BAB 7

Romance Completed 1270

Dia terus memanggil aku beberapa kali hingga suaranya hilang dibawa desah angin yang kian deras. Aku terus berjalan laju mengejar trem yang baru tiba. Aku tidak menoleh ke arah Fatih. Aku lebih takut pada perasaanku sendiri. Kala aku memandang wajahnya tadi, aku mengaku ada rindu yang tersimpan jauh di sudut hati kecil ini. Aku rindu untuk bertemu, berbual dan bercerita bukan sekadar menikmati aiskrim gelato di tepi tasik.

Sebaik masuk ke lobi apartment yang aku sewa, terlihat seorang lelaki sedang menunggu bersama sebuah beg pakaian.

“Abang?” aku terkejut melihat kedatangan suamiku.

“Surprise!” katanya sambil tersenyum lebar.

Beberapa hari yang lalu suamiku menyatakan dia amat sibuk dan tidak sempat untuk menziarahiku.

“Abang dah seminggu di London. Lari sekejap jumpa Fateha di sini. Abang rindu. Esok kita ke Paris, bulan madu kali ke dua!” kata suamiku dengan wajah gembira.

Aku tersenyum bahagia. Saat ini aku merasakan begitu besarnya cinta suamiku yang selama ini tidak pernah aku sedari. Kami sudah menikah hampir lima belas tahun tetapi belum jua dikurnia zuriat.

“Terima kasih sebab datang tepat pada waktunya, bang. Fateha memang sangat memerlukan abang sekarang.”

Esoknya awal pagi aku dikejutkan dengan secebis mesej daripada Fatih.

Hidup saya macam sudah hilang kawalan. Lebih baik saya pergi buat selamanya.

Aku terus memadam mesej Fatih dari telefon bimbit bimbang ketahuan oleh suamiku yang masih tidur. Namun kata-kata Fatih tetap bermain dalam fikiranku sepanjang pagi kami bersiap untuk ke Paris. Dua hari di Paris terasa seperti berbulan-bulan lamanya. Setelah suamiku pulang ke London bagi menyambung persidangan yang dihadirinya aku buru-buru ke rumah Fatih. Pintu rumah Fatih berkunci rapat.

Tiga bulan kemudian aku kembali ke Malaysia. Kini aku sedang hamil muda. Tidak sia-sia perjalanan singkat kami ke Kota Cinta.

Pada suatu pagi yang hening, kala aku mengadap laptop terus mataku terpandang pada gambar lukisan di dinding muka buku milikku. Lukisan itu amat aku kenal, hasil karya Fatih. Namun bukan gambar lukisan bogel tanpa seurat benang yang pernah dilakarnya. Lukisan itu adalah gambar wajahku dengan jubah hitam dan bertudung litup.

Aku baca status Fatih di dinding muka bukanya. Kini dia berada di Amerika Syarikat. Senyumanku kembang dan lebar. Fatih, kau sudah terbang bebas seperti burung, menggapai impian.

Aku jua sedang bahagia kerana aku memilih jalan yang betul. Aku memilih untuk terus setia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience