Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Aku dan para pekerjaku masing-masing sibuk mengangkat barang-barang tempahan untuk dibawa ke dewan. Selepas ini kerja kami bakal selesai. Harapnya Tan Sri Afham suka dengan air tangan kami. Risau juga orang ternama itu tidak menyukai gubahan yang dibuat oleh pihak kami.
“Ada lagi ke barang kat dalam?” Tanyaku tidak mahu sebarang kesilapan berlaku. Tidak mahu ada apa-apa yang tertinggal.
“Rasanya dah takde,” balas Jaja.
Tangan memasukkan bakul berisi bunga ke dalam van di bahagian belakang. Untuk menggunakan kereta, haruslah tidak muat kerana tempahan yang dibuat terlalu banyak. Nasib baik kedaiku mempunyai dua buah van yang digunakan untuk penghantaran tempahan.
“Korang gerak dulu. Akak nak masuk dalam jap. Nak tengok kut ada yang tertinggal. Nanti akak gerak sana.”
Bukan tidak yakin dengan jawapan Jaja namun aku hanya ingin memastikan semua berjalan lancar. Tidak salah bukan?
“Eh! Tak apa ke akak duduk sorang kat kedai?” soal Alisa. Kening terangkat sedikit.
“Tak apa. Biar kak Nana temankan kak Tris korang.” Kak Nana mahu menemani aku. Mungkin risau aku seorang diri di sini.
Bob, Alisa dan Jaja bergerak menaiki van. Jaja yang handal memandu van menjadi pemandu pada hari ini. Selepas mereka bergerak, aku dan Kak Nana masuk semula ke dalam kedai. Setelah memeriksa kedai, kami keluar semula. Tiada apa-apa yang tertinggal. Lega rasanya.
“Biar Tris yang drive hari ni. Kak Nana teman Tris je eh?” kataku sambil mengeluarkan kunci van dari kocek seluar jeans.
“Tris kan bos. Takkan nak bawa van pula.” Kak Nana berat hati mahu membenarkan aku memandu van. Wajahnya berkerut sedikit.
Mungkin kerana aku bos dan dia pekerja membuatkan kak Nana merasakan tugas memandu adalah tugas pekerja bukannya bos.
“Tak apa. Ini Tristan la kak. Serba-serbi pandai. Setakat bawak van apa ada hal?" Aku masuk bakul angkat sendiri. Kening dijongket beberapa kali. Bibir tersengih-sengih suka.
“Tak boleh la macam tu. Tris kan bos.”
“Akak, tak apa la. Tris okay je bawak van. Jangan risaulah. Small matter je ni." Aku menyedapkan hati Kak Nana. Okey apa bawak van? Nampak cool gitu. Jarang ya nak jumpa perempuan bawa van.
“Yelah.” Kak Nana akhirnya mengalah.
Kami berdua mula bergerak. Aku hanya memandu dengan kadar sederhana. Grand Ballroom tidaklah jauh mana. Hanya memakan masa setengah jam sahaja.
"Akak, semua persiapan ni untuk siapa? Tempahan ni dibuat atas nama Tan Sri Afham sendiri. Majlis anak dia ke?" Tiba-tiba terlintas di benak fikiran persoalan tersebut.
"Tris tak tengok paper ke?" Soalan berbalas soalan.
"Tak. Kenapa?" Kak Nana di sebelah dipandang sekilas sebelum kembali fokus kepada pemanduan.
Kebelakangan ni tak ada masa untuk membaca mana-mana berita. Terlalu sibuk menyiapkan tempahan.
"Tak silap akak, ni majlis perkahwinan anak tunggal dia dia dengan arwah isteri dia yang meninggal sebab kanser. Pewaris utama Empire Group."
"Eh! Bila masa pulak Tan Sri Afham ada anak tunggal? Bukan ke anak dia dua orang ke?" Sekali lagi aku berpaling ke arah kak Nana.
Setahu aku, Tan Sri Afham ada dua orang anak. Itu yang aku baca di surat khabar sebelum ni. Tak pernah pula aku baca mana-mana berita mengenai anak tunggalnya.
"Yang dua orang tu anak tiri dia. Sorang anak tiri dia kerja dengan dia sorang lagi tak. Anak tunggal dia jenis low profile. Dengar-dengar anak tunggal dia kerja dengan orang lain. Engineer. Tup-tup beberapa hari lepas terbaca paper kata anak tunggal dia bakal berkahwin dalam masa terdekat. Kahwin dengan anak Dato'."
Aku mengangguk tanda faham. Patutlah tak pernah tahu pasal anak tunggal dia. Rupanya anak dia tak minat nak kerja dengan bapak sendiri. Dan-dan nak kahwin heboh satu Malaysia. Aneh.
**********************************************************
Sesampai di Grand Ballroom, aku bergegas membawa turun segala jenis bunga yang telah digubah. Kak Nana sudah selamat melangkah masuk ke dalam Grand Ballroom dengan bakul berisi bunga. Aku mengikut dari belakang. Di pertengahan jalan, aku telah dilanggar oleh seseorang. Bakul bunga yang dibawa olehku jatuh ke lantai.
Cepat-cepat aku membongkokkan badan mahu mengambil bakul yang jatuh. Aku mendengus geram dalam hati. Malaun mana pulak jalan tak pakai mata ni? Jalan punyalah sebesar alam, bahu aku juga yang dilanggarnya. Rosak bunga ni siapa nak jawab?
“Maaf cik tak sengaja.” Orang yang melanggarku meminta maaf. Nada suara kedengaran seperti rasa bersalah kerana telah melanggarku.
Aku tidak mengangkat wajah. Tangan sibuk mengutip bunga yang terkeluar dari bakul. Mulut bergerak-gerak mahu menghamburkan rasa geram yang terbuku dalam dada. Sudahlah langgar orang, tolong orang kutip bunga yang berterabur di atas lantai pun tidak. Geram aku dibuatnya.
Aku bangun berdiri setelah selesai mengutip bunga-bunga yang berterabur. Kepala diangkat lurus ke hadapan.
“Encik jalan tak reti tengok…” kata-kataku terhenti sebelum digantikan dengan…
“Qhalif?!” Nada suara ternaik sedikit. Terkejut punya pasal.
Qhalif yang berada di hadapanku turut menjerit.
“Tristan?!” Dua-dua menjerit menggunakan nada yang sama.
“Kau buat apa kat sini?” soalku ingin tahu. Walaupun aku tidak menyukai Qhalif, mulut tetap gatal mahu bertanya.
Sudah 10 tahun kami tidak bersua muka. Kali terakhir aku melihatnya sebelum kematian nenek. Waktu umurku belasan tahun, aku tinggal dengan nenek. Menemani nenek yang sudah tua di kampung. Aku tidak pernah lupa seraut wajah ini yang kini sedang berdiri di hadapanku. Siapa je boleh lupa lelaki yang sering mengangguku ketika aku tinggal dengan arwah nenek suatu masa dahulu? Lelaki yang juga merangkap bekas teman sekelas.
Qhalif menguntum senyum. Wajahku dipandang tidak lepas.
"Aku datang nak tengok persiapan majlis kahwin abang tiri aku.”
Dahiku berkerut. Jangan-jangan Qhalif anak tiri Tan Sri Afham tak? Melihat dari gaya penampilan Qhalif, aku akui gayanya ke arah korporat. Penampilannya begitu kemas dan rapi. Berseluar slack dan berkot. Kau rasa?
“Kau anak…”
Belum sempat aku habiskan kata-kata, kedengaran suara kak Nana menjerit memanggil namaku.
“Tris! Buat apa lagi tercegat kat situ? Dah lambat ni."
Aku cepat-cepat beredar. Nanti-nanti je la aku tanya Qhalif mengenai keluarga tirinya. Teringin juga nak tahu sejak bila dia mempunyai abang tiri. Setahu aku dia cuma dua beradik. Itupun adik-beradik kandung. Malas memikirkan, aku cepat-cepat melangkah. Kerja menghias harus disiapkan hari ini juga.
**********************************************************
Aku tidak tahu aturan apa yang telah diatur oleh Tuhan namun aku sedar Dia Maha Mengetahui. Aku tidak menyangka akan berjumpa dengan Kael di dewan ini. Entah apa yang dibuatnya di sini aku tidak tahu. Aku sedar setiap pergerakanku diperhatikan oleh Kael. Pandangannya sedikit mencerun. Hobi dia perhatikan orang ke apa?
“Awak tak ada kerja ke asyik tengok orang?” soalku tidak selesa apabila mata lelaki itu tajam memerhatikan aku sedari tadi.
“Sebab aku tak ada kerja la aku tengok kau. Ada juga kerja aku.” Selamba sahaja Kael menjawab.
Aku buat muka. Eh dia ni! Main-main. Lempang karang bisu.
“Kut ya pun tak ada kerja sangat, janganlah tengok anak dara orang,” tukasku sedikit geram.
Orang nak buat kerja pun rasa tak senang. Rasa serba tak kena bila orang asyik perhatikan gerak-geri kita.
Kael mengorak senyuman. Bibirnya herot sedikit.
“Why? Aku buat kau rasa tak senang nak buat kerja ke?” Terlepas gelak tawa dari ulas bibir lelaki itu.
Aku mencebik.
“Kalau ya kenapa?” Soalan berbalas soalan. Luku kepala tu karang. Haih dia ni.
“Ingatkan kau berani sangat. Tak sangka aku tengok kau, boleh buatkan kau tak senang duduk. Nampak je berani.” Komen yang tidak pernah diminta oleh aku.
“Whatever.” Aku jelirkan lidah. Sempat lagi aku jeling ke arah Kael sekilas.
“Comel.” Antara dengar dengan tidak aku terdengar Kael ucap sebegitu.
“Awak cakap apa tadi?” tanyaku mahukan kepastian. Kut salah dengar tadi.
“Takde apalah. Abaikan.”
Aku diam meneruskan kerja-kerja menghias. Malas melayan lelaki seperti Kael. Mengganggu kerja orang saja. Aku sendiri pelik kenapa dia ada kat sini. Sebelum masuk ke dalam dewan bertembung dengan bekas kawan sekelas. Dah masuk dalam dewan terjumpa dengan Kael pula. Memang hari ni hari terjumpa manusia sedunia ke apa?
“Ehem!” Tiba-tiba Kael berdehem perlahan. Tepat di belakangku. Entah bila dia di situ, aku tidak perasan.
Aku menoleh. Sakit tekak ke mamat ni?
“Awak kenapa?” Tangan tetap bergerak melakukan kerja. Mata kembali difokuskan ke hadapan.
“Kau buat apa kat sini?” Soalan mintak kaki pakej pelempang add on jelingan maut.
“Tak nampak ke saya tengah buat apa?” Rasa nak sepak je Kael ni. Dah tahu orang tengah hias dewan untuk majlis kahwin lagi mahu ditanya buat apa di sini. Buta ke apa mamat ni?
“Aku nampak je kau tengah buat apa tapi saja aku tanya. Pura-pura tak nampak kau buat apa. Boleh aku borak dengan kau." Jawapan selamba keluar dari bibir Kael.
Aku ketap bibir. Kecik besar je aku tengok Kael sekarang. Eeeii aku la. Ada juga yang kena hempuk dengan bakul bunga on the spot kejap lagi.
“Saya sibuk. Tak ada masa nak borak dengan awak." Bidas aku. Malas nak layan si Kael.
Aku pusing tubuh kembali. Mahu menyambung kerja yang tergendala. Baru sahaja berpusing separuh badan, terasa lengan ditarik oleh seseorang menyebabkan aku berpaling semula ke belakang. Seketika kemudian aku kaku apabila jarak di antara aku dan Kael hanya beberapa inci. Tangannya masih setia memegang lenganku. Pandangan bersabung tepat dengan mata Kael. Lama aku menatapnya dengan riak terkejut. Degupan jantung berubah rentak menjadi laju. Aku nanar apabila memandang anak mata Kael. Ada sesuatu di situ. Sesuatu yang sukar untuk diungkapkan.
"Kalau macam ni, kau ada masa untuk borak dengan aku?"
Aku bagaikan baru tersedar selepas mendengar suara Kael. Cepat-cepat aku lepaskan lengan dari pegangan lelaki itu.
"Apa awak ni? Pegang-pegang saya." Tergagap-gagap aku berkata. Sesungguhnya aku terkejut. Pada masa yang sama, aku berasa malu kerana aku dapat merasakan ada beberapa pasang mata sedang memandang ke arah kami sedari tadi.
"Yet still berlapik." Mudah sahaja jawapan Kael.
Aku ketap bibir. Eh dia ni!
"Itu bukan alasan untuk pegang-pegang saya sesuka hati awak. Malu orang tengok." Walaupun aku tidak bertudung, aku tidak senang orang pegang aku sewenang-wenangnya terutama sekali orang lelaki.
Aku menyambung lagi.
"And please boleh tak jangan kacau orang nak buat kerja? Mengganggu tahu tak? Kalau awak takde apa-apa urusan kat sini, please leave." Selamba aku menghalau Kael. Dia ni takde kerja agaknya. Asyik ganggu aku.
Kael ketawa kecil.
"Aku memang takde urusan kat sini tapi ada hal yang buatkan aku terpaksa ada kat sini."
Aku kerutkan dahi. Takde urusan tapi terpaksa ada kat sini?
"Kenapa? Ahli keluarga awak ke yang nak kahwin?"
“Kind of.”
Jawapan ringkas daripada Kael buatkan aku terfikir sejenak. Kalau ahli keluarga dia nak kahwin kat sini, maksudnya Kael ada kaitan dengan Tan Sri Afham la kan?
Maksudnya dia salah seorang ahli keluarga Tan Sri Afham. Padan la Kael mampu beli Ducati. Tapi apa hubungan mereka berdua? Kael anak tiri Tan Sri Afham ke?
“Siapa ahli keluarga awak yang bakal berkahwin tu?”
“You’ll find it. Soon, sweetie." Usai berkata begitu Kael segera berlalu meninggalkan aku yang terkedu seribu bahasa.
Sweetie? Like seriously?
**********************************************************
Aku melepaskan lelah. Pandangan dihala ke arah para pekerja yang keletihan melakukan kerja-kerja menghias. Akhirnya, selesai juga tugasan kami di sini. Sebenarnya aku pelik kenapa Tan Sri Afham menempah pakej perkhidmatan perkahwinan dari kedai aku sedangkan lelaki itu boleh sahaja mengupah wedding planner untuk menguruskan semuanya. Tidak mengapalah anggap sahaja mungkin sudah rezeki aku kali ini.
Kami berlima mengemas barang-barang yang digunakan untuk menghias. Mahu berangkat pulang setelah beberapa jam menghabiskan masa di sini. Selesai mengemas, kami melangkah keluar.
Baru sahaja mahu memasuki van di bahagian pemandu, aku dikejutkan dengan kehadiran Kael. Dia menghalang aku dengan meletakkan tangannya di pintu van. Aku mengerutkan dahi memandangnya. Dah kenapa dia ni? Aku ingatkan lepas dia keluar dari dewan, dia dah balik. Rupanya belum. Masih mahu mengganggu aku.
“Nak apa?” soalku sedikit kasar. Orang tengah penat boleh pulak dia datang halang kita masuk ke dalam van.
“Balik dengan aku.” Kael mengeluarkan arahan.
Ternganga mulut aku mendengarnya. Otak lelaki ni dah hilang ke? Permintaan luar alam sungguh.
“Aku tahu kau terkejut tapi aku ada benda nak cakap dengan kau.”
Bertambah berkerut dahiku. Perkara apa yang dia mahu beritahu aku? Penting sangatkah?
“Kalau kau nak tahu, kau balik dengan aku.”
Tue, Jun 14 2022 15:25 PM —
Share this novel