BAB 2

Drama Completed 769

“Aku terima nikahnya Nur Dian Maleyka binti Malique Danish dengan mas
kahwinnya 100 ringgit tunai.” Lafaz akad itu lancar dituturkan pemuda
itu. Aku duduk memerhati di atas kusyen empuk warna keemasan itu. Sayu
tiba-tiba memagut hati, dalam sekelip mata aku sudah bergelar isteri
orang. Tangan kutadah saat berdoa namun mataku diam-diam memerhatikan
suamiku yang tak pernah kukenali itu.

Iqbal Ishq , nama yang begitu asing bagiku namun sah menjadi suamiku
dalam sekali lafaz. Tangannya dihulur padaku saat acara membatalkan air
sembahyang bermula selesai dia bersolat sunat. Aku menyambut tangannya
itu walaupun badanku terasa seram sejuk, terasa gementar bersalaman
dengan ajnabi yang kini menjadi suamiku, namun kugagahi jua untuk
mengucup tangannya. Iqbal Ishq memandang wajahku sekilas, lantas
mengucup dahiku perlahan, menambahkan getar dalam dadaku.

“Assalammualaikum Dian Maleyka ,” suamiku memberi salam saat dia
memasuki kamar malam itu. Jantungku bagaikan berhenti berdetak saat
memandangnya.

“Waalaikumussalam Iqbal Ishq ,” aku membalas. Dia tergelak sendiri,
sambil menghampiriku. Aku terpinga, tidak pasti apa yang melucukan saat
itu padahal jantungku bagaikan berlari pecut.

Iqbal Ishq duduk di sisiku, wajahku direnung dalam hingga aku merasa
malu. Aku tertunduk, tidak berani memandang dirinya.

“Eyka , panggil saya abang saja ya,” aku terdiam. Betul jugak! Aku
menepuk dahi namun menggosoknya kembali dek kerana sakit.

“Eh, Eyka tak apa-apa?” Iqbal Ishq memandang wajahku, dahiku diusap
perlahan. Aku terpana saat merasakan wajahnya terlalu hampir dengan wajahku.

“Saya ok.” aku berbicara lambat-lambat.

Iqbal Ishq tersenyum manis lantas memeluk diriku perlahan. Aku
tersentak lalu segera menolaknya. Semua ini begitu asing, dipeluk insan
yang tidak kukenali, walaupun insan itu sah menjadi suamiku.

Air mataku mula mengalir. Rasa takut mula menyelubungi, perlahan Iqbal
Ishq menjarakkan diri.
“Maafkan abang, abang tak berniat nak takutkan Eyka .”

Iqbal Ishq perlahan menyeka air mata di pipiku, namun aku tidak mampu
menahan senduku. Perasaanku tika itu hanya Allah yang tahu.

“Eyka ... Eyka belum bersedia bang,” aku cuba bercakap dalam sendu yang
masih tidak hilang.
Iqbal Ishq mengangguk perlahan, seraya menarik diriku dekat padanya,
lantas memelukku dengan niat mententeramkan aku. Aku terdiam saat
mendengar suamiku berselawat syifa. Cuba menenangkan jiwaku, dan
menyembuhkan rasa hatiku yang kerunsingan.

Saat pelukan terungkai, Iqbal Ishq memandang aku.

“Abang takkan memaksa Eyka , abang tahu Eyka belum kenal abang, Eyka
tidurlah, abang takkan ganggu Eyka .”

Aku terdiam saat Iqbal Ishq berbaring lantas melelapkan mata. Hatiku
rasa terharu dengan kesabarannya, walaupun takut-takut, aku cuba
berbaring di sebelahnya. Wajah Iqbal Ishq kutatap dalam diam, wajahnya
jernih dan bersih, manis sekali, rasa tidak jemu menatap wajah itu.
Tanpa sedar, aku melelapkan mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience