BAB 6

Romance Completed 4265

PINTU bilik itu diketuknya perlahan. Sekejap sahaja sudah terjengul seraut wajah. Dia memandang seraut wajah yang sedang tersenyum ke arahnya itu. Kenapa mamat ni suka senyum? Aku tak perlukan pun senyumannya itu!

“Mana baju kerja awak? Biar saya tolong gosokkan.”

“Hah? Er… tak payahlah. Saya boleh gosok sendiri.” Naik segan pula bila kakak iparnya itu menawarkan diri untuk

menggosok baju kerjanya.

“Tapi… memang tugas saya.” Kali ini Dania sudah serba tidak kena. Karang mama akan marah lagi kalau dia tak buat apa yang mama suruh. Mamat ni pulak… susah betul nak ikut arahan aku. Aku nak tolong dia dah cukup baik tau!

“Tak payahlah. Seganlah saya macam ni. Bukannya saya tak biasa buat pun.” Dia menolak sekali lagi.

“Saya kena buat jugak. Bawak sini baju awak.” Dia turut berkeras.

Sepasang anak mata itu dipandangnya lama. Mata dia macam… macam baru lepas menangis! Dia menangis ke? Satu lagi kepelikan yang dapat dirasakannya.

“Kalau awak tak bagi, saya akan masuk dalam bilik ni cari baju awak.” Dania… sejak bila pulak kau pandai mengugut

tuan rumah ni? Dia meneguk liur perlahan.

“Tak boleh! Saya tak benarkan awak masuk.” Kedua-dua belah tangannya didepakan di muka pintu biliknya, menghalang wanita itu daripada memasuki biliknya.

“Tolonglah Encik Arsyad… bagi saya baju awak.”

“Tak boleh.”

Dania mengeluh perlahan. Dia ni memang suka ke kalau aku kena marah lagi? Tapi… bukan ke dia tak pernah nampak apa yang terjadi? Macam papa. Kalaulah dia tahu apa balasan yang akan aku terima… Seraut wajah lelaki itu dipandangnya mengharapkan simpati. “Saya minta maaf. Tapi saya kena masuk jugak bilik ni.” Dia merempuh tubuh lelaki itu untuk memasuki bilik lelaki itu.

Cepat sahaja tangannya menyambar lengan wanita itu.

“Auch…” Dia menyeringai kesakitan apabila Arsyad memegang pergelangan tangannya yang baru sahaja kena pukul dengan batang penyapu sekejap tadi. Bergenang kolam matanya. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu!

Terperanjat Arsyad dibuatnya. Cepat-cepat dia menyelak lengan gadis itu. Dania yang terkejut dengan perlakuan Arsyad cepat-cepat menarik tangannya walaupun terasa sakit menjalar hingga ke tulang putih. Tubuh yang terlalu dekat dengannya itu ditolak kuat. Langkahnya juga terundur setapak ke belakang.

Berkerut dahinya memandang seraut wajah Dania. Dia sempat terpandangkan kesan lebam kemerahan itu. Sepasang anak mata itu ditatapnya lama. “Kenapa dengan tangan awak.”

“Tak ada apa-apa. Tolonglah Encik Arsyad… saya merayu pada awak. Tolong bawak baju awak kat sini. Biar saya gosokkan.” Tak kisahlah kalau terpaksa merayu sampai macam ni pun. Asalkan aku tak kena pukul sekali lagi.

Tanpa bertanya apa-apa lagi, Arsyad terus masuk ke dalam biliknya dan mengambil baju yang ingin dipakainya. Baju itu dihulurkan kepada gadis itu. Sungguh, kemusykilan bermaharajalela di dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience