arahan.
“Kejap lagi akak bagitahu dorang. Jangan risau.”
Aku mengangguk sambil tersenyum manis. kak Nana bangun kemudian beredar. Kelibat kak Nana yang keluar dari bilik kerjaku hanya dipandang melalui hujung mata.
**********************************************************
Aku meliarkan pandangan ke sekeliling kedai mamak. Kelihatan orang ramai sedang sibuk menjamu selera. Kedai mamak ini merupakan kedai yang aku biasa singgah untuk makan tengahari. Kebetulan kedai ini tidak jauh mana dari kedai bunga kepunyaan aku.
Seketika kemudian, aku alihkan pandangan ke arah Fira yang berada di kerusi bertentangan denganku. Minah ni tiba-tiba sahaja datang ke kedai sebelum lunch hour. Katanya bosan duduk rumah dengan umi abah. Maklumlah tidak buat apa-apa melainkan makan tidur sahaja.
“Kau nak makan apa?” soalku mendatar. Bertanya mengenai makanan yang ingin dimakan oleh Fira.
Fira pandang aku. Mulutnya terbuka sedikit sebelum bersuara.
“Apa-apa je asalkan sedap.”
Aku buat muka bosan. Inilah masalah terbesar perempuan. Kalau ditanya hendak makan apa mesti bagi jawapan yang tak spesifik. Tak reti bagitahu dengan jelas nak makan apa.
“Buat habis air liur aku je tanya kau. Baik aku tak tanya langsung kau nak makan apa kalau macam tu je jawapan kau,” tuturku dengan mimik muka geram.
“Sama macam kau je la. Aku makan semuanya.”
"Alright."
Tak menunggu lama aku terus bangun dari tempat duduk. Aku menuju ke arah deretan makanan di dalam kedai tersebut. Dua buah pinggan diambil sebelum tangan sibuk mengambil nasi dan beberapa jenis lauk. Kedai ini menyediakan perkhidmatan layan diri. Memang aku teruja kerana dapat mengambil seberapa banyak jenis lauk yang diinginkan.
Aku kembali ke arah meja makan yang diduduki oleh Fira. Air yang dipesan oleh Fira sudah tersedia di atas meja makan. Kami berdua mula makan. Sambil makan kami berbual.
"Kau plan bila nak kahwin?"
"Aku dah discuss lama benda ni dengan Akmal sebelum aku balik sini lagi. Kita orang decide nak kahwin lepas 3 bulan aku balik Malaysia. Sempatlah nak buat persiapan. Tak tergesa-gesa sangat kan?"
"Yup. Korang tak bertunang dulu ke?"
"Kita orang nak nikah terus. Well, aku dah lama bercinta dengan Akmal. Aku kenal dia macam mana."
Aku mengangguk. Aku akui hal tersebut. Sepanjang Fira dan Akmal bercinta, mereka berdua jarang sangat bergaduh. Setakat gaduh-gaduh manja biasalah. Gaduh sekejap kemudian baik balik. Dua-dua serius dalam perhubungan. Akmal pula sememangnya lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Sepanjang ketiadaan Fira di Malaysia, aku tahu Akmal tidak melayan mana-mana wanita yang cuba mendekatinya. Aku yang melihat bagaimana dia setia menunggu Fira habis belajar.
"Kau pulak bila nak kahwin?" Soalan cepu platinum daripada Fira.
Aku kahwin? Entah bila agaknya. Bercinta dah bertahun-tahun tapi belum pernah dibawa berjumpa dengan keluarga boyfriend. Uqail terlalu berahsia dengan aku. Bila minta dibawa berjumpa dengan keluarganya, dia menyuruh aku untuk bersabar. Aku tidak tahu berapa lama lagi aku boleh bersabar memandangkan kesabaran aku kian menipis. Mana-mana perempuan yang sedang berada dalam perhubungan pastinya mahukan kepastian. Tidak ada yang mahukan hubungan yang sia-sia.
"Entahlah weh. Sometimes Uqail tu aku tengok dia macam tak serius dengan hubungan kita orang. Sometimes aku nampak dia serius. Aku sendiri tak faham."
"Dari dulu lagi aku tak pernah suka kau dengan dia tapi kau degil!"
Fira sisip minuman. Menyegarkan tekak.
"Dah aku sayang dia. Nak buat macam mana? Dia je yang boleh tahan dengan perangai aku selama ni."
"Berlambak lagi homosapiens yang boleh kau sayang atas muka bumi ni selain dia. Kau tak rasa ke hubungan korang akan berakhir sia-sia?"
"Kau ni...cuba doa yang baik-baik untuk aku. Kata-kata ni satu doa tau." Aku buat muka.
"Aku selalu doakan yang terbaik untuk kau. Tapi jujur aku cakap, kau dengan dia seolah takde peluang untuk bersama. Maksud aku hubungan korang takkan pergi jauh. Aku nak tanya kau. Sepanjang kau dengan dia, ada tak dia sebut pasal kahwin? Kalau takde lebih baik kau cari lain. Lelaki macam tu takde usaha nak halalkan kita. Lagi satu, dia tak pernah kenalkan kau dekat family dia kan? Terbukti dia tak bersungguh pun dengan kau. Kalau dia betul-betul nakkan kau, dah lama dia bawak kau jumpa parents dia. Tapi hasilnya? Sampai sekarang kau tak pernah kenal family dia." Panjang lebar Fira bercakap. Kata-kata Fira buatkan aku terdiam. Perbualan kami ternoktah di situ.
Sedang asyik mengunyah makanan, aku terpandangkan lelaki yang bernama Kael tempoh hari. Kunyahan terhenti serta-merta. Dia juga sedang memandang tepat ke arahku. Kami bertatapan buat seketika sebelum aku cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain.
Mamat ni makan kat sini jugak? Aku bersoal jawab dengan diri sendiri.
Malas mahu memikirkan aku kembali mengunyah makanan. Makan lagi bagus. Lagipun sesiapa sahaja boleh makan di sini. Bukan aku sorang je yang boleh makan kat sini. Kes tempoh hari juga sudah selesai.
***************************************************************************
Usai makan tengahari aku kembali semula ke kedai manakala Fira pergi menemui Akmal. Tangan lincah mencatat itu ini di atas sehelai kertas kecil. Sesekali aku menyelitkan rambut yang terjuntai di dahi ke tepi telinga.
“Excuse me miss,” tegur seseorang.
Aku angkat kepala. Seketika kemudian pandangan aku bersabung dengan anak mata hazel milik seseorang. Kael!
Lelaki itu kini berada di hadapanku. Aku terkejut dengan kehadirannya. Tadi dah jumpa kat kedai mamak, sekarang dia muncul kat kedai pula. Mamat ni ada kuasa yang membolehkannya untuk muncul di mana-mana ke? Aku cepat-cepat bangun dari dudukku. Berdiri tegak di hadapan Kael yang hanya dipisahkan oleh pengadang kaunter.
“Yes? May I help you?”
Aku bertanya lembut. Riak terkejut dikawal sebaik mungkin. Senyuman manis ditayangkan. Pelanggan datang takkan nak tayang muka masam pula. Walau apa pun yang pernah berlaku beberapa hari lepas, aku harus bersikap profesional.
Bagaikan magnet, aku terus-terusan tertarik untuk memandangnya. Lebih tepat lagi membuang pandang ke arah matanya. Anak matanya begitu memukau. Anak mata itu terlihat tidak asing bagiku. Seolah-olah kami berdua pernah bertemu sebelum kejadian di lampu isyarat. Namun di mana?
“Aku datang nak beli bunga."
Kedai aku ini bukan sahaja menyediakan khidmat gubahan hantaran, bunga dan pelamin untuk bakal pengantin namun turut menjual bunga plastik untuk orang ramai. Bunga segar? Umi mempunyai sebuah nursery bunga namun aku tidak berminat untuk menguruskannya. Leceh!
“Encik Kael nak beli bunga apa?”
“Aku nak beli bunga orkid."
Aku kerutkan dahi namun hanya seketika cuma. Mungkin mamat ni suka bunga orkid. Lain dari yang lain. Kebayakan pelanggan yang datang ke sini biasanya akan beli bunga mawar merah atau putih. Pergi mana-mana kedai pun, bunga mawar paling diminati ramai. Tapi mamat ni berbeza pula. Rare.
“Encik Kael nak beli bunga orkid berapa banyak? Sekuntum? Dua kuntum? Or what?” Aku bertanya mahukan kepastian.
“Aku nak tiga kuntum. No more no less,” beritahu Kael dengan riak muka serius. Pandangannya tidak lari dari terus-terusan menatap wajahku. Aku pula naik segan apabila dia menatap aku sebegitu rupa.
Aku mengangguk.
“Alisa!” aku memanggil Alisa, salah seorang pekerja yang bekerja denganku dari awal pembukaan kedai.
Alisa yang sedang menggubah bunga di sudut kedai menoleh ke arahku.
“Kenapa kak Tris?” soalnya dengan kening yang terangkat sebelah.
“Tolong assist Encik Kael. Dia nak bunga orkid tiga kuntum."
Alisa menganggukkan kepala tanda mengerti dengan arahanku. Belum sempat Alisa bergerak ke arah deretan bunga di bahagian belakang kedai, Kael bersuara.
“Aku taknak orang lain yang ambilkan. Aku nak kau yang ambilkan untuk aku.”
Arahan yang luar biasa bagiku. Kali pertama orang berani memberi arahan kepadaku sepanjang kedai beroperasi.
“Encik Kael…”
“No excuses. Aku nak kau yang buatkan.” Kata-kata Kael mencantas bicaraku.
Aku ketap gigi rapat-rapat. Nasib baik kau ni pelanggan aku. Kalau tak, jangan harap aku nak bagi muka. Aku bagi selipar je nanti.
“Takpelah. Lisa sambung buat kerja ya. Biar akak yang ambilkan untuk Encik Kael.” Aku mengalah akhirnya.
Duit punya pasal, tak apa aku sanggup mengalah. Duit tak datang bergolek. Karang aku berkeras, lari pulak duit pelanggan yang sepatutnya kedai ni dapat. Aku juga yang rugi nanti. Haha.
Sebelum ke arah belakang kedai, sempat aku lihat sebuah senyuman tersungging di bibir seksi Kael. Eh? Seksi? Apa aku merepek ni? Baru beberapa kali terjumpa dengan Kael, mulut dah pandai memuji lelaki itu. Dalam kepala sarat memikirkan. Macam mana dia tahu ni kedai aku? Akmal yang bagitahu dia ke?
Apa-apa je la labu. Asalkan ada juga orang datang kedai beli bunga. Kedai bunga seperti kedai aku ini bukannya setiap masa dipenuhi pelanggan. Ada orang nak kahwin, dapatlah kami buat job, duit masyuk. Bunga-bunga plastik yang tersusun rapi bukannya setiap hari orang datang beli melainkan bunga segar. Bunga segar lebih mendapat permintaan tinggi berbanding bunga plastik.
Sun, Jun 12 2022 02:20 am —
Share this novel