BAB 6

Romance Completed 1270

“Tolong musnahkan lukisan tu. Kalau tidak, jangan harap kita akan berjumpa lagi.”

Fatih diam dan menunduk. Kemudian dengan wajah sedih dan iringan maaf beberapa kali dia mengangguk.

“Sebenarnya lukisan tu bukan untuk pameran. Saya ingin meminta izin dari awak untuk menyimpannya, kerana saya tahu saya takkan dapat memiliki awak, Fateha ! Tapi percayalah, saya akan bakar lukisan tu sekarang juga.”

Aku terus berlalu pulang. Selama beberapa hari kami tidak bertemu. Tiada teks mesej, tiada panggilan telefon. Segalanya senyap dan menyendiri. Aku meneruskan kerja-kerja di Universiti Of Geneva, seperti biasa. Sebagai pensyarah jemputan, kontrakku akan berakhir pada musim panas nanti. Aku akan segera meninggalkan tempat ini, meninggalkan Fatih bersama kenangan pahit manis yang tidak akan berulang semula.

Suatu petang sebaik habis kuliah, aku berjalan sendiri. Bersendirian sudah menjadi rutin pula dan mulai terbiasa. Mataku memerhati sahaja ke arah beberapa orang lelaki yang sedang bermain catur gergasi. Di antara lelaki itu, aku terlihat Fatih. Dia terus berhenti bermain, bergerak ke arahku bersama senyumannya yang biasa. Mesra. Rambutnya masih seperti dahulu, kusut menentang angin.

“Hai!” tegurnya ramah.

Aku hanya membalas dengan anggukan. Kukunci bibir dari senyuman. Dia kelihatan janggal berdiri di hadapanku yang sedang membina tembok dingin.

“Saya rindu awak,” ucapnya perlahan hampir-hampir tidak terdengar.

Aku diam.

“Saya rindu nak makan aiskrim gelato dengan awak di tepi tasik.”

“Saya nak balik cepat!” balasku dengan pantas berlalu pergi.

“Fateha !”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience