BAB 5

Drama Completed 769

Hujung minggu itu, Aku sendirian ke pasaraya kerana ingin membeli barang
keperluan harian. Iqbal Ishq tidak dapat mengikutku kerana ada urusan
kerja yang perlu diselesaikan. Saat singgah ke butik pakaian muslimah
yang berjenama, mataku tertancap pada sehelai abaya yang sangat indah
perinciannya. Hatiku terasa ingin sekali untuk memiliki abaya itu.

‘RM350, mahalnya. Kalau abang tahu mesti dia tak izinkan aku beli. Abang
tak suka beli benda yang membazir,’ hidup selama tiga bulan bersamanya,
pasti aku sudah masak akan perkara yang Iqbal Ishq tidak sukai. Suamiku
itu sederhana orangnya dan tidak suka membazir, dia memang seorang yang
penjimat dan teliti dalam perbelanjaan, kalau dia tahu aku menghabiskan
RM350 untuk sehelai abaya, pasti dia tidak berkenan.
Iqbal Ishq tidak akan marah, tapi dari pandangannya aku tahu dia tidak
suka. Abaya yang kupegang dari tadi segera kuletak kembali ke tempat
asalnya.

“Kenapa tak ambil cik?” suara garau yang tiba-tiba menegurku buat aku
terkejut. Segera aku berpaling ke arah suara itu. “Hadeed Esra !” aku
terpana. Insan yang pernah kukenali saat menuntut di London dulu kini
muncul semula di depanku.

“Eh Dian , apa you buat kat sini? You… you nampak lain la Dian …” Hadeed
Esra berkata sambil melihat penampilanku atas bawah. Ya memang aku
banyak berubah, sejak berkahwin, aku tidak lagi berpakaian ketat dan
bertudung ala kadar. Iqbal Ishq sering menasihatiku supaya kembali ke
landasan yang sepatutnya dan berpakaian mengikut syarak. Tanpa sedar,
aku kian berubah, semuanya kulakukan ikhlas kerana Allah atas nasihat
dan bimbingan Iqbal Ishq . Kini pakaianku tiada lagi yang ketat dan
tudungku juga labuh menutupi dada.

“Sejak bila you pakai macam ni?” Hadeed Esra berkata seraya ketawa
kecil. Aku jadi hairan dengan tingkahnya.

“Apa yang pelik Hadeed ?” aku ingin tahu.

Hadeed Esra berhenti ketawa dan kembali melihatku. “You dulu lain,
sekarang ni dah macam ustazah dah I tengok.” Hadeed Esra kembali ketawa.

Aku sekadar tersenyum padanya.

Hmm, dah lama kita tak jumpa kan? You apa cerita?”

Aku memandang rakan seuniversitiku itu atau lebih jelas lagi, bekas
kekasihku dulu. Hadeed Esra masih seperti dulu, kacak bergaya dan
punya pakej lengkap. Gayanya juga menggambarkan bahawa dia dari golongan
yang ada-ada.

“I’m married Hadeed .” Pendek aku membalas.

Wajah Hadeed Esra berubah. Aku pulang dulu ke Malaysia saat dia masih
berbaki dua semester untuk dihabiskan, perhubungan kami putus begitu
saja tanpa ada khabar. Aku tidak menghubunginya kerana tidak mahu
pelajarannya terganggu dan dia juga tidak pernah menghubungiku lantas
aku menganggap perhubungan kami hanya sampai di situ.

“I belikan baju ni untuk you ya?” pintanya itu mengejutkan aku dari
lamunan waktu dulu, segera aku menggeleng.

“Tak perlu Hadeed , I tak perlukan baju ni… I saja tengok je…” aku
berdalih walhal aku memang sangat berkenan pada abaya itu.

“Oh come on Dian , I know you love it, dulu masa kat u pun kalau you
berkenan sesuatu kat shop, you akan belek lama-lama. I know you Dian ,”
yakin Hadeed Esra bersuara. Aku hanya terdiam kerana memang ada
betulnya kata-kata Hadeed Esra itu.

“Ok ok, let me buy this for you,” Hadeed Esra mengambil semula abaya
yang telah kuletakkan tadi dan segera ke kaunter pembayaran. Aku tidak
sempat menghalangnya kerana dia terlalu pantas.

“Nah!” dia berkata padaku saat menghulurkan sebuah bungkusan beg plastik.

“I tak mahu lah Hadeed , nanti suami I marah, I don’t need this,” aku
menolak.

“Please Dian , demi persahabatan kita dulu. Ambil ni,” Hadeed meletakkan
beg plastik itu pada tanganku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience