BAB 3

Drama Completed 769

Rumah teres dua tingkat itu kuperhatikan dari ruang tamu hingga ke
dapur. Memang sempit berbanding rumah mewahku dulu, namun semua itu
harus kutinggalkan kerana mengikut Iqbal Ishq berpindah ke rumahnya.
Ayah tidak melarang aku berpindah kerana tempat yang terbaik bagiku
ialah di sisi suamiku.

Aku terasa kekok berada di rumah itu, sudahlah tidak ada pembantu rumah.
Segalanya harus kulakukan sendiri. Iqbal Ishq hanya tersenyum saat
melihatku tercengang memerhatikan pelusuk isi rumah. Saat Iqbal Ishq
melabuhkan dirinya di sisiku, dengan pantas dia memegang tanganku.

“Eyka , maafkan abang sebab tak boleh beri kemewahan yang pernah Eyka
kecapi dulu,” ujarnya lembut padaku. Aku terdiam, tidak tahu mahu
membalas apa. Perlahan aku cuma mengangguk dan segera naik ke kamar
tidur, rimas berdekatan dengan Iqbal Ishq , rasa terlalu kekok.

Kamar tidur yang sempit itu kuperhatikan, kalau di rumahku dulu, pasti
ini bilik Mak Mah, pembantu rumahku. Oh mengapa kini aku pula yang harus
berada di dalam bilik sebegini, hatiku rasa tak keruan, terkenangkan
bilik lamaku yang dilengkapi dengan pelbagai benda, televisyen plasma,
ps3, sistem audio yang canggih, berbeza benar dengan bilik ini yang
hanya punya katil dan almari, sudahlah sempit.

“Kenapa Eyka ? Eyka ok ke?” entah bila Iqbal Ishq masuk ke bilik itu,
aku sendiri tak tahu.

Aku tidak menjawab, sebaliknya membuka beg bajuku, mahu menyusun bajuku
ke dalam almari itu, terasa kekok sekali melipat baju kerana selama ini
Mak Mah yang melakukan semua tugas itu, rasa susah sekali melakukan
semua itu, susunanku terasa berselerak.

“Biar abang tolong,” perlahan Iqbal Ishq bersuara sambil memegang
tanganku. ‘Lembut betul suaranya, menyampah aku,’ aku mengomel sendiri.

“Tak payah, abang pergilah buat benda lain, jangan kacau Eyka ,” aku
menolak tangannya.
Tanpa membalas, Iqbal Ishq tetap menolongku, mengambil baju-baju itu
dan menyusunnya di dalam almari, menyangkut baju yang perlu disangkut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience