BAB 1

Adventure Completed 394

DERAIAN salji halus masih terasa kala aku bergegas menghala ke stesen
keretapi. Cuaca tidak menentu sekarang. Alam bagaikan enggan berkompromi
dengan penduduk bumi. Sepatutnya hari ini, hari pertama musim bunga.
Namun malam semalam salji masih lebat gugur ke bumi.

Kedinginan mencengkam kulit. Sambil membetulkan mafela biru dari kain
benang bulu kambing yang tebal, membelit leher aku meneruskan langkah.
Tangga bergerak yang menghala ke stesen keretapi api aku panjat dengan
tergesa-gesa. Ruang dalam stesen terasa hangat. Meskipun masih awal,
namun sudah ramai penumpang yang berdedai-dedai menghala arah tujuan
masing-masing. Aku berdiri sejenak di hadapan monitor kecil di ruang
legar ini, melihat waktu perjalanan keretapi. Mataku terpaku pada waktu
keretapi ke Lugano yang akan berangkat sebentar lagi, lebih kurang tiga
minit.

Ya Allah! Tiga minit lagi! Bisik hatiku bagaikan terperanjat. Tidak
ingin terlepas keretapi pagi ini kerana perjalanan jauh dan panjang.

Aku segera berpaling dengan pantas ke belakang. Kala itu aku terpijak
kasut seseorang yang berdiri belakangku. Begitu rapat hingga aku dapat
hidu bau colognenya. Aku memang tidak sangka ada orang di belakangku,
yang turut memerhati ke arah monitor. Rupa-rupanya dia juga sedang
meninjau waktu perjalanan keretapi ke destinasi tujuan.

“Maaf,” ucapku dalam bahasa SwissFranc sambil merenung wajahnya sejenak.

Agak kacak, berambut perang dan bermata biru pekat.

Dia tidak menyahut hanya dahinya sahaja yang berkerut. Entah berkerut
sakit kerana aku memijak kakinya atau dia tidak faham kata-kataku
sebentar tadi. Agh! Lantaklah! Hatiku berbicara sendiri. Sempat kulihat
dia memeluk roti baguette yang panjang, berbalut kertas berwarna coklat.
Dia mengetus roti itu dengan giginya sambil mata terus melekat pada
skrin monitor kecil itu. Aku hanya merengus perlahan. Kesal. Kala aku
cuba bersikap sopan, tiada siapa pun yang peduli. Sepatutnya aku pergi
sahaja tanpa rasa bersalah.

Aku terus berlari memanjat tangga menghala ke flatform. Di flatform
sudah terlihat keretapi yang akan aku naiki. Beberapa orang masih berada
di flatform, bersedia untuk melompat masuk ke dalam perut gerabak
keretapi. Terdengar bunyi enjin keretapi yang berdesir agak kuat. Aku
terus masuk mencari tempat duduk. Lega setelah aku menemui kabin dan
kerusi tempat dudukku. Aku duduk selesa, menanggalkan baju kot dan
meletakkan di atas riba. Tas tangan kulit hitam jenama LV kuletakkan
sahaja di atas meja kecil di hadapanku, sambil mata memerhati keluar
jendela.

Keretapi mulai bergerak perlahan meninggalkan bandar Luzern. Saat itu
seseorang duduk di sisiku dengan agak kasar menghempas punggungnya dan
mencampakkan jaket kulit di atas meja. Spontan aku menoleh dan mata kami
bertembung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience