Horror & Thriller Series 5090

Trak bomba, van ambulans dan kereta polis memenuhi perkarangan sekolah. Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Bangsar, Puan Fauziah turut tiba setelah mendapat panggilan guru yang berada di sekolah.

Atas insiden tidak terduga itu, sebagai langkah keselamatan... semua warga sekolah diminta berkumpul di hadapan pagar sekolah. Hampir setengah jam juga masa diperlukan bagi memadamkan api di tandas tingkat tiga, Blok A. Tandas lelaki dan tandas perempuan habis
musnah seperti terkena letupan bom. Bumbungnya turut ranap, runtuh menyembah bumi.

Paling mengejutkan semua adalah apabila seorang polis berpangkat Inspektor memberitahu, pihak berkuasa telah menjumpai seorang mangsa yang maut rentung.

Pada ketika dua pekerja ambulans mengangkat mayat dan membawanya ke van ambulans, kain yang menutupi mangsa tersebut terbuka kerana ditiup angin malam. Lalu ternampaklah tubuh yang hitam bagaikan arang, beberapa bahagian masih merah tersiat kulitnya seperti bara. Tangan mayat juga keras kejung, terpacak ke atas seperti orang meminta tolong.

Beberapa pelajar menerkap mulut, ada yang terjerit kecil kerana takut. Ada yang berlari ke longkang dan memuntahkan segala isi perut. Bagi yang lemah, terus jatuh pengsan melihat dahsyatnya mangsa menemui malaikat maut.

Pihak polis juga giat bekerja, meminta sekolah melakukan pengecaman mangsa. Akibat sukar mengenal wajah rentung hitam itu, Puan Fauziah mencari inisiatif lain. Meminta cikgu-cikgu mengambil kedatangan pelajar kelas mereka. Hanya seorang yang tidak menyahut dan tidak dijumpai orangnya. Pelajar lelaki dari kelas 5A, pengawas bernama Airil Zafril dipercayai maut
dalam kebakaran mengejut yang berlaku di Sri Bangsar.

Pada ketika ramai masih menggeleng kepala tidak percaya dan menangis kesedihan, Puan Fauziah menjalankan peranan sebagai pentadbir sekolah yang efisyen. Segera diminta pihak sekolah berjumpa dengan ibu bapa Airil. Tetapi, guru kelasnya memberitahu... Airil anak yatim piatu yang tinggal di rumah anak yatim yang tidak jauh lokasinya dari sekolah itu.

Puan Fauziah terkelu dengan info itu, digigit bibir hingga terasa pedih. Begitu lama dipandang bangunan sekolah serta logo kebanggaan Sri Bangsar. Sekolah yang baru berusia tiga tahun, ditubuhkan pada 1982. Dia sungguh-sungguh tidak mahu kejadian malang ini menjadi punca penamat hayat Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Bangsar. Nanti tiada ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak ke sekolah ini. Tiada pelajar, sekolah tidak berfungsi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience