Series
1283
Nak kata dalam, tak dalam sangat. Nak kata jauh, boleh tahan lah. Jadi dari jalan utama tadi masuk ke dalam ni adalah dalam 7 kilometer. Dan sekarang aku berhenti di hadapan gerbang Sekolah Kebangsaan Lubok Sentosa. Di mana akan bermulalah khidmat aku sebagai seorang guru di sini setelah 5 tahun membanting tulang di sekolah lama juga tempat pertama aku berkhidmat, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang.
"Ye cik, ada urusan apa tu?"
"Saya cikgu baru, nak lapor diri,"
Selepas menunjukkan surat pertukaran pada sekuriti, pintu pagar di buka dan pihak sekuriti meminta aku terus ke bangunan nombor dua dan naik ke tingkat dua. Di situ nanti akan nampak papan tanda 'pejabat urusan' dan aku akan bertemu guru besar di sana.
Kawasan sekolah yang menarik. Dia macam mendaki naik bukit sikit sebelum sampai ke perkarangan bangunan sekolah. Tadi aku dah lalu padang permainan. Dah terfikir dalam kepala otak yang ini tempat aku berjoging nanti tak kisah sebelum atau selepas habis waktu mengajar. Sekolah lama dulu pun macam ni lah perangai aku. Mengajar waktu pagi, kadang tu sampai nak maghrib baru aku balik. Tak ada siapa pun nak marah. Kahwin pun belum. Usia dah menginjak 30 tahun. Santai-santai sudah.
Sebaik saja aku meletakkan kereta, terus aku usung semua dokumen naik ke tempat yang perlu dituju. Gang-gang pejabat menyambut aku dengan senyuman dan ada juga yang berbisik 'wahhh cikgu baru' selepas aku cakap nak melapor diri. Ketua Pembantu Tadbir mengambil semua dokumen yang diperlukan dan aku dibawa bertemu Guru Besar.
'Ohhh! Cikgu Rozaini. Sila-sila,"
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Lubok Sentosa, Cikgu Rashdan menjemput aku untuk duduk. Lihat pada perwatakan, umurnya dah menjengah pertengahan 50-an. Wajahnya lembut, tegas pun dia jugak. Kiranya kalau masa dia okay, wajahnya lembut saja. Tapi kalau marah, boleh bayang bengis di wajah.
"Apa pun selamat datang ke SKLS. Seperti yang cikgu tahu, kami di sini ada sesi pagi petang. Ada hampir 800 pelajar dan 70 orang staff termasuk kerani, pembantu pengurusan murid semualah. Jadi sambil-sambil tu boleh lah cikgu menyesuaikan diri sebelum tugasan diberikan pada cikgu,"
Cikgu Rashdan membawa aku ke bilik guru bertemu cikgu-cikgu yang lain. Seperti yang aku tahu, aku akan mengajar sesi pagi. Dan aku antara cikgu yang bakal ditempatkan dalam kumpulan pecutan akhir UPSR memandangkan di sekolah lama, aku berada dalam kumpulan ini sudah 3 tahun lamanya.
Setelah sesi suai kenal, aku mengambil masa untuk berjalan mengelilingi sekolah. Ketika itu waktu rehat dan ramai pelajar sudah berlari keluar dan memberikan salam hormat setiap kali berselisih dengan aku...
...cuma ada seorang pelajar ni.
"AAAASALAAAMUUUALAIIIKUMMMM CIKGU!"
Yang pelajar lain ni okay je, sampai dekat seorang 'budak' ni. Semangat dia lain macam. Bagi salam macam cikgu masuk kelas siap tabik hormat. Aku menjawab salam sambil membalas tabiknya. Orang kata, dalam ramai-ramai tu mesti ada seorang yang 'lain' sikit.
Apa pun, sekolah sini okay. Semua staff okay termasuk tukang kebun dan tukang kebun semua okay. Memang terasa diri ini dialu-alukan untuk menabur bakti di sini. Walaupun sesi pagi dah tamat, aku membiarkan diri melewati sesi petang pula. Jumpa cikgu-cikgu petang. Jumpa sekuriti petang. Agak-agak dah tak tahu nak buat apa, aku naik ke pejabat bersembang dengan gang pejabat.
"Cikgu Rozaini bujang lagi?"
"Panggil Zaini je. Ya saya masih bujang,"
"Ohhh. Mana tahu asbab tukar ke sini cikgu dapat jodoh,"
Aku hanya ketawa. 5 tahun di sekolah lama tak terhidu pun bau jodoh. Mungkin aku bukan pilihan utama. Aku redha.
Menjengah waktu maghrib, aku membawa diri ke surau berhampiran sebelum pulang ke rumah sewa. Aku menyewa dengan seorang lagi cikgu bujang yang bertugas di sekolah luar daerah. Ngam-ngam dapat pula partner dalam group Fac. Sampai saja rumah aku nampak si Khairul tengah lepak luar sambil menghabiskan sebatang rokok.
"Wah, baru balik? Seharian kau dekat sekolah. Baru first day dah cari jodoh,"
Aku hanya ketawa. Khairul menyuruh aku bersiap cepat memandangkan perutnya dah mula berkeroncong. Aku pun rasa juga lapar, tapi biasalah dekat sekolah tadi aku kehulu-kehilir jadi rasa lapar tu tak terlalu menebal. Selesai bersiap aku dan Khairul membawa diri ke sebuah warung tepi jalan di hujung kampung. Makcik ni aku dah jumpa minggu lepas masa uruskan rumah sewa. Bihun sup dia terbaik. Siang buat lauk campur, malam ada lah goreng-goreng sup-sup semua.
"Aku lupa nak cerita dekat kau. Aku rasa macam dah ketemu jodoh dekat sekolah,"
Aku hanya mengerutkan dahi. "Macam dah lain niat kau ni? Kau jangan buat hal,"
"Ehhh...apa pulak buat hal? Dalam misi kita mengajar anak-anak bangsa, kita jugak perlu mengajar diri kita untuk mencintai dan dicintai!"
Tekak aku auto terasa loya. Kau nak bercinta ke apa, cinta je lah. Tak perlu keluarkan ayat yang meloyakan. Naik kembang aku nak telan bihun sup ni nanti.
"Come on lah. Kau tak terasa nak berjodoh? Kau lagi tua dari aku. Patut kau kahwin dulu bro,"
"Oi..mana ada istilah yang tua ke muda ke kahwin dulu. Aku ni banyak benda nak buat sebelum aku kahwin,"
"Apa yang kau nak buat?" Khairul menanya penuh minat.
Dan dengan bangga aku jawab 'aku nak pusing satu dunia baru kahwin,"
Khairul menepuk dahi. "Itu, sampai 7 kaki dalam kau masih membujang bro,"
Kami berdua ketawa. Tiba-tiba bihun sup yang aku makan kejap rasa masin kejap rasa tawar. Ada kalanya kelat...
***
Pagi ini, aku akan mula mengajar subjek matematik di kelas 4 Karisma. Khairul lagi awal keluar rumah dengan motosikalnya memandangkan perjalanan ke sekolah tempat dia mengajar hampir setengah jam. Aku pula hanya ambil masa dalam 15 minit saja. Rumah sewa kami betul-betul di tepi jalan utama hendak masuk ke Kampung Lubok Sentosa.
Sampai di sekolah, aku terus naik ke pejabat untuk punch card dan mengambil fail nama murid. Tepat jam 7.50 kaki aku dah terpacak depan 4 Karisma. Kesemua pelajar kelam-kabut kembali ke tempat masing-masing dan aku mula melangkah masuk.
"AAAASALAAAMUUUALAIIIKUMMMM CIKGUUUU........"
...ketua kelas mengecilkan mata melihat name tag aku.
"...CIKGUUU ROZAINIIIII!"
Dan pelajar lain juga memberi salam pada aku. Aku mula perasan, ketua kelas 4 Karisma merupakan pelajar yang aku bertembung semalam memberi salam sambil mengangkat tabik.
"Waalaikumsalam. Duduk semua,"
Aku mula perkenalkan diri. Dari mana aku datang. Bila aku tanya siapa dari daerah tempat lama aku mengajar, dua-tiga pelajar mengangkat tangan. Untuk kurangkan rasa janggal aku mula bercerita itu dan ini tentang diri aku semua lah. Seperti yang aku telah, ketua kelas memang banyak membalas ketika aku bertanya itu ini. Memang budaknya peramah dan periang.
"Okay lah. Nanti kita sambung cerita lagi. Cikgu kamu sebelum ni berhenti setakat mana?"
Dan sesi pembelajaran pun bermula, dengan mata si ketua kelas tak putus memandang aku...
Share this novel