General berjalan dengan berhati hati menuruni anak tangga dihadapannya. Ditangan kanannya, dia memegang kemas sebiji dulang yang berisi makanan. Langkahnya terhenti didepan satu pintu besi. Dihadapan pintu besi itu, kelihatan dua orang askarnya sedang berdiri memegang rifle di tangan masing masing.
“General…” ujar mereka serentak sambil memberikan tabik hormat. General membalas dengan menganggukkan kepalanya.
“Buka pintu ni sekarang” General memberikan arahan kepada mereka. Arahan yang terus dipatuhi. Salah seorang dari askar itu, menyelukkan tangannya kedalam poket bajunya, mengeluarkan kunci, dan membuka pintu besi itu.
General melangkah masuk kedalam. Dia meletakkan dulang makanan yang dibawanya diatas sebuah meja yang terdapat didalam bilik itu. Dia menarik salah satu kerusi yang terletak disisi meja itu, dan melabuhkan duduknya.
General hanya duduk, dan memandang kearah tawanan didalam bilik itu. Tawanan itu berdiri membelakangkannya, memandang keluar melalui satu tingkap kecil disitu. Mereka berdua tidak berkata apa apa. Kedua duanya hanya diam membisu.
“Kau tau tak, sini dulu, taman permainan…” kata tawanan itu memecahkan kesunyian. General tidak membalas. Masih diam membisu.
“Aku selalu bawak anak aku datang bermain disini dulu… tapi sekarang, dah jadi tempat tahanan manusia, sejak bos kau, askar Israel tu datang” sambung tawanan itu lagi. Kata katanya masih tidak dibalas oleh General.
Tawanan itu memusingkan badannya, memandang General. General membalas pandangan tawanan itu, tawanan yang dikalahkannya tempoh hari. Bapa kepada Budak. Bapa Budak berjalan menuju kearah General. Ditariknya satu lagi kerusi ditepi meja itu, dan dia melabuhkan duduknya. Dia duduk mengadap General.
Diangkatnya tudung dulang makanan yang dibawa General tadi, dilihatnya makanan itu, namun tidak dijamahnya. Ditutup kembali makanan itu. General hanya memerhatikan tingkah lakunya.
“Kenapa? Tak lapar?” tanya General.
“Kejap lagilah aku makan” balas Bapa Budak. “Lagipun, aku bukannya nak kemana mana pun, duduk dalam bilik ni je. Nanti lapar, aku makanlah” sambungnya.
General hanya menganggukkan kepalanya mendengar kata kata Bapa Budak tadi. Dia hanya memerhatikan gelagat Bapa Budak yang menyandarkan diri di kerusi, sebelah tangannya diletakkan diatas meja, kemudian, memberikan satu senyuman sinis kepadanya.
“Berapa ramai askar kau cedera? Ke ada yang mati?” tanya Bapa Budak dengan nada yang sinis.
“Confident je kau tanya” balas General, juga dengan nada yang sinis. Jawapannya hanya disambut dengan ketawa kecil dari Bapa Budak.
“Aku confident, pasal takde pun aku dengar askar askar kau seronok bercerita apa apa. Semua diam je… muka masing masing monyok je” jawab Bapa Budak. Kata katanya diselang seli dengan ketawa kecil.
“Dan… aku kenal kau ni, bukannya sehari… tengok muka kau pun aku dah tahu, ada benda tak kena. Lagipun, kalau kau dapat tangkap anak aku, dah tentu kau bawa dia datang sini…” Bapa Budak menyambung kata katanya.
General tidak membalas kata kata Bapa Budak. Dia sedar, kata kata Bapa Budak itu, memang betul. Dia hanya merenung wajah Bapa Budak. Renungannya dibalas dengan renungan juga dari Bapa Budak, tapi bercampur dengan senyuman yang sinis.
Tapi, secara tiba tiba, riak wajah Bapa Budak berubah. Berubah dari wajah yang tersenyum sinis, kepada wajah yang agak sedih.
“Kenapa kau jadi camni? Kenapa kau sanggup hambakan diri kau kepada Israel? Kau masih marah lagi ke?” tanya Bapa Budak.
General tidak menjawab. Dia hanya menundukkan kepalanya. Tapi, jujurnya, dia tidak ada jawapan yang tepat untuk soalan dari Bapa Budak tadi.
“Kau sendiri dah tahu jawapannya, kenapa kau nak tanya lagi? Saja nak sakitkan hati aku?” tiba tiba General bersuara.
“Dan jangan kau ingat, anak kau akan selamat pasal sekarang ni, dia ada ngan Kapten. Memang selama ni, Kapten dah banyak kali kalahkan aku, tapi kau tak fikir aku dah belajar dari kesilapan aku yang lepas?” sambung General.
Bapa Budak mengalihkan pandangannya. Dari memandang wajah General, dialihkan pandangannya memandang kearah pintu besi biliknya.
“Kalau aku tak rasa anak aku akan selamat dengan Kapten, aku tak akan hantar dia kesana. Dan aku tak rasa kau akan dapat kalahkan Kapten. Kau ingat lagi tak apa ‘dia’ kata dulu? Hati kau tak setenang Kapten. Hati kau, penuh kemarahan. Kapten, dia cool. Sebab tu, kau takkan dapat kalahkan dia…” ujar Bapa Budak panjang lebar.
General bingkas bangun sebaik saja Bapa Budak menghabiskan kata katanya. Dia berjalan menuju kearah pintu besi bilik itu. Tangan kanannya dihulurkan ketombol pintu.
“Kau sedar kan, apa saja kau buat, apa saja tindakan kau nak tunjukkan kemarahan kau tu, apa saja tindakan kau nak tunjuk ketidak puasan hati kau tu, mereka takkan hidup semula?” ujar Bapa Budak sebaik sahaja tangan General mencecah tombol pintu besi itu.
Terhenti pergerakan General apabila mendengar kata kata Bapa Budak itu. Tapi, tidak dibalas kata kata Bapa Budak tadi. Dia menarik nafas yang agak panjang, kemudian, mula membuka pintu besi dan melangkah keluar.
Dia menutup pintu besi itu tanpa memusingkan badannya. Terus memberikan arahan kepada dua orang askar yang sedang berkawal disitu, supaya mengunci semula pintu itu.
Tetapi, ada seorang lagi askar yang sedang berdiri menunggunya. Ditangan askar itu, dia memegang alat seperti tab.
Askar itu berjalan menuju kearah General. Dia berhenti, dan memberikan tabik hormat kepada General.
“General” ujarnya sambil memberi tabik hormat.
“Ye… ada apa ni?” tanya General.
“Drone kita dah dapat mengesan kedudukan Kapten dan orang orangnya. Kedudukan terakhir mereka, dikesan di bangunan MINDEF” askar itu memberikan laporan, sambil menunjukkan skrin tab kepada General. General memerhatikan skrin tab itu. Dapat dilihat apa yang dirakamkan oleh drone yang mengikut Kapten dan kawan kawannya. Dapat dilihat General, mereka semua sedang melangkah keluar dari bangunan MINDEF.
“Suruh askar askar kita bersedia… kejap lagi, kita keluar cari diaorang ni” General memberikan arahan kepada askar itu.
Askar itu mengangguk faham, memberikan tabik hormat sekali lagi kepada General.
“Sediakan Hummer hitam jugak” sambung General. Askar itu agak terkejut mendengar arahan General yang baru ini.
“Kenapa?” General bertanya.
“Hummer hitam?” askar itu meminta kepastian General sekali lagi.
“Ye... Hummer hitam... Kali ni aku nak guna diaorang” General memberikan penjelasan. Askar itu mengangguk faham, dan dia berjalan meninggalkan General. General pula meneruskan langkahnya. Kembali menaiki tangga yang dituruni tadi. Setelah habis anak tangga itu dipanjatnya, dia menyambung lagi langkahnya. Berjalan menyusuri satu koridor. Kiri kanan koridor itu, terdapat pintu pintu yang menyerupai pintu bilik.
General berhenti dihujung koridor itu. Dia berdiri mengadap pintu sebuah bilik. Dia mengambil kunci dari poket seluarnya, dan membuka pintu itu. Berjalan dia masuk kedalam bilik itu. Terus duduk dan membuka kasut butnya.
Setelah kasut butnya dibuka, General melangkah perlahan ke sebuah meja. Dibukanya laci meja itu, dan dikeluarkan sekeping gambar yang berbingkai. Dia duduk dikatilnya, merenung gambar itu.
Tiba tiba, matanya bergenang. Perasaan sedih mula menguasai hatinya. Air mata, mula mengalir. Ditatap gambar itu lagi, perasaan sedih dan sebak semakin kuat, dan dia mula menangis. Air matanya jatuh membasahi gambar yang dipegangnya.
“Apa saja kau buat, mereka takkan hidup semula” kata kata Bapa Budak tadi, terngiang ngiang dimindanya.
Share this novel