“Ini semua salah kau ! Kalau anak aku tak pergi ambil kau di
airport semua ni takkan terjadi. Kau pembawa malang !”, itulah
lemparan dari seorang ibu yang tidak dapat menerima hakikat bahawa
anaknya telah pergi menghadap-Nya. Afrina hanya tunduk dan sabar dengan
segala lemparan dari Puan Zaiton, ibu kepada tunangnya, Hafizan. Sebelum
ini, Puan Zaiton sangat menyukai Afrina tetapi pada hari itu dia
membencinya kerana Afrina punca pemergian anak tunggalnya itu.
Hafizan telah terlibat dalam sebuah kemalangan di Lebuhraya
Duke ketika dalam perjalanan untuk menjemput Afrina yang baru pulang
dari London. Kereta yang dipandu Hafizan terbabas akibat dirempuh sebuah
lori. Dia meninggal dunia di tempat kejadian. Afrina yang sedang
menunggunya di KLIA terkejut dengan berita itu. Dia tidak menyangka
tunangnya itu akan pergi meninggalkan dia buat selama – lamanya.
“Aku taknak tengok muka kau lagi ! Mulai hari ini, aku
haramkan kau pergi menziarahi kubur anak aku ! Aku takkan doakan kau
bahagia ! Berambus dari sini !” , Puan Zaiton menjerit kemarahan dan
menarik tangan Afrina untuk menghalaunya dari rumah itu. Afrina menangis
dan meminta maaf pada Puan Zaiton. Memang benar Puan Zaiton sudah
membencinya. Dia berlalu pergi dan dia yakin suatu hari nanti pintu hati
Puan Zaiton akan terbuka untuk memaafkannya.
Tiga tahun peristiwa itu berlalu. Tiga tahun sudah pemergian
Hafizan. Tiga tahun dia tidak menziarahi kubur tunangnya itu. Tiga tahun
dia tidak melawat Puan Zaiton. Tiga tahun juga dia tidak dapat membuka
pintu hatinya untuk mana – mana lelaki lagi. Dan tiga tahun juga dia
tidak dapat melupakan peristiwa tersebut. Tiga tahun dia berada dalam
kemurungan, kesedihan dan kerinduan. Siapa yang tidak rindu pada
kenangan terindah yang sudah lama bersama. Tiga tahun itu dia
menyalahkan dirinya bahawa dia punca pemergian tunangnya itu.
“Rina, jangan lah macam ni sayang. Rina kena kuat hadapi
semua ketentuan dariNya. Ini bukan salah Rina. Ini semua takdir.”, pujuk
Puan Suraya yang risau akan anak kesayangannya. Dia merindui Afrina yang
dulu, yang sentiasa ceria, gembira dan sabar. Afrina yang sekarang
menjadi pendiam, murung, menangis dan tidak terurus.
“Ini semua salah Rina. Kalau Rina tak suruh Ijan ambil Rina
di airport, semua ini takkan terjadi. Rina sayangkan Ijan seorang
saja. Rina tak kuat mama.Rina lemah sangat”.
“Rina kena dengar cakap mama. Mama nak Rina kuat sayang.
Mama dan papa rindu Rina yang dulu. Kami nak Rina yang dulu. Rina kena
ingat yang semua yang hidup pasti akan kembali kepada-Nya termasuk kita.
Allah beri ujian pada Rina kerana Allah sayangkan Rina. Allah tahu Rina
mampu tempuh ujian berat ini. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Suatu hari nanti Rina akan berjumpa dengan lelaki yang boleh menjaga
Rina macam mana mama dan papa jaga Rina”. Itulah kata – kata semangat
dari seorang ibu kepada anaknya.
Share this novel