Bab 2

Romance Completed 6164

“Achik, kat bilik rupanya. Kawan Along dah datang. Cepatlah!”

Zairi berlalu sambil membawa beberapa buah buku. Mungkin dari bilik agaknya. Zuyyin meneka sendiri. Dia terus bangun dan mencapai tudungnya yang tergantung di pintu bilik dan menyarungkannya di kepala.

“Along.”

Zuyyin memanggil abangnya dengan nada berbisik supaya kawan-kawan abangnya tidak menyedari kehadirannya.

Zuyyin membuat isyarat menyuruh abangnya mengambil air dan biskut yang ada di tangannya. Dia malu sebenarnya. Lebih-lebih lagi kawan-kawan abangnya itu ramai. Bukan dua atau tiga orang, tetapi enam.

Semuanya pernah datang ke rumahnya sebelum ini semasa hari raya Aidifitri tahun lepas. Tetapi, hanya seorang lagi yang dia tidak pernah nampak.

“Laa, buat apa menyorok kat celah pintu tu?”

Semua mata terus memandang tepat ke arah Zuyyin sambil tersenyum kecuali kawan abangnya yang tidak pernah Zuyyin kenal. Dia seperti terpaku memandang Zuyyin.

“Err…”

Merah muka Zuyyin ditegur begitu dihadapan kawan-kawan abangnya.

‘Hisy, Along ni. Agak-agaklah nak tegur pun. Aku ni bukan main buat suara pelan-pelan. Kan dah kantoi. Haduiihh…malunya! Mana nak letak muka ni.’ Hati Zuyyin berbisik sendiri.

“Eh, mana ada menyorok. Achik cuma tengok-tengok dulu berapa orang semua. Mana tahu silap kira. Takut tak cukup pulak air ni nanti.” Zuyyin cuba menutup malu.

‘Along ni saja je.’ hati Zuyyin terus mengomel sendiri.

“Dah tu mari la sini. Yang duduk tercegat lagi kat situ buat apa?”

Zairi cuba mengusik. Senang hatinya dapat mengusik adik kesayangannya itu.
Zuyyin menyusun langkah berhati-hati dengan membawa dulang air bersama biskut ke arah abangnya.

Dulang tersebut diletakkan di atas meja batu bulat di halaman rumahnya. Kakinya ingin terus mengatur langkah berlalu dari situ tetapi hampa apabila abangnya memanggilnya semula.

“Nantilah dulu. Along nak kenalkan Achik dengan kawan-kawan Along ni.” Zairi terus memeluk bahu Zuyyin sambil memandang kawan-kawannya. Zuyyin menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Nih…kenalkan adik aku, Zuyyin Zulaikha. Panggil Zuyyin je lah. Adik aku yang Zarina tu korang dah kenal kan? Yang ni je tak kenal.” Zairi memperkenalkan sambil tersenyum kepada kawan-kawannya.

Memang mereka semua kenal dengan Zarina kerana mereka semua satu sekolah. Hanya Zuyyin sahaja yang mereka belum kenal kerana Zuyyin baru memasuki alam sekolah menengah. Masih baru lagi kat sekolah itu. Baru sebulan masuk sekolah menengah.

“Ohh…sedap nama adik kau, Zairi.” Salah seorang kawan Zairi yang bernama Amir bersuara.

“Mestilah. Nama tu ayah dengan nenek aku bagi. Nenek aku nak sangat nama Zulaikha, tapi ayah aku nak nama Zuyyin. Jadi, gabunglah jadi satu nama.” Zairi membuka cerita dengan bangga.

“Achik, ni semua kawan baik Along tau. Yang ni Amir. Tu Faizal, Khairul, Izzat, Hilmi, dan yang sebelah kanan Along ni Ridzuan."

Ridzuan memandang Zuyyin tanpa berkelip. Zuyyin merasa malu lalu meminta diri untuk masuk ke dalam rumah selepas berkenalan dengan semua kawan-kawan Zairi. Zairi perasan yang Ridzuan asyik memandang Zuyyin sejak mereka semua menyedari yang Zuyyin berada di celah pintu tadi.

“Adik aku comel kan?”

Zairi mengangkat keningnya berkali-kali kepada Ridzuan. Ridzuan baru tersedar yang dia terlebih pandang ke arah Zuyyin tadi. Mukanya merasa panas dan merah.

“Hurmm…”

Ridzuan hanya mengiyakan untuk menghilangkan rasa malu kepada Zairi.
Lagipun dia baru mengenali Zairi sebulan yang lalu apabila dia berpindah ke sekolah tersebut dan sekelas dengan Zairi. Zairi lah yang mula menegurnya.

Zairi memang seorang yang peramah. Lama-kelamaan dia merasa selesa dengan Zairi dan kawan-kawan Zairi yang lain. Mereka banyak menghabiskan masa dengan belajar bersama. Biasanya mereka akan belajar di rumah Hilmi pada hari minggu. Entah mengapa minggu ini Zairi mengajak kawan-kawannya belajar dirumahnya.

“Ridzuan, kau pindah sekolah sini kenapa eh?” Izzat bertanya sambil memandang Ridzuan.

Sudah lama dia ingin tahu mengenai hal ini, namun baru kali ini dia berkesempatan bertanya.

“Aku ikut papa dan mama aku tinggal kat kawasan sini. Dulu aku tinggal kat rumah nenek aku kat kampung. Nenek aku yang nak sangat aku tinggal dengan dia."

"Masa tu aku baru masuk darjah satu. Mama aku tak sampai hati tengok nenek aku berharap sangat nak aku tinggal dengan dia selepas atuk aku meninggal. Sunyi katanya. Mama aku pun izinkanlah. Lagipun, kakak dengan adik aku dah ada tinggal dengan mama aku.”

Panjang lebar cerita Ridzuan kepada kawan-kawannya. Mereka semua mengangguk tanda faham dengan cerita Ridzuan.

“Err…Zairi. Boleh aku pinjam toilet rumah kau tak?”

Zairi mengangguk sambil menunjukkan arah untuk ke tandas rumahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience