bertemu pula di dalam sebuah perkhemahan...

Thriller Series 1283

Hari-hari aku di Sekolah Kebangsaan Lubok Sentosa penuh dengan pelbagai ragam. Tak sah kalau sesi pembelajaran itu tidak diselangi dengan sesi soal jawab pelbagai. Tapi aku memang seronok layan kerenah budak-budak ni. Aku tak bosan mengajar, pelajar pun tak bosan saat diajar. Keseimbangan ini yang selalu aku praktikkan untuk kualiti sesebuah pembelajaran.

"Nak balik dah, Rozaini?"

Guru Besar menegur aku saat punch card. Selalunya sebelum-sebelum ni aku akan keluar sekejap menjamah juadah tengahari, selesaikan fardhu Zohor kemudian datang balik ke padang sekolah untuk melarikan diri beberapa pusingan.

"Keluar kejap, cikgu. Petang sikit ingat nak ke padang, berlari kejap 3-4 round"

"Ohh. Lupa saya. Cakap pasal padang, sabtu ahad ni ada aktiviti berkhemah budak-budak darjah 4 dengan 5 dekat padang tu. Ada kelapangan boleh lah join sekali,"

Cakap pasal khemah, itu merupakan aktiviti kedua yang aku minati selepas travel. Kadang-kadang kalau rajin, aku akan travel sambil mencari tapak berkhemah. Sebelum memulakan perjalanan aku dah senaraikan mana tempat yang aku akan berhenti untuk aktiviti perkhemahan. Selalunya aku akan pusing satu semenanjung sambil melewati tempat-tempat menarik, terutamanya yang dekat dengan keindahan alam. Walau pergi ke tempat yang sama beberapa kali pun aku tak kisah.

"Menarik tu cikgu. Saya akan bawak peralatan saya,"

***

Malam itu juga, aku secara tiba-tiba dimasukkan ke dalam group whatsapp aktiviti sekolah. Maka berbual lah berkenaan aktiviti perkhemahan sabtu ahad ini serta aktiviti-aktiviti yang mendatang. Senarai nama pelajar yang terlibat dalam aktiviti ini juga turut disertakan dalam format excel.

"Mohamad Adrian Fazani Bin Syukor? Ketua group perkhemahan darjah 4?"

Kejap. Dah berapa kali aku nampak nama ni dalam data kehadiran pelajar. Ohhh ya. Ketua kelas 4 Karisma. Adrian si budak aktif. Memberi salam sambil tabik hormat. Dalam kelas dia perform, aktiviti luar pun nampak gayanya dia perform juga.

"Apa yang kau menung?"

Khairul muncul dari belakang sambil menepuk bahu aku. Ketika itu juga semerbak bau Dunhill Blue menjengah ke lubang hidung. Aku cam bau perfume ni kerana dulu aku adalah penggemar Dunhill Blue. Sekarang aku dah bertukar kepada Dunhill Red.

"Wahhh. Bau kau pagi-pagi pergi sekolah pun tak wangi macam ni,"

Khairul ketawa. "Itu pergi sekolah, perfume biasa je aku pakai. Yang ini special punya, ada perfume khas,"

Aku hanya menghantar diri Khairul ke garaj. Dengan kemeja petak hijau lengan pendek, seluar jeans warna cream dan kasut adidas Stan Smith putih hijau. Sah mamat ni nak pergi dating.

"Cepat sungguh kau buat kerja, Rul,"

Khairul memandang sekilas kearah aku sambil membuat muka ala-ala mat Romeo. Terasa nak muntah, kalau lama lagi dia buat muka macam tu aku memang bangun terus cekik dia.

"Tak ada lah, Zaini. Kitorang keluar ramai-ramai. Pergi main bowling dekat bandar. Tapi apa salahnya kan. Sambil menyelam minum air," Khairul ketawa lagi lalu terus menghidupkan motosikalnya. Dalam kesejukan malam Khairul meninggalkan perkarangan rumah. Aku tengok awan macam nak hujan, yang mamat ni dengan 'keringnya' jaket pun tak pakai.

"Lantak kau lah,"

Aku segera masuk ke rumah dan menapak ke bilik nombor 3 rumah sewa kami. Bilik di mana aku dengan Khairul simpan segala jenis mak nenek yang kami bawa. Melihat keadaan bilik yang dah macam dilanda gempa, aku mengemas sikit sambil mengasingkan barang yang aku cari. Ada khemah 9x6 kaki yang boleh muat sehingga 6 dewasa, penunu bunsen, grill pemanggang dan juga tilam angin serta pam angin elektronik. Dah lama aku tak menjerumuskan diri ke dalam aktiviti perkhemahan ni. Rasanya kali terakhir pun 2 tahun lepas.

***

"Zaini, ada bawak semua barang-barang kau?"

Aku mengangguk menjawab soalan Cikgu Zarif. Sudah sedia maklum semalam dalam Whatsapp group menyatakan para cikgu akan mendirikan khemah mereka sehari lebih awal iaitu pada malam ini, Jumaat malam. Bagi aku okay juga tu, boleh luangkan masa lepak sekejap dengan gang-gang cikgu. Ada antaranya aku tak sempat nak berkenalan sangat disebabkan kekangan masa.

Tamat saja sesi petang, kami empat ke lima orang cikgu menuju ke bilik persalinan sukan untuk membersihkan diri. Selesai saja Maghrib berjemaah di surau sekolah, kami terus mengangkut perkakasan masing-masing menuju ke tengah padang. Mereka semua teruja melihat khemah aku yang berjenama agak mahal. Bagi aku, kalau dah berkaitan dengan minat ni memang aku tak berkira. Sanggup kumpul duit berbulan asal dapat beli apa yang aku nak.

"Kau memang kaki camping eh Zaini? Lain macam barang-barang kau bawak,"

"Tak ada lah, cik Zul. Biasa je barang-barang saya ni. Tapi kalau nak kerap buat aktiviti, kena cari yang tahan sikit lah. Modal pun boleh tahan,"

Kami semua ketawa sambil duduk di camping chair masing-masing. Unggun api dihidupkan di atas zink dan aktiviti mengopi pun bermula. Macam-macam cerita diperdengarkan malam itu. Pasal karenah murid, aktiviti-aktiviti sekolah dan pelbagai lagi.

"Eh, ada kenal budak nama Adrian Fazani?" aku mula ajukan soalan.

"Ketua kelas 4 Karisma tu? Kenal sangat. Aktif budaknya. Sama macam bapak dia,"

"Bapak dia?"

"Ha ah. Arwah bapak dia dulu selalu jadi volunteer untuk apa-apa aktiviti sekolah ni. Dia dengan pengerusi PIBG memang banyak menyumbang. Lagi-lagi kalau bawak budak-budak ni join aktiviti lasak, bapak si Adrian ni wajib ada,"

Mendengar saja perkataan 'arwah', aku baru tahu Adrian Fazani adalah anak yatim. Tetapi bagus, apa yang ayah dia terapkan sekarang 100% mengalir dalam jiwa dia.

"Jadi budak tu tinggal dengan siapa sekarang?" aku bertanya lagi.

"Tak silap aku kalau dulu gilir-gilir mak dengan nenek dia. Sekarang tak pasti,"

Aku berfikir sendirian. Tentu-tentu didikan keluarganya yang baik membuatkan dia kuat hingga ke hari ini.

***

Sabtu, 8.30 pagi. Kesemua pelajar mula berkumpul di padang Sekolah Kebangsaan Lubok Sentosa. Kesemuanya 37 murid lelaki dan 25 murid perempuan dengan kekuatan 5 guru lelaki dan 7 guru perempuan. Tapak khemah untuk lelaki terletak di tengah-tengah padang manakala untuk perempuan pula berhampiran dengan kantin sekolah.

Selesai taklimat oleh Cikgu Zul, murid lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu darjah 4 dan 5. Dan aku hanya perhatikan saja si Adrian Fazani sebagai ketua perkhemahan darjah 4 mengawal kumpulannya.

"Satu khemah duduk 3 orang ya!" aku mula memberi arahan.

"Cikgu! Nak susun macam mana khemah, cikgu?" Adrian menyoal sambil memasang batang untuk tiang khemah.

"Susun lah macam mana pun,"

"Cikgu! Nak buat macam rumah taman boleh cikgu?"

Aku blur kejap dengar soalan salah seorang dari budak-budak ni. Apa maksud dia? Susun dua khemah dua khemah macam rumah semi-d? Atau semua khemah susun sebaris saja macam rumah teres?

"Ajib! Jom kita susun macam rumah flat!"

Aku mula menepuk dahi. Terbayang budak-budak ni menindan khemah masing-masing antara satu sama lain sampai tinggi macam rumah pangsapuri.

"Tak payah lah, Adrian. Rosak khemah tu nanti. Susun macam ni je," mana khemah yang sudah siap di pasang aku tarik berhampiran khemah kami para guru. Ke semua murid lelaki darjah 4 ada 6 khemah dan aku menyusun dalam satu bulatan ada 3 khemah.

Selesai semuanya, aku nampak Adrian mengeluarkan bendera berwarna biru dari dalam beg lalu di pacak di hadapan khemahnya.

"Buat apa bendera tu?"

"Ohh ..saya ketua kumpulan. Jadi khemah saya special sikit. Ada bendera dekat depan,"

Aku hanya menggeleng kepala sambil tersenyum melayan budak ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience