BAB 4

Humor Completed 1313

Sudah dua minggu Imelda menjadi penganggur terhormat. Dia benar-benar
kecewa dengan apa yang terjadi sehingga terus membawa diri dan pulang ke
kampung. Namun, sebelum pulang ke kampung, Imelda sempat berjumpa dengan
Pengarah Syarikat Harmonium untuk meminta maaf bagi pihak Kamal Bakri
Sdn Bhd dan memohon jasa baik syarikat tersebut untuk mempertimbangkan
semula keputusan mereka terhadap projek yang ingin mereka tarik balik itu.

Bukan setakat membawa diri pulang ke kampung, Imelda juga turut menukar
nombor telefon bimbitnya. Tujuannya, jika Firass ingin memujuknya semula,
lelaki itu tidak akan berjaya menghubunginya.

“Ceh! Berangan je lebih aku ni. Tak ada maknanya si singa kekwat tu nak
pujuk aku. Huh!” rengus Imelda.

“Mel, Suria telefon ni!” jerit Salmah sambil terlari-lari ke arah Imelda
yang sedang duduk berjuntai di buaian. Imelda segera mencapai telefon
bimbit ibunya.

“Mak kenapa lari? Jatuh nanti,” sempat lagi Imelda menegur ibunya.

“Dah kamu tu berangan kat sini,” balas Salmah termengah-mengah. Imelda
sengih lalu menjawab panggilan dari Suria itu.

“Ya, cik Suria. Kenapa?” sapa Imelda riang.

“Imelda, ini saya. Firass ,” sapa suara itu. Terkejutnya Imelda waktu itu
hanya Tuhan sahajalah yang tahu. Hampir sahaja dia terjatuh dari buaian.

“Salah nombor,” selamba sahaja jawab Imelda lalu pantas meletakkan
panggilan itu. Salmah memandang hairan.

“Betullah itu Suria. Mak nampak nama dia tadi,” ujar Salmah. Imelda senyum.

“Suria mana entah ni yang mak simpan. Suria FM kot,” gurau Imelda.
Salmah menampar bahu anaknya itu.

“Ada pulak. Tapi, tadi beria benar kamu jawab sebut nama Suria?” duga
Salmah kembali. Imelda mengeluh.

“Yalah. Sebab mak kata Suria telefon. Tapi, orang tu kata dia nak cakap
dengan Muthu,” dalih Imelda sambil menukar profil telefon itu kepada mod
senyap. Berkerut dahi salmah.

“Muthu mana pulak?”

“Entah. Uncle Muthu yang dalam cerita Upin Ipin tu kot. Dah la mak, jom
masak. Mel dah lapar ni,” gomel Imelda. Salmah hanya mampu menggeleng
melihatkan keletah anaknya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience