BAB 8

Horror & Thriller Completed 1725

Aku didakap dari bahagian tengkuk hingga ke kaki. Tiada langsung pergerakan boleh dibuat. Buntu, aku redha sahaja..

Tak lama kemudian,pekerja-pekerja tersebut mula mengambil tin cat dan berus, lalu menyapukan cat putih itu ke seluruh tubuhku dengan berhati-hati. Dari pengamatanku, aku dapat merasa yang mereka bagai tidak menyedari kewujudanku.

Aku bagai tak ubah lapisan dinding yang harus dirapikan. Cat putih yang dingin itu mula mengering dan membuatkan tubuhku kebas sukar bergerak. Semakin lama, semakin hilang pancaindera.

Dan akhirnya hanya tinggal wajahku sahaja yang tidak dicalit cat putih. Dan pada ketika itulah Mister Chen mengarahkan pekerja-pekerjanya berhenti untuk berehat.

“Kamu semua bolehlah berehat dulu, selepas dua jam boleh sambung lagi”

Dan saat ini hanya ada kami berdua sahaja di ruang itu. Pekerja-pekerja tadi beransur ke halaman rumah untuk menjamah makan tengahari yang disediakan.

Mister Chen memandang tepat pada ku lalu meneliti wajahku untuk satu tempoh yang lama sebelum menepuk-nepuk pipiku berulangkali.

“Inilah masalahnya dengan orang baru, apalah nak dikisahkan sangat dengan muka yang dorang tengok kat dinding, bukannya kacau hidup dorang pun, tak kacau pun tapi orang baru ni suka sangat mengadu yang bukan-bukan, Terimalah padahnya.” Ujarnya sambil melemparkan senyuman penuh puas.

Jelaslah selama ini dia tahu apa yang berlaku di rumah ini. Mister Chen bagai orang dirasuk mengambil berus cat yang bersalut cairan cat yang tebal. Sungguh luar biasa pula cat itu pada penglihatanku. Tanpa ragu-ragu, dia memalitkan cat itu pada wajahku dengan kasar.

Aku hanya mampu memejamkan mata, menutup bibir dan menahan nafas untuk mengelakkan cat itu dari memasuki mata, mulut dan hidungku, bau cat itu menusuk hidung membuat nafasku sesak.

Apabila Mister Chen selesai dengan tugasannya, aku cuba membuka mata, mulut dan hidungku. Namun Tidak berhasil.

Paru-paru membara bagai mahu meletup, nafas tersekat pada anak tekak. Aku sedar, aku akan mati jika tiada sesiapa menyelamatkanku. Ya bila-bila masa saja aku akan mati.

Apa sebenarnya telah berlaku, mengapa mereka memperlakukan aku sebegini? Apa salahku? Ini rumah aku? Apa salah aku cuba untuk membuat perkara yang betul di rumah ini!

Dan dalam sayup-sayup bunyi minimal yang dapat ku dengar sambil cuba bertahan mencari sisa-sisa nyawa yang sudah di hujung tanduk mengenang segala yang ku lakukan di muka bumi ini berakhir sia-sia aku dapat mendengar jelas suara Mister Chen dalam kelam itu.

“Yes! Rumah sudah cantik, pecah, tampal, pecah, repair cari lagi pembeli baru, bising lagi? Kita pecahkan lagi dinding dan kita tanam saja dia jadi hiasan! HA HA HA !”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience