BAB 2

Romance Completed 1270

“Wah! Saya lebih tua. Umur saya 36.” Katanya teruja.

Semasa pertemuan ke empat, dia tidak lagi memanggilku dengan panggilan ‘Puan’. Dengan beraninya dia menyebut namaku hanya singkatan ‘Fateha ’ dan aku membiarkannya, seolah-olah rela. Beberapa hari selepas dia mulai memanggil aku Fateha, aku menerima mesej dari telefon bimbitku dengan ucapan selamat pagi sayang. Kini hal itu menjadi rutin mengucapkan selamat pagi sayang dan selamat malam si manis sebelum aku melelapkan mata. Aku pun sama gila dengan Fatih, membalas ucapannya dengan senang hati.

Seminggu kemudian dia menghantar sejambak bunga pada awal pagi. Aku bergegas membuka pintu setelah mendengar ketukan singkat, lalu dikejutkan dengan mawar merah walaupun di penghujung musim dingin. Aku mengambil bunga itu dengan hati curiga. Aku terus menutup pintu, langsung tidak mencium bunga itu lantaran aku bimbang dia sedang mengintaiku dari sebalik pohon di tepi jalan.

Aku sedang berjalan dengan Fatih, teman yang baru aku kenali kira-kira tiga bulan yang lalu. Nama penuhnya Ridzuan tetapi disingkatkan kepada Fatih, agar mudah disebut. Lidah orang-orang Barat ini memang tidak boleh menyebut Bahasa Melayu dengan betul.

Aku dan Fatih semakin mesra, lantaran kami berkongsi kesepian dan kerinduan yang sama pada tanahair. Dia sudah hampir sepuluh tahun di kota ini.

“Ehhh, ni macam jalan menghala ke rumah awak,” kataku setelah kami berjalan lebih kurang dua puluh minit melalui lorong yang sepi.

Udara bertambah sejuk bersama datangnya malam. Di kiri kanan jalan itu bangunan-bangunan klasik berdiri dengan angkuh dalam remang senja. Lampu-lampu di sepanjang jalan mulai terpasang terang. Dua tiga orang manusia yang berselisihan di jalanan, pantas melangkah untuk segera memanaskan badan di dalam rumah. Kami terus berjalan lagi hingga akhirnya Fatih berhenti di hadapan sebuah pintu. Ada tangga panjang menghala ke tingkat atas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience