Hyera:
Rumah aku? Sebenarnya, aku agak gembira kerana rumah ini sangat cantik seperti rumah yang ada di dalam majalah.
Pemandangannya sangat indah dan rumah ini dipenuhi setiap benda yang menjadi keperluan aku.
Tetapi, alangkah indahnya jika aku boleh berkongsi kegembiraan ini dengan ibuku. Aku akhiri malam itu dengan panggilan telefon dengan mama yang berada di San Francisco.
Keesokkan harinya, Taeyeon datang ke rumah dan memberitahu aku yang kami akan pergi berjumpa dengan nenek pada pagi itu.
Aku bersedia dengan memakai baju kemeja biasa dan seluar jeans aku. Semasa kami dalam perjalanan ke rumah nenek, Taeyeon tidak berkata apa apa dan hanya bermain dengan telefon pintarnya.
Aku cuba untuk berbual tetapi Taeyeon hanya membuat gaya seperti dia tidak mahu berbual dengan aku. Tidak lama kemudian, kami tiba di satu kediaman mewah.
Kawasan rumah ini sangat elegan dan besar. Aku tidak pernah terbayang yang aku akan pergi ke rumah sebegini mewah. Kami disambut dengan ramai staf di depan pintu utama.
Taeyeon pula berubah raut wajahnya apabila kami tiba di rumah itu. Taeyeon dengan segera memberitahu aku untuk mengikutnya masuk ke rumah itu.
“Nenek ! Kami sudah sampai!” teriak Taeyeon kepada seorang wanita yang sedang duduk di sofa mewah itu.
Pada waktu ini, terdapat 3 orang lagi yang ada di bilik selain Taeyeon dan wanita yang aku rasa nenek aku. 2 daripada mereka nampaknya ibubapa kepada Taeyeon kerana mereka nampak serupa.
Wanita tadi dengan segera berdiri dan memegang tangan aku.
“Cucuku… kamu sudah sampai ! Kamu sangat sama dengan bapa kamu… Hyunmin… Hyunmin…”
Aku memeluk nenek dengan erat tetapi entah kenapa aku berasa tidak selesa dengan adanya yang lain.
Nenek dengan segera menyuruh mereka yang lain untuk keluar kerana dia mahu bersama dengan aku bersendirian.
Share this novel