BAB 3

Humor Completed 895

“Lenora , tunggu!” panggil Abang Danish . “Cadbury ni abang belikan untuk
Lenora . Ambillah,” pelawa Abang Danish sambil mengunjukkan coklat itu padaku.

Aku tersenyum sambil menyambut coklat Cadbury yang memang menjadi
kesukaanku. Usai Abang Danish hilang di balik pintu biliknya,
perlahan-lahan langkah kuaturkan ke bilik tidur. Di dalam bilik, aku
menghamburkan tangisanku entah untuk kali yang ke berapa. Sungguh, aku
sengsara!

TERKEJUT bukan kepalang aku ketika mama dan papa meberitahu kalau Kak
Zainab tiba-tiba menelefon Abang Danish untuk membatalkan perkahwinan
mereka berdua. Tiada apa yang bermain di kepalaku ketika itu melainkan
apakah yang terjadi pada Abang Danish . Tentu dia bersedih dengan apa yang
terjadi.

“Abang Danish mana?” soalku pada mama dan papa yang masih sibuk
menguruskan majlis tidak jadi Abang Danish . Gara-gara perkahwinan yang
terpaksa dibatalkan, semua orang menjadi kelam-kabut.

Mama mendengus kasar. Memandang wajahku pun tidak. Aku tahu mama masih
marah, tapi kenapa kemarahan itu dilampiaskan padaku pula? Tidak mahu
menghiraukan semua itu, aku memandang papa. Jawapan dari papa pula
kutagih. Namun, papa hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Aku mengeluh perlahan. Kenapa pula mama dan papa mengatakan tidak tahu?
Abang Danish tak ada dalam bilik ke? Melihat pintu bilik Abang Danish yang
terbuka luas, aku mengeluh lagi. Memang Abang Danish tidak ada.

“Abang Lenora tu entah ke mana perginya. Tak payahlah Lenora susah-susah
nak cari. Kalau mama jadi dia pun, mama kecewa. Sudahlah Kak Zainab tu
batalkan majlis sesuka hati. Bila ditanya apa alasannya, tak nak cakap.”

Mendengar kata-kata mama itu, aku mendekatinya. “Mungkin dia ada alasan
dia sendiri yang kita tak tahu. Tapi, mungkin Abang Danish tahu,” jawabku
sekadar untuk meredakan kemarahan mama.

“Huh, nampak macam budak baik-baik. Tapi, buat perangai jugak. Kalau dia
memang tak sukakan abang Lenora tu, sepatutnya dia minta putus tunang
awal-awal. Kalau tidak pun, tak payah layan abang Lenora tu dari awal lagi.”

“Benda dah nak jadi. Kita cakap sampai berbuih mulut pun, bukan boleh
undur semula masa,” tegur papa.

Aku hanya diam. Dalam situasi ini, papa nampak lebih tenang. Tidak
melenting tidak tentu pasal. Sedangkan mama marahnya membuak-buak. Raut
wajahnya menggambarkan segala-galanya. Tidak perlu menyelami isi hatinya
pun sudah tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience