BAB 5

Romance Completed 645

Terkejut Alfian melihat Abirah berdiri di hadapan pintu ketika dia
sedang menatang dulang berisi kek coklat yang baru sahaja keluar dari
ketuhar bersama segelas teh kundur. Abirah memandang kek coklat yang
ditatang Alfian dengan perasaan yang tidak percaya. Mamanya datang
melawatkah?

“Awak nak pergi mana?” tanya Alfian. Abirah membuat muka selamba. Kalau
dia mengaku yang dia bangun kerana terbau bau kek coklat kegemarannya,
sudah pasti dia sendiri yang malu nanti.

“Saya nak pergi tandaslah,” balas Abirah cuba berselindung. Kecur air
liurnya dengan bau kek coklat yang masih panas itu. Alfian sengih.

“Tapi, tandas kat sebelah kiri sana,” duga Alfian. Terkena Abirah
dibuatnya. Pantas dia memalingkan tubuhnya lalu berlalu ke arah tandas.
Alfian hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah isterinya itu.
Perlahan Alfian memasuki bilik Abirah lalu meletakkan dulang berisi kek
itu di atas meja kecil bersebelahan katil Abirah.

“Awak. Ni saya buatkan kek coklat untuk awak. Jangan lupa makan ya.
Lepas makan, awak makan ubat tau. Saya nak turun bawah, nak kemas
dapur,” pesan Alfian ketika Abirah berada di dalam tandas. Tidak lama
selepas Alfian turun, Abirah segera keluar dari tandas.

“Dia yang buat? Tapi, kenapa sama dengan bau kek coklat mama?” gumam
Abirah tatkala menatap kek coklat cawan buatan Alfian. Dia segera
mencapai satu kek coklat itu lalu disuakan ke mulutnya. Aromanya,
rasanya dan teksturnya sama seperti kek coklat yang selalu dibuat oleh
mamanya!

“Tapi, kalau mama yang buat, takkanlah aku tak dengar langsung suara
mama?” Abirah masih berteka-teki. Tetapi, tidak mustahil juga jika
Alfian yang memasak kek coklat itu kerana Alfian memang pandai masak.

Ketika sedang menikmati kek coklat cawan itu, dia merasakan demamnya
mulai kebah sedikit. Dia juga dapat merasakan kasih sayang Alfian di
dalam kek coklat itu. Tiba-tiba dia terkenangkan semua kenangannya
selama dia menjalani hidup dengan lelaki itu. Dia akui, Alfian memang
suami yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Walaupun kadang-kadang
lelaki itu bersikap “/annoying/” namun lelaki itu tidak pernah
memarahinya. Bahkan lelaki itu sering menggembirakan hatinya. Cuma dia
sahaja sengaja membutakan matanya. Dia teringat bagaimana lembutnya
Alfian menyarungkan tudung di atas kepalanya. Betapa kasihnya lelaki itu
padanya lebih-lebih lagi tatkala mendukungnya. Sedikitpun lelaki itu
tidak mengambil kesempatan ke atas dirinya. Hatinya sebak.

“Alfian. Terima kasih. Saya sayang awak,” ucap Abirah perlahan dengan
juraian airmata terharu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience