BAB 4

Other Completed 1496

Akibat terlalu ramai menyebarkan fitnah itu, aku tidak mampu menegakkan kebenaran. Mereka terlalu ramai sedangkan aku hanyalah seorang. Aku hanya mampu mendiamkan diri dalam kelemasan difitnah. Seandainya kau benar berkorban membersihkan namaku, mengapakah kau tidak menceritakan kepadaku apakah mereka (yang kononnya musuhku itu) mengutukku, Nur? Seandainya kau benar-benar jujur bahawa kau memang betul membersihkan namaku, perlukah menyisihkan aku selama seminggu dahulu?

Dan kisahku yang masih panjang

Menambahkan berat yang memandang

Lantas ku pendam

Kuputuskan biarlah rahsia..

Sudah hampir sebulan aku disisihkan. Dalam keramaian mereka, Arissa mula menyebelahi aku. Dia menceritakan segalanya mengenai siapa yang menjadi dalang dalam semua fitnah. Ternyata firasatku benar, Nurlah punca segala-galanya. Semua ini benar-benar menambahkan tekananku yang tersedia ada. Cukuplah dengan masalah keluarga dan juga masalah kawan rapatku diberhentikan sekolah ini membuatkan aku hampir separuh gila.

Sebaik sahaja masalah yang berpunca daripada Nur ini hadir, aku semakin tertekan. Aku hanya mampu mendiamkan diri. Seandainya kau berada di tempatku, sudah pasti kau lebih tertekan menghadapi semua ini, Nur.

Semakin aku hidup dalam cinta

Tiada kuasa mampu menghalangnya

Hentikan kata-kata bertulangkan dusta

“Dhia, apakah benar kau bersahabat dengan Ashaari?”

Aku mengerut dahi sambil mengangguk, menjawab soalan seorang rakan kelasku. Kemudian, dia terus beredar dan berbisik sesuatu kepada seorang lagi rakan kelasku. Apakah yang terjadi?

Ya, aku bersahabat dengan dia. Dalam tahun ini, aku bersahabat dengan Ashaari dan persahabatan kami semakin erat kerana kami berdua mempunyai banyak minat yang sama. Kami meminati silat, buku-buku ilmiah, informasi semasa dan juga amat menggemari gamelan. Kami sentiasa berkongsi ilmu dan bertukar-tukar buku dalam perjumpaan kami sekali seminggu. Aku akui bahawa aku amat mengasihi Ashaari sebagai kawan kerana aku tidak pernah menjumpai seorang sahabat sebaik dia.

Namun, perhubungan kami disalah ertikan. Entah siapalah yang mereka-reka cerita mengatakan bahawa kami berdua membuat sumbang mahram. Aku terlalu marah sehingga tanpa diduga aku tidak sengaja mengamuk di hadapan semua rakan sekelasku. Apabila aku bertanya dari manakah mereka mendapat cerita itu, sekali lagi berpunca daripada Nur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience