BAB 3

Adventure Completed 394

“Mungkin benar. Rasanya di Paris juga murah. Bukankah lebih dekat kalau
ke Paris dari Geneva. Dua jam keretapi saja. Kenapa harus ke Lugano?”

Aku memandang sekilas ke wajahnya kemudian mataku tertanjap ke arah tas
tangan kulit yang diam kaku di atas meja. Di dalam tas itu mengeram
barang-barang berharga milikku. Aku ingat dengan jelas pada duit
berjumlah lebih kurang tiga ribu SwissFranc. Di dalamnya juga terdapat
barang-barang peribadiku, seorang wanita yang ingin terus kekal cantik
dan bergaya dalam apa jua keadaan.

“Awak tinggal di Geneva?” dia bertanya, begitu besar rasa ingin tahu
yang bermukim di hati kecilnya.

“Ya,” jawabku sambil memeluk tubuh.

“Sudah lama awak tinggal di Geneva?”

“Hampir empat tahun. Saya belajar di Universiti Geneva dalam bidang seni
dan fesyen.”

“Tinggal dengan siapa di Geneva? Kekasih? Suami?”

Aku tertawa kecil.

“Belum ada keluarga sendiri. Juga tak ada kekasih. Saya tinggal dengan
sepupu dan keluarganya.”

Lelaki itu menganggukkan kepalanya beberapa kali. Dia puas hati
mendengar cerita peribadiku itu.

“Saya yakin awak bukan orang Eropah sejati. Awak ni berdarah kacukan
mungkin?” dia bertanya lagi.

“Hmmm...” aku menarik nafas panjang sebelum menjawab soalannya itu.

“Tak apa kalau awak tak mahu jawab. Biar saya teka. Awak bukan orang
Arab ataupun Afrika. Awak ni... orang... orang apa? Agh! Saya tak tahu,
tak ada idea awak orang apa. Tapi awak cantik, ada daya tarikan tersendiri.”

“Saya berasal dari Malaysia. Orang Melayu,” aku menjawab dengan nada
perlahan tetapi tegas.

“Aha... Malaysia.” Kepalanya terangguk-angguk.

“Awak pernah ke Malaysia?”

Dia menggeleng pula. Terpamer kekesalan di wajahnya, begitu jelas. Aku
jadi curiga.

“Di sana tak aman...” dia memberi komen. Komen itu amat menjengkelkan
dan sekaligus menghapuskan kecurigaan yang mengisi dadaku.

“Tak aman? Apa maksud awak?” aku bertanya dengan nada agak serius.

Kala itu aku teringatkan Malaysia, negaraku yang tercinta. Malaysia yang
aman damai dan penuh kemakmuran. Hatiku sakit apabila lelaki kulit putih
itu membuat telahan yang melulu. Belum pernah datang ke Malaysia, tetapi
memberikan komen negatif.

“Di sana sarang keganasan. Itu yang saya dengar dan lihat di televisyen.”

Dadaku terasa mendidih. Pandai-pandai sahaja buat cerita. Sarang
keganasan? Tak boleh jadi. Aku mesti membersihkan nama Malaysiaku yang
dikatakan sebagai sarang keganasan.

“Tak... Malaysia bukan sarang keganasan. Kami hidup aman damai di sana.
Ya, ada pelbagai kaum tetapi harmoni.” Aku cuba menegaskan perkataan
harmoni itu. Amat berharap dia percaya. Walaupun sudah lama aku tidak
pulang ke Malaysia, tetapi aku sentiasa mendengar cerita dari emak.

“Mak baru balik dari kedai Ah Hong beli kasut sekolah adik kau. Baru
enam bulan kasut sekolah dah koyak rabak. Ah Hong cadangkan pada mak
beli yang mahal sikit tapi tahan. Agh! Sekarang barang semua mahal.
Kalau beli yang murah tak ada kualiti tak guna juga, kata Ah Hong.”

“Mak! Mak percaya sangat pada kata-kata Ah Hong tu. Dia sengaja suruh
mak beli barang yang mahal tu!” aku menyakat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience