Chapter 4

Romance Completed 24775

BAB 4

Aku mengambil dan membelek-belek kasut hitam yang tersusun di atas rak. Akhirnya kasut itu diletakkan kembali. Masih belum berjumpa dengan kasut yang sesuai.

Mata kemudian melilau melihat ke arah Ariffin yang turut sama mencari kasut untuk hantaran nanti. Kaki dihayun ke arah Ariffin. Perlahan aku memanggil Ariffin yang leka dengan kasut yang baru disarungkan ke kaki. Kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan dijawab.

“Wa’alaikumussalam. Ada apa Dina?

Dahiku berkerut. Perempuan? Agaknya yang nombor berapalah tu kan?

“I tengah shopping. Ha’ah, cari barang sikit.”

Aku memasang telinga. Kenapa tak cakap cari barang hantaran? Ariffin ketawa. Mataku tak lari daripada memerhatikan gelagatnya bercakap ditelefon. Dalam pada masa yang sama, matanya turut memerhatikan cermin di bawah untuk melihat kasut yang dipakainya itu.

“Miss me?” Ariffin ketawa.

Itu soalan dia tanya ke... soalan dia terkejut sebab perempuan tu rindu dia? Aku buat muka meluat. Malas mahu melihat drama sebabak kat depan mata, aku mencuit bahunya. Ariffin mendongak. Telefon di jarakkan dari telinga. Senyuman pencair hati dihadiahkan. “Ada apa, Yati?”

Aku mencebik. Ingat senyum-senyum macam tu hati aku cair ke? “Saya nak ke sana sekejap.” Aku menunjukkan ke arak susunan beg tangan. Naik juling mata tengok kasut dari tadi. Bertambah juling bila melihat Ariffin tersengih-sengih seorang diri.

Ariffin mengangguk. “Dah dapat kasut?” soalnya.

“Belum. Tak jumpa lagilah. Nanti kita tengok dekat tempat lainlah.”

Malas menunggu balasan Ariffin, aku meninggalkan Ariffin bersama promoter. Tak selesa betul cari barang dengan pak cik ni. Bila aku cadangkan beli sendiri-sendiri tak mahu pulak. Nak berkenalan katanya. Aku membuat muka. Dah kenal sangat dah perangai awak, Encik Ariffin oi!

Sambil membelek-belek beg tangan di atas rak, mataku terpandangkan Haikal yang berdiri bersebelahan seorang wanita sambil membelek-belek pakaian bayi.

Aku menggigit bibir. Haikal tersenyum. Kemudian, apabila wanita itu membisikkan sesuatu di telinganya, Haikal tertawa. Aku mengundurkan langkah. Mengelak daripada dikesan oleh Haikal. Perasaan sebak muncul dengan serta merta. Ah! Hati masih belum kuat lagi.

Baru hendak pusing ke belakang, aku terlanggarkan seseorang di belakang. Spontan lelaki itu mengaduh.

“Sorry! Sorry sangat-sangat.” Tertunduk-tunduk aku memohon maaf. Lelaki itu ketawa. Aku mengangkat muka.

“Tengok siapa yang leka sangat tu? Hrm?” Ariffin mengintai-intai ke arah yang aku lihat tadi.

“Tak ada siapa. Dah jumpa ke kasut? Kalau dah, jom. Kalau belum lain kalilah kita keluar lagi. Letih dah ni,” rungutku. Terpandangkan Haikal yang sedang berjalan ke mari, aku memusingkan badan membelakangkannya.

“Eh? Haikal kan?” Belum sempat aku menarik baju Ariffin, dia dah menegur Haikal yang betul-betul berjalan di hadapan kami. Haikal membalas teguran Ariffin.

Wajahnya ceria. Kemudian dia memperkenalkan wanita yang berjalan disebelahnya.

“Risa, wife aku.”

Ariffin mengangguk lalu tersenyum. Aku menyusup ke rak lain ingin melarikan diri. Belum sempat aku hendak mengangkat kaki, Ariffin dah memanggil namaku. A

h, lelaki ini. Mahu tak mahu, aku terpaksa juga memusingkan badan. Kepala diangkat dan aku memandang terus ke arah Haikal. Spontan air muka Haikal berubah.

“Haryati, tunang aku.” Selamba Ariffin memperkenalkan aku kepada Haikal dan isterinya.

Aku bersalam dengan Risa. Sementara menunggu Ariffin berborak dengan Haikal, Risa cuba untuk beramah mesra dengan aku. Aku serba tak kena. Dalam hati dah merungut-rungut. Lama pulak pak cik ni berborak. Ah! Yang aku pelik, macam mana diorang boleh kenal?

Kami terus pulang selepas Ariffin membuat pembayaran. Pertemuan kami dengan Haikal masih terbayang-bayang di fikiran. Lama aku tidak menghubungi Haikal.

Semenjak mendapat tahu dia dah berkahwin, memang aku tak pernah menjawab panggilannya, apa lagi hendak membalas mesejnya. Pada aku, Haikal pun tak bersungguh nak mencari aku.

“Jauh termenung? Dah sampai Terengganu?” tegur Ariffin.

Aku buat tak dengar. Terengganu? Kenapa dalam banyak-banyak tempat atas dunia ni, Terengganu juga yang disebutnya? Macam tahu-tahu aja Haikal bekerja di sana.

“Macam mana boleh kenal Haikal?” aku menyoal Ariffin. Ariffin memakai tali pinggang kaledar sebelum menghidupkan enjin kereta.

“Masa dekat ‘U’. Debat Alam Sekitar. Dia wakil UM kan? Masa tu saya committee,” jelas Ariffin.

Aku mengangguk tanda faham.

“Yati kenal dia ke? Korang satu U kan?” Ariffin kembali melontarkan soalan.

Laju aku menggeleng. Bohong sunat. Tapi kenapa aku nak berbohong? Nak jaga hati Ariffin? Dia tu siapa pada aku? Argh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience