Horror & Thriller Series 5090

"Eh? Ini bukan tandas biasa."

Dilihat keadaan sekeliling, siling masih memutih. Tiada kotoran dan contengan walaupun secalit. Segala lantai berjubin, berkilat lagi bersih. Pintu, sinki dan cermin... semuanya kelihatan baru.

"Ini tandas terbakar yang baru sahaja selesai dibaiki dan dirasmikan. Yalah, ini tandas Blok A!" bisik hati Hani, menyedarikan keganjilan yang berlaku.

Tetapi macam mana pula dia boleh berada di Blok A? Itu blok pelajar pagi, khas untuk tingkatan empat dan lima. Jika hendak pergi, mesti melalui padang sekolah dan Blok B, lokasinya jauh sekali. Hani berkerut dahi dan menggaru kepala berkali-kali. Kenapa tiba-tiba berada di sini?

"Tolong... tolong... tolong! Tolong saya..."

Hani terhenti menggaru kepala, apabila terdengar suara meminta tolong. Jantung yang berdegup normal, terus berdebar laju seperti kompang dipalu.

"Setahu saya, Blok A memang tiada pelajar pada waktu petang." Seketika Hani menoleh ke luar tandas. Tiada sesiapa juga yang lalu-lalang di koridor tingkat tiga. Segalanya kosong, sunyi lagi sepi.

"Hmm... mungkin suara meminta tolong itu dari dalam tandas." Tekaan Hani disambut dengan lampu tandas yang tiba-tiba berkelip-kelip. Sekejap menyala, sekejap terpadam... macam ada orang yang bermain dengan suis lampu.

"Tolong... tolong saya..."

Hani terus memeluk tubuh, dia mula terasa seram sejuk. Fikiran terus membayangkan kisah-kisah filem seram yang diceritakan oleh pelajar-pelajar sekelas yang cuba menakutkannya, kerana dirinya yang dikatakan lemah semangat. Jumpa hantu pasti boleh terus jatuh pengsan.

Suara itu kedengaran lagi, menyapa telinga dengan jelas. Mendayu dan merayu, meminta belas.

Hani cuba melangkah keluar, tidak mahu mengendahkan apa yang didengar. Tetapi kedua-dua kakinya menjadi keras seperti dipasak ke lantai. Dia memusingkan badannya ke arah bilik-bilik tandas, lalu ditelan air liur yang terasa pahit sangat. Menggenggam tangan, mengetap bibir dan menarik nafas dalam-dalam, dia cuba memberanikan diri melihat kubikel tandas secara satu per satu. Oleh kerana ruang tersebut merupakan tempat kotor dan najis, dia tidak boleh memberi salam. Lalu digantikannya dengan mengetuk pintu tiga kali sebagai petanda mencari orang yang meminta pertolongan.

Tuk... tuk... tuk...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience