Series
1283
Bermula dari selepas solat zohor hingga membawa ke petang, beberapa aktiviti sukaneka berjaya diselesaikan. Kemudian ada kelas mempraktik jenis ikatan untuk menambah masa yang terluang, dan makan tengahari menjadi lewat sikit disebabkan budak-budak ni sudah seronok bermain. Aku pada mulanya lapar, terus hilang lapar. Dalam jam 3 petang kami bergotong-royong menyiapkan bihun goreng dan macam biasa, lepas makan sambung balik bermain.
Menjengah waktu malam, masing-masing mula mengeluarkan menu 'camping' seperti yang disarankan dalam surat kebenaran sebelum ini. Ramai yang bawa roti, ada juga buah-buahan. Tak lupa juga pada yang membawa beras dan telur. Mata aku tertumpu pada Adrian Fazani. Apa yang budak ni bawa?
"Cikguuuu! Saya bawak jajan!"
"Jajan?" aku mengintai ke dalam beg yang dia keluarkan dari khemah. Ada kekacang dan juga kerepek.
"Opah cakap mesti yang lain dah banyak bawak makanan berat. Jadi opah kata bawak jajan!"
"Mak kamu pulak tak suruh bawak apa-apa?" aku saja memancing dengan bertanya soal mak. Adrian terdiam seketika.
"Entah cikgu. Lama dah tak jumpa mama. Cakap telefon pun sekejap-sekejap. Opah kata semalam, hari ni mama balik,"
Aku hanya mengangguk. Tanpa membuang masa, kami menghimpun semua makanan yang ada persis 'potluck'. Ada yang siap untuk dijamah, ada yang perlu dimasak dahulu. Sambil itu aku mencapai salah satu bungkusan kekacang yang dibawa Adrian Fazani. Aku tengok dan tenung bungkusan itu.
"McCoys Crisp?"
Macam bukan produk dari sini. Mana budak ni dapat makanan luar negara ni. Tapi seperti yang dia cakap tadi, dah lama tak jumpa mamanya. Jadi aku anggap yang emak si Adrian ni bekerja luar. Pramugari mungkin.
"Okay semua dah siap. Mari ambil makanan apa yang kamu nak, kemudian kita baca doa," cikgu Zul mula bersuara dan berkerumun semua budak-budak lelaki untuk sesi bersantap. Doa pendek dibaca dan masing-masing mula diam menikmati juadah yang ada. Aku berkawal memastikan semua murid makan dengan tertib dan tidak ada yang tertumpah.
"Makan jangan jatuh-jatuh, nanti malam-malam ada binatang yang datang,"
Cikgu Zahar menguatkan unggun api di atas zink menggunakan ranting kering dan diminta semua duduk di dalam bulatan. Sambil makan seronok juga ada sesi bercerita.
"Malam ni kita bercerita tentang cita-cita. Ramai tak nak jadi cikgu?" Cikgu Zarif mula mengajukan soalan. Agak ramai juga yang mengangkat tangan.
"Kamu. Kenapa nak jadi cikgu?" aku menyoal Kaizar, murid tahun 5 Pertiwi.
"Kalau hari guru banyak dapat hadiah. Best. Sebab tu saya nak jadi cikgu,"
Kami semua ketawa mendengar jawapan itu. Aku bertanya lagi pada murid lain. Macam-macam jawapannya. Sebab seronok lah, sebab nak jadi macam mak atau ayah lah, sebab dekat rumah ajar adik mengaji sebab tu nak jadi cikgu lah.
"Okay-okay. Selain cikgu? Polis ke?" Cikgu Zahar pulak menanya.
"Saya cikgu! Nak tangkap orang jahat!"
"Baju dia cantik cikgu! Saya suka!"
"Police entry, one two jagaaaaaa...."
Tiba-tiba ada jawapan yang lari topik. Kami semua ketawa lagi.
"Okay. Lain? Ada cita-cita selain cikgu? polis?"
"Saya nak jadi macam ayah saya!"
Akhirnya ada jawapan keluar dari mulut Adrian Fazani. Aku nak tahu juga apa kerjaya arwah ayahnya ketika hidup.
"Ayah kamu kerja apa, Adrian?"
"Ayah saya kerja tolong orang, cikgu. Dia susah pun dia tolong orang,"
Aku mengangguk. Bantu-membantu pun merupakan sebuah pekerjaan. Walaupun selalunya ia tidak dibayar dengan wang, tetapi bayaran pahala yang mengalir sangat banyak. Dan sangat diperlukan lebih-lebih lagi untuk orang yang sudah tiada.
Sambil murid lain bersahutan menjawab apa cita-cita mereka, Cikgu Zul yang berada di sebelah berbisik pada aku.
"Arwah bapak si Adrian ni buat food delivery,"
Ohh. Patutlah ayahnya ada masa untuk menghadirkan diri menyelami aktiviti di sekolah. Bekerja sendiri sebagai ejen penghantar makanan. Ia merupakan antara kerja flexible lebih-lebih lagi berkaitan masa.
"Jadi arwah meninggal sebab kemalangan ke?" aku menanya lagi. Namun Cikgu Zul menggeleng.
"Bukan. Ceritanya tragis sikit. Nanti lah aku cerita," Cikgu Zul terus bangun dan memperbetulkan plastik sampah yang di buat tempat membuang sisa makanan. Rata-rata mereka telah pun selesai menjamu makan malam.
Aktiviti diteruskan lagi dengan bermain permainan meneka benda melalui gerak badan. Bila tiba giliran Adrian memberi petunjuk, habis berderai tawa semua budak-budak. Aku perhati lagi gayanya, cara dia bergaul. Memang selalu orang kata, budak yang ceria, aktif macam Adrian selalunya ada satu cerita yang diselindung di sebalik dirinya. Macam yang aku pernah jumpa di sekolah lama, seorang budak yang periang di sekolah. Namun murung di rumah. Untuk tidak terus didorong kemurungan, dia mencipta dunia dia yang indah di sekolah.
Tetapi cerita Adrian Fazani aku tak pasti. Mungkin sama macam yang pernah aku jumpa, atau sebaliknya. Apa pun, bukan Adrian saja yang aku kena perhatikan. Kalau boleh, setiap seorang murid aku kena analisis lebih-lebih lagi yang bermasalah. Kerana bukan semua mahu mencipta masalah. Dan kadang-kadang juga masalah yang timbul adalah ujian buat para guru untuk melihat sejauh mana kita menjadi 'guru'.
Waktu sudah menjengah jam 11 malam. Kesemua murid diarahkan untuk masuk ke khemah masing-masing. Baki aktiviti yang telah dirancang sebelum ini akan disambung keesokan paginya.
"Cikgu dengar ada yang bersembang, jaga kamu ya. Cikgu suruh tidur dekat bawah pokok besar dekat gate tu nanti,"
Serta-merta bunyi bercakap, mengekek, mengaduh hilang begitu saja. Hanya kedengaran bunyi mengesot dari dalam khemah. Kami cikgu-cikgu mula berkumpul setempat sambil menghabiskan minuman. Diintai kearah kantin sekolah, group khemah perempuan juga sudah menutup acara mereka malam ini. Adalah nampak dua-tiga cikgu sedang duduk bersantai di kerusi kantin.
"Aku tengok kau macam minat nak tahu budak Adrian tu, kenapa?"
Satu soalan keluar dari mulut Cikgu Zul buatkan aku tersentak seketika. Semestinya soalan itu dituju khas untuk aku.
"Ehh. Tak ada lah. Saya saja je menanya. Budak tu lain dari yang lain,"
"Bapak dia dulu. Dengarnya ada orang sabotaj. Bapak dia bawak kapal terbang yang kecik tu. Jenis Cessna,"
Mata aku terbeliak. "Bapak dia bawak kapal terbang?"
"Ha ah. Bapak dia memang ada private license. Mak dia pulak commercial flight pilot. Dulu sebelum bapak dia buat food delivery, macam-macam business ada,"
Aku mengingati kembali beberapa siri kejadian insiden penerbangan yang berlaku sebelum ini. Ada aku terbaca rasanya, tetapi tak tahu pula salah satu insiden itu menimpa ayah Adrian.
"Sejak bapak dia dah tak ada. Dah tak banyak aktiviti luar yang kami buat. Ada tu ada tapi tak sebanyak masa ayah dia ada dulu. Ayah dia memang supporter besar kalau nak buat event,"
Jadi waktu yang pada logiknya pendek, terus terasa panjang. Dari bercerita berkenaan ayah Adrian, terus berlarutan kepada segala jenis aktiviti yang sekolah pernah buat, hingga menempa nama dalam beberapa bidang hasil usaha sama warga Sekolah Kebangsaan Lubok Sentosa. Dan fikiran aku pula mula merewang mengingati tragedi kemalangan Cessna yang dipercayai berunsur khianat itu.
Malam terus berlalu,
Sejuk kian rasa ke tulang,
Aku masuk tidur dahulu,
Takut terlelap di luar sampai ke siang...
Share this novel