Masuk ni dah dekat dua bulan aku dan Ridzuan hantar Adik masuk sekolah tahfiz. Ya sekolah tahfiz.
Waktu hari pertama hantar Adik, aku sendiri berbelah bagi. Nak hantar dia masuk tahfiz walaupun dia baru umur enam tahun.
Tapi bila aku tengok dia seronok, aku lega juga lah. Dia seronok dapat kawan baru. Ada yang sebaya dengannya. Tapi yang lain lebih tua darinya.
Setiap hujung minggu aku dengan suamiku akan datang melawat dia. Kalau ada abang dan kakaknya, diangkut sekali. Nak tengok Adik, rindu katanya. Tapi kali ni mereka tak dapat ikut sama. Sibuk buat ulang kaji. Peperiksaan pertengahan tahun dah nak dekat.
Minggu ni aku datang bawa makanan buat Adik dan budak-budak yang lain. Apa salahnya buat amal kebajikan sikit. Dapat pahala.
Aku bawa makanan kegemaran Adik, nasi ayam. Berselera aku tengok Adik makan.
Aku adalah bersembang dengan ibu bapa yang datang tengok anak mereka. Berdasarkan bancian yang aku buat, mereka juga berniat macam suami aku, nakkan anak-anak pandai agama.
"Adik duduk sini macam mana? Best? " Aku bersembang dengan Adik.
"Best umi. Adik dapat banyak kawan. Kawan Adik semua baik-baik. " tersenyum Adik menjawab soalan aku.
"Abang-abang dekat sini baik tak?" Aku tanya lagi. Adik sekadar mengangguk.
"Abang dekat sini semua baik. Adik suka duduk dekat sini."
"Adik dah belajar apa dekat sini? " Suamiku pula bertanya.
"Adik ada belajar doa. Macam-macam doa ustaz ajar. Lepas tu ustaz ada ajar surah." Adik bagitahu surah yang dia pelajari.
Aku ada juga bersembang dengan ustaz di sini. Mereka memberitahu Adik tu seorang yang cepat belajar. Buat masa sekarang ni, Adik sudah pun menghafal surah-surah lazim seperti surah An-nas, surah al-ikhlas, surah al-falaq dan lain-lain.
Aku kagum dengan Adik. Suka benar dia bila belajar agama. Bukan aku dan suami aku tidak bagi didikan agama yang baik, cuma kami mahu Adik dapat didikan agama yang lebih lagi.
Sewaktu aku dan suamiku nak balik, tiba-tiba aku rasa sebak. Entah kenapa air mata aku mengalir. Bukannya aku tak boleh nak jumpa Adik lagi. Lagipun setiap minggu aku datang jenguk dia.
"Umi, janganlah nangis. Nanti umi datanglah tengok Adik dekat sini. Nanti umi bawalah makanan lagi. Boleh Adik dengan kawan-kawan Adik makan sekali. " Adik mengesat air mata aku.
Ya Allah, tersentuh aku bila tengok perbuatan Adik tadi. Aku memeluk Adik.
"Adik duduk sini elok-elok tau. Nanti kalau Adik kena kacau, bagitahu umi. Biar umi botak kepala dia. "Aku bergurau. Adik pula ketawa.
Aku dan suamiku mula meninggalkan perkarangan sekolah tahfiz itu. Sekali lagi aku menangis. Entah kenapa hari ni aku jadi sentimental.
Ridzuan memegang tanganku. Aku memandang dia. "Tak apa, jangan risau. Adik okey je duduk sini. "
Share this novel