Cahaya matahari yang baru terbit mengejutkan dia dari tidurnya. Membetulkan pinggang dan kedudukannya, dia menoleh ke belakang, memandang pokok besar yang dijadikan tempat bersandarnya untuk tidur malam tadi. Kedua dua belah tangannya menggenggam erat, sebuah beg kecil yang diambil dari rumahnya semalam. Dia mencapai sejadah yang terbentang disebelahnya, melipat, dan memasukkan sejadah itu kedalam sebuah lagi beg yang dibawa.
Dia masih belum bergerak meninggalkan pohon besar itu. Dia termenung sebentar. Air matanya tiba tiba mengalir. Imej api yang marak, menjulang, membakar kampungnya bermain di fikirannya. Jeritan penduduk kampung puak Utara meminta tolong masih terngiang di telinganya.
“Ya Allah Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah kedua ibu bapa ku dan rakan rakan ku” doanya didalam hati.
Setelah dikesat air matanya, dia bingkas bangun. Dia sedar dia ada misi yang harus diteruskan. Digenggamnya beg kecil itu. Dia menarik nafas panjang, dan fikirannya menerawang ka malam terakhir dia melihat wajah ayahnya…
“Ingat anakku, apa jadi pun, kau kena pastikan Al-Quran ini sampai ke puak Selatan” pesan terakhir ayahnya.
Dia berjalan dengan agak pantas, merentasi hutan di hadapannya. Kegusaran dan kegelisahan yang ada dalam dirinya agak terubat bila mendengar dan melihat indahnya alam ciptaan Allah yang ada disekelilingnya sekarang. Dari angin tenang yang bertiup, warna warni alam, bunyi bunyian dari binatang binatang yang menghuni hutan itu, mengagumkan dia akan kebesaran dan kekuasaan Allah.
Hatinya sedikit gembira bila dia sampai ke sebuah sungai. Segar rasanya bila dia membasahkan muka menggunakan air sungai itu. Jernih airnya. Dapat dia melihat ikan ikan yang berenang didalam. Perlahan lahan dia berjalan melintasi sungai itu. Tersenyum dia melihat gelagat ikan ikan didalam sungai itu. Ada yang lari, tetapi ada yang mengikutnya.
“Terimakasih kerana mengikut aku menyeberang sungai tadi” katanya kepada ikan ikan yang mengikutnya tadi bila dia sudah sampai ke seberang. Dia berpusing dan meneruskan perjalanannya.
Matahari sudah hampir terbit sepenuhnya. Bahang dari bintang terpanas itu, sudah mula terasa. Badannya sudah bermandi peluh, namun tidak dihiraukannya. Dalam fikirannya, dia mesti cepat sampai ke puak Selatan. Itu sahaja yang ada didalam fikirannya. Namun, dia terlihat sesuatu yang membuatkan langkahnya terhenti.
“Ini kesan tayar. Tayar motosikal. Pelik? Kenapa boleh ada kesan tayar dalam hutan ni?” bisiknya didalam hati sambil merenung kesan tayar yang yang jelas kelihatan di permukaan tanah hutan itu. Dipandang kiri dan kanan. Dia pasti, hanya dia sahaja didalam hutan itu. Kalau ada bunyi motosikal, sudah tentu dia akan mendengarnya. Dia membengkokkan sebelah kaki, meletakkan tapak tangannya di atas kesan tayar itu.
“Eh? Kenapa ada gegaran?” bisiknya didalam hati. Dia dapat merasakan satu gegaran kecil bila dia menyentuh kesan tayar itu. Air mukanya tiba tiba berubah menjadi ketakutan. Dia baru menyedari, gegaran itu datangnya dari mana.
Gegaran itu datangnya dari jentera jentera General dan askar askar yang sedang mengejarnya. Dia bingkas bangun, menoleh ke belakang, cuba meninjau dimana General, dan kemudian dia berpusing dan berlari sekuat hatinya. Berlari mengikut kesan tayar motosikal itu. Dia yakin, kesan tayar itu akan membawanya keluar dari hutan tersebut.
Dia terus berlari sepantas yang mungkin, ketakutan mula menguasai dirinya, namun dia cuba bertenang dengan membaca ayat ayat suci Al-Quran.
“Ingat! Bila dapat tangkap budak tu, jangan diapa-apakan dia. Serahkan dia pada aku. Biar aku yang uruskan dia. Dan jangan sesekali korang nak tembak dia dari jauh” kata General melalui walkie talkie kepada askar askar. Dia sedang berdiri didalam sebuah jip yang tidak berbumbung. Pandangan hanya ke hadapan. Wajahnya tenang, namun ada sedikit panik.
“Janganla budak tu dah sampai ke kawasan neutral” bisik General di dalam hati. Jelas, itulah yg dirisaukannya.
Tercungap –cungap, keletihan dan hampir kehabisan tenaga, namun hati Budak berasa sikit lega bila dia berjaya keluar dari hutan itu mengikut kesan tayar tadi. Dia nampak, ada sebuah pekan yang ditinggalkan tidak jauh di hadapannya. Ada bangunan kosong di kiri kanan, bangkai bangkai kereta, seperti banyak tempat untuk dia bersembunyi.
Sekuat kuat hati dia memecut berlari kearah pekan tinggal itu. Dia tahu, General sudah hampir dibelakangnya. Dia dapat mendengar deruan enjin jentera di belakangnya. Namun tak berani dia nak menoleh ke belakang dan melihat dimanakah General.
“Cepat! Cepat! Jangan bagi dia masuk ke dalam pekan tu!” jerit General kepada askar askarnya. Dapat dia melihat budak sedang berlari dalam 300meter dihadapannya. Dijeritnya lagi kepada orangnya supaya melajukan lagi pacuan jentera mereka.
Ketakutan sudah menguasai Budak. Nafasnya mulai terasa sesak. Namun, tetap digagahkan lariannya. Hampir hampir dia terjatuh, tetapi dia berjaya bangun dan menstabilkan dirinya, meneruskan larian. Ketika dia hampir terjatuh, sempat dia menoleh ke belakang. Dapat dilihatnya, wajah bengis General merenung tepat kearahnya.
“Berhenti!” jerit General melalui walkie talkie kepada askar askarnya. Serentak dengan itu, semua pacuan empat roda tentera tentera General berhenti mengejut. Berhenti betul betul disempadan pekan tinggal itu. Askar askarnya mulai melompat turun dan berlari menuju kearah pekan tinggal itu, mengejar Budak yang sudah berjaya masuk.
“Korang semua berhenti! Jangan masuk!” General menjerit kepada askar askarnya yang sedang berlari. Ada yang berhenti, tetapi ada yang meneruskan larian mereka. Mungkin tidak dapat mendengar arahan General. Melompat turun General dari pacuan empat rodanya, cuba untuk menghalang askar askarnya yang masih berlari.
BANG!! BANG!! BANG!! BANG!! Terhenti larian General bila terdengar beberapa bunyi tembakan secara tiba tiba. Serentak dengan bunyi tembakan itu, askar askarnya yang berlari masuk ke pekan itu tumbang hampir serentak. Empat orang semuanya. Mungkin hanya baru tiga langkah mereka berjaya masuk kepekan itu. Kesemua tembakan yang mencabut nyawa mereka, peluru menembusi kepala.
Melihat rakan rakan mereka tumbang secara tiba tiba, askar askar General yang lain berhenti berlari. Masing masing berundur. Memandang sesama sendiri. Gerun dengan ketepatan penembak yang menumbangkan rakan mereka. Bukan seorang, tetapi empat orang, hampir serentak.
“Siapa yang menembak? Berapa orang? Dimana posisi dia?” bisik askar askar General sesama mereka. Kesemua mereka memandang General. Hairan mereka melihat General, yang dengan tenang, berjalan perlahan lahan ke pekan itu. Tapi, dia berhenti betul betul disempadan masuk.
General hanya berdiri tegak di sempadan pekan itu. Diangkat tangan kanannya, tanda memberi arahan kepada askar askarnya supaya tidak bergerak, dan bertenang. General hanya memandang kehadapan. Sesekali dipandangnya bangunan terbiar di kiri kanan pekan itu.
Agak lama General berdiri tegak disitu. Sesekali dia mengesat peluh yang mengalir di dahinya. Askar askarnya mulai gelisah, tidak faham dengan tindakan General.
“General, kebenaran untuk bersuara” kata salah seorang orang kanan General. General tidak terus menjawab pertanyaan orang kanannya itu. Dia hanya memandang kehadapan.
“Sabar, sekejap lagi dia sampai” jawab General tanpa memandang orang kanannya. General tetap memandang kehadapan, kearah pekan itu.
Orang kanannya mengangguk tanda faham dengan arahan General. Namun, dia masih mempunyai persoalan. Siapa dia? Siapa yang General maksudkan?
Share this novel