BAB 7

Romance Completed 645

Abirah memandang wajah Alfian yang sedang leka menonton Televisyen.

“/Dia dah buat salah/, /tak minta maaf pun/?” getus Abirah di dalam
hatinya. Alfian masih lagi ralit menonton. Panjang sedepa muncung Abirah.

“Awak ada apa-apa nak beritahu saya ke?” tanya Alfian tiba-tiba.
Tersentap Abirah dibuatnya. Namun, dia berterusan diam.

“Sepupu awak tu, awak rapat ke dengan dia?” tanya Abirah. Tembok
keegoannya runtuh sedikit dek kerana rasa ingin tahu. Alfian memandang
wajah Abirah.

“Rapat. Sejak kecil lagi. Dah macam adik beradik dah. Kenapa?” balas
Alfian. Abirah mencebirkan bibir sambil berpaling daripada memandang Alfian.

“Yalah tu adik beradik. Bukan main mesra lagi. Siap buat kek sama-sama,”
balas Abirah cemburu. Alfian berterusan memandang Abirah.

“Yalah. Awak tak nak buat kek sama-sama dengan saya. Dia tolonglah.
Salah ke?” ujar Alfian. Abirah mengeluh.

“Tak salah, cuma,” Abirah terhenti berbicara. Dia tidak mahu Alfian tahu
dia cemburu. Alfian sengih.

“Awak cemburu?” duga Alfian. Abirah pantas memandang wajah Alfian yang
sedang memandangnya selamba.

“Perasan!” ejek Abirah. Alfian cuma senyum.

“Awak nak tengok TV ke tak?” tanya Alfian tidak mengendahkan ejekan
Abirah. Abirah geleng. Melihat gelengan Abirah, Alfian pantas menutup
suis lalu berdiri sambil memandang Abirah.

“Saya masuk tidur dulu ya. Selamat malam,” ucap Alfian sebelum berjalan
membelakangi Abirah.

“Ya. Saya cemburu. Saya cemburu sebab saya dah mula sedar yang saya
cintakan suami saya,” ucap Abirah tiba-tiba sambil memeluk Alfian dari
belakang. Terkejutnya Alfian Allah sahaja yang tahu. Tidak lama
kemudian, Abirah meleraikan pelukan. Alfian cuba memusingkan tubuhnya
yang hampir beku itu lalu memandang wajah Abirah. Alfian memegang wajah
Abirah dengan perasaan terharu.

“Maafkan saya buat awak cemburu. Saya tak tahu yang selama ni Nur Abirah
yang saya cintai selama ni juga mencintai saya,” ucap Alfian perlahan.
Mata Abirah berkaca. Pantas dia memeluk suaminya itu.

“Terima kasih, Ahmad Alfian sebab sudi jadi suami saya. Terima kasih
kerana dah jaga saya dengan baik. Terima kasih kerana menyayangi saya.
Terima kasih untuk semuanya,” ucap Abirah dengan linangan airmata.
Alfian tersenyum gembira. Akhirnya Allah memakbulkan doanya. Perlahan
dia meleraikan pelukan.

“Sama-sama isteriku sayang,” ucap Alfian sambil mengucup dahi Abirah
dengan sepenuh kasih sayang.

“Saya ada satu soalan. Mana awak tahu saya hanya selera makan kek coklat
masa demam?” tanya Abirah ingin tahu. Alfian tertawa kecil.

“Mama beritahu. Saya risau awak tak nak makan apa-apa langsung. Sedap
tak?” balas Alfian. Abirah senyum.

“Sedap. Sedap sangat,” puji Abirah. Alfian senyum gembira.

“Terima kasih,” ucap Alfian. Abirah senyum.

“Sama-sama. Tapi, lepas ni, awak tak boleh bagi orang lain makan kek
coklat tu melainkan saya seorang,” pesan Abirah. Berkerut kening Alfian.

“Kenapa?” tanya Alfian.

“Sebab dalam kek coklat encik suami saya, ada kasih sayang dan cinta.
Saya tak nak orang lain rasa kasih sayang dan cinta tu selain saya
seorang. Faham tak?” terang Abirah manja. Alfian tertawa kecil.

“Oh, patutlah /jealous/ bila Nurul makan kek coklat tu,” balas Alfian.
Abirah sengih. Tidak lama kemudian, dia juga turut tertawa bahagia
sambil memeluk Alfian dengan sepenuh kasih sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience