Series
1283
"Assalamualaikum yaaa sahabat. Aku sudah pulang ke pangkuan mu...."
Kereta 'grab' berlalu meninggalkan halaman rumah kami. Terpacak seorang Khairul dengan beg galas dan entah apa bungkusan plastik yang dia bawa. Mungkin juadah dari kampung.
"Malam ni, kita makan nasi orang kahwin. Kita bila nak kahwin?"
Aku terdiam. Khairul ajukan soalan atau berpantun dua kerat, aku pun tak pasti.
"Kau kenapa macam blur aja ni? Maaflah aku tanya bab kahwin ni mengejut. Soalan dari kampung, aku bawakkan kemari,"
Khairul menepuk bahu aku lalu mengheret beg galas dan plastik bungkusannya ke dalam rumah. Aku tadi lepas maghrib, aku lepak luar rumah kejap. Lepas tu mula lah kepala aku terawang-awang entah ke mana. Dia punya melalut tu membawa ke azan isya' sampailah Khairul tiba tadi. Kalau dilihat pada isi kandungan otak aku sekarang, 20% adalah semangat nak mula mengajar esok, dan lagi 80%...
"...Juliana..."
Terus mata aku membulat. Tiba-tiba nama Puan Juliana muncul. Aku tak tahu siapa yang suarakan nama Juliana. Sisi baik aku atau sisi sebaliknya. Aku menggeleng-geleng laju, aku tak nak jadi lelaki miang yang pantang nampak perempuan cantik. Biarlah hati dan perasaan yang jadi penentu segalanya. Penentu bahawa kami akan bersama atau sebaliknya.
Ngam-ngam bulan mengambang, di bawah bulan terang aku berkata-kata indah dan manis. Walaupun kata-kata ini sekadar dari dalam hati yang kudus, namun suaranya berteriak bersorak lantang biar satu dunia mengetahui yang aku cin........
"Hoi..."
Aku tersentak, Khairul berdiri di belakang siap berkain pelekat dan tuala tersangkut di bahu. Dah selesai mandi rupanya mamat ni. Entah berapa lama aku mengelamun tadi.
"Dah mandi?"
Aku mengangguk.
"Dah solat?"
Aku menggeleng.
"Dah tu kau tunggu apa lagi? Aku lapar ni,"
Terus aku mencicit masuk ke dalam rumah. Usaha aku untuk terus melayan perasaan berjaya dipatahkan Khairul. Dalam masa sama aku pun dah mula terasa lapar. Apa pun solat dulu. Kita solat bukan sebab kita ni baik, tapi kita solat sebab kita adalah hamba.
****
Sementara Khairul berlalu dengan motosikalnya, aku duduk sekejap dekat meja makan. Masih berbaki suku dari sebiji buah limau Bali yang aku keluarkan semalam. Lupa aku tak bawa apa-apa untuk Khairul, jadi aku cukai sebiji limau bali sebagai santapan pencuci mulut malam tadi. Tinggallah 4 biji khas untuk Puan Juliana. Plan aku lepas habis waktu mengajar, bawa balik Adrian dan terus hantar sekali buah limau Bali ke rumahnya.
Waktu persekolahan berjalan seperti biasa. Macam-macam karenah aku jumpa. Ada yang datang dekat aku mengadu nama bapanya diejek. Terus aku teringat masa zaman aku sekolah dulu. Nama ayah aku Azmi. Jadi masa kami solat zohor beramai-ramai di surau sekolah, ada kawan aku masa rukuk dia sengaja menukar ayat 'adzimi' kepada 'azmi' dan menyebutnya dengan kuat. Aku tanpa berlengah terus pijak kaki dia. Selesai solat aku berkali-kali ulang 'ais krim' sambil berlari. Nama ayahnya Karim.
Selesai waktu rehat, aku memasuki kelas 4 Karisma. Agak lambat ketua kelas memberi salam dan kemudian baru aku perasan, Adrian tak ada. Penolong ketua kelas yang memberi salam. Sambil aku lihat keadaan meja di dalam kelas, dua orang murid tidak hadir.
"Mana Mariana dengan Adrian Fazani?"
"Mariana belum balik, cikgu. Rumah dia depan rumah saya. Saya tengok rumah dia gelap pagi tadi," sahut salah seorang murid.
"Adrian?"
"Adrian demam, cikgu," sahut rakan karibnya, Zanurin.
Aku hanya mengangguk. Kelas hari ini dimulakan dengan subjek masa dan waktu. Aku mula menyelak buku ke helaian bahagian konsep 12 jam dan 24 jam.
"Konsep 12 jam, kita selalu pakai hari-hari ya. Contoh macam mana? Kita bagi tahu masa, 2 petang, 2 pagi, 10 malam, 10 pagi, 12 tengahari. Kita akan sebut nombor, masanya tu disertakan dengan? Waktu ya...pagi, malam atau tengahari. Lain dari sistem 24 jam, 24 jam jarang sangat kita pakai untuk bagi tahu waktu. Jarang kita sebut pukul lima belas, pukul dua puluh satu, pukul tujuh belas setengah..."
Dan selesai aku menerangkan, latihan tubi serta kerja rumah 'basic' mula diedarkan untuk budak-budak ni faham dahulu konsep 12 jam dan 24 jam. Setelah selesai semua, aku turun sekejap ke dewan untuk taklimat ringkas murid darjah 6 bagi subjek matematik. Pecutan akhir perlu di biasakan awal untuk murid sempat menyerap apa yang mereka semua pelajari selepas bertahun berkelana di sekolah rendah.
Jam 12.50 tengahari, aku membawa diri meninggalkan perkarangan sekolah. Berbekalkan memori yang masih bersisa, aku memandu menuju ke rumah Adrian. Lorong demi lorong, pelbagai simpang aku lalu hinggalah kereta aku betul-betul berada di hadapan rumah yang aku pernah sampai sebelum ni. Terlihat BMW E24 hitam ada di situ.
Sebelum aku sempat turun, Puan Juliana sedang melangkah keluar dari rumah. Hari ini dia mengenakan sepasang kurung biru dan rambutnya dilepaskan tidak berikat kuda. Dia juga perasan akan kehadiran aku.
"Maaf, cikgu. Adrian tak sihat hari ni. dia ada di rumah opah dia,"
Aku hanya tersenyum. Puan Juliana menghampiri sambil membawa beberapa fail di tangan. Aku kira semua fail itu tersimpan dokumen-dokumen penting.
"Cikgu nak melawat Adrian ke? Jom ikut saya,"
Aku dengan segera memandu mengekori kereta Puan Juliana dan tak sampai 500 meter kami sampai ke destinasi, sebuah rumah kampung yang telah siap dimodenkan. Aku nampak di luar rumah, Adrian dengan tak berbajunya siap terlekat koyok lagi di dahi sambil ditemani opah yang sedang duduk berehat.
"Ehhhh..cikguuuuuu,"
Nampak saja aku, terus si Adrian berlari mengenakan seliparnya dan menjengah ke pintu kereta. Puan Juliana masuk ke rumah sambil memberitahu opah yang aku ni cikgu kepada Adrian.
"Cikgu, mari duduk sini cikgu. Sambil layan angin luar. Juuu...buat kan air segelas,"
"Ehhh. Makcik jangan! Saya kejap je ni," di sini ada dua situasi. Mulut aku yang berkata 'jangan' dan kepala otak aku yang berkata 'wow, bukan selalu rasa air tangan Puan Juliana'. Aku agak benci bila mulut dan otak tak synchronize.
"Adrian, sini,"
Aku mengajak Adrian ke belakang kereta. Dari aku lupa lagi baik aku ambil sekarang. 4 biji buah limau Bali dikeluarkan. Aku bawa dua, Adrian bawa lagi dua. Dan masa itu jugalah Puan Juliana keluar sambil menatang segelas air.
"Limau Bali?"
Adrian mengangguk. "Kan mama dari hari tu nak limau Bali. Adrian order lah dekat cikgu Rozaini,"
Serentak Puan Juliana dan opah menepuk dahi. Dari putih berseri terus merah padam wajah kedua-duanya.
"Tapi cikgu kata nak bawak 5. Ini ada 4 je,"
"5 tolak 1 berapa?"
"4?"
"Ye. Cikgu bawak 4. Satu cikgu dah makan,"
"Budak ni!!!"
Puan Juliana berlari mendapatkan Adrian yang ketika itu laju saja dia masuk ke dalam rumah. Aku ketawa kecil melihat gelagat dua beranak ni. Puan Juliana bercekak pinggang di hadapan pintu rumah. "Dah lah order ikut suka dia. Siap cakap lagi nak berapa bijik pulak tu! Bertuah betul!"
Aku tersenyum menggeleng sambil meletakkan lagi dua biji buah limau Bali di atas meja. Opah Adrian mempersilakan aku untuk minum. Sambil itu Puan Juliana menoleh kearah aku.
"Cikgu. Maaf cikgu saya minta maaf sangat-sangat. Geram saya budak ni. Macam manalah saya nak tinggalkan dia,"
"Emaknya last cuti hari ni," opah Adrian menyampuk. Aku hanya tenung sejenak wajah Puan Juliana. Kesian, wanita berkerjaya, cantik lagi menawan seperti ini perlu hadapi pelbagai karenah.
Ishhh! Kau nak kesian biar bertempat, Rozaini.
Share this novel