BAB 8

Family Completed 517

Bercinta memang indah. Berkasih memang mengasyikkan. Bila hati berbunga
riang, segalanya nampak indah dipandang. Menatap satu persatu nukilan
Iqlil Syameil, kelopak mata Hayyu Najwa kembali mengundang panas.
Bersama luruhnya gerimis di luar jendela, air matanya gugur menuruni
lurah pipi. Kenangan bersama Iqlil Syamiel kembali hidup. Rindu terhadap
lelaki itu kembali bermukim.

“Simpan nota-nota cinta ini untuk kenangan masa depan kita,” ujar Iqlil
Syamiel mengingatkan Hayyu Najwa.

“Kenapa abang Meil cakap macam tu? Nota-nota cinta ini memang bukti
cinta kita.”

“Apa yang terlafaz semuanya ikhlas dari hati. Abang ikhlas terima cinta
Ayu.”

“Tak ada apa yang boleh memisahkan dua hati kita. Kalau pun mati menjadi
galang ganti…Ayu tetap berpegang pada janji.”

“Shhh…jangan sebut tentang mati Ayu. Setia abang pada Ayu bukan setakat
hingga hujung nyawa. Setia abang akan kukuh hingga syurga abadi.”

“Kenapa sebut pasal mati ni? Sanggup abang tengok Ayu terus menderita?
Janji kita bukankah untuk hidup dan semati?”

“Selafaz janji kita…selamanya setia bermakam abadi!”

Itulah kata-kata terakhir yang terlafaz dari Iqlil Syamiel. Bagaikan
sudah diatur, hidup memang penuh dengan teka-teki. Segalanya bagaikan
silangkata. Setiap persoalan pasti ada jawapan yang ditagih. Suratan
takdir tidak ada sesiapa yang dapat menghalangnya. Hayyu Najwa kembali
menyingkap surat terakhir diari itu, ada satu lagi nota cinta yang
menyentuh hati perempuannya. Setiap kali baris-baris indah itu dibaca,
alir air matanya semakin deras mengalir. Lemah jiwanya dan tidak
tertahan menanggung rindu yang hadir. Biarpun jasad Iqlil Syamiel sudah
lebih dari setahun bersemadi, rohnya terasa hidup dan kembali memukau
bersama nota rindu yang pernah dibaitkan.

*KUKIRIM RINDU INI*

**

*Syukur alhamdulillah*

*Aroma rindu yang kukirimkan*

*Selamat sampai juga ke destinasinya*

*Terima kasih wahai sang bayu*

*Bertiup dingin menerbangkan rindu*

*Walau jasadmu jauh beribu batu*

*Tak mungkin sampai tanpanya restu*

*Pada ruang kosong yang kita tinggalkan*

*Ada lagi cerita yang belum sudah*

*Ada lagi janji yang belum terlafaz*

*Kanvas hidup yang kian meretak*

*Menanti harum kasturi datang menyerak*

*Menumbuhkan sakti di sudut sanubari*

*Biar hilang segala pedih-pedih di hati*

*Agar sayang bertaut kembali*

*Bersemi bersama mengukir janji*

*Memateri kasih membingkai diri*

*Dan di lekuk aksara ini *

*rindu kita abadi …*

**

*~ IQLIL SYAHMIE*

**

Hayyu Najwa kembali merenung masa hadapannya. Segalanya bagaikan sudah
tersurat. Perjalanan cintanya terkandas di pertengahan jalan. Kemanisan
yang diimpikan bertukar menjadi pahit tatkala menerima berita kemalangan
yang menimpa putera idamannya, Iqlil Syamiel. Luluh hati Hayyu Najwa
umpama pinggan retak seribu. Hanya menunggu masa untuk pecah berderai.
Luruh sudah selafaz janji yang telah terucap. Rindunya kepada Iqlil
Syamiel mula gugur ibarat dedaun kering layu ditiup angin. Ke mana angin
bertiup ke situlah rindunya terbang. Esok, dia sendiri tidak dapat
menentukan ke mana arah tuju perjalanannya. Mungkinkah di hujung denai
itu nanti, ada lagi bahagia yang menunggu? Tanpa dipaksa, wajah Imran
Akmal datang kembali menujah jiwa. Selafaz janji sedegup cinta biarkan
membara selamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience